Tuesday, February 28, 2012

Bertabahlah duhai sahabat

Dua tahun lebih albazrah berkelana di Sudan. Bumi yang tandus dan gersang berlatarkan kesunyian yang amat dalam. Sebagai perantau, albazrah sememangnya kesunyian dari bicara rakan taulan, sahabat handai dan kaum keluarga. Sahabat-sahabat pelajar Malaysia, adik-adik itulah yang mengatur bunyi bunyian dan irama lagu di dalam kehidupan kami di Sudan. Tanpa mereka semakin sunyilah kami. Berita mereka akan berpindah mencari rumah lain benar-benar menggetar sukmaku. Ya bilangan kami di sana kecil sahaja. Allahu musta'an.

Beberapa hari lepas, albazrah mengunjungi sahabat ukhti fillah, Ummu Fawwaz. Ukhuwah kami bermula selepas tamat SPM di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan. Semenjak itu sering sahaja taqdir kami bersama-sama. Albazrah dan Ummu Fawwaz belajar di Universiti Malaya, kemudian bersama lagi menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia. Albazrah menghadiri hari bahagianya bergelar isteri. Namun kini Ummu Fawwaz sendirian, suami tercinta telah menyahut panggilan Ilahi. Albazrah menziarahi sahabat tabah ini.

Albazrah akui, keceriaan dan kegembiraan di wajahnya suatu masa dahulu seolah berganti wajah tabah dan matang. Hanya Allah yang maha mengetahui apa dia bisikan sanubari sahabat ini. Albazrah mendoakan kekuatan dan rahmat Allah untuk Ummu Fawwaz meneruskan kehidupan tanpa suami di sisi, dan mendidik seorang puteri dan putera yang yatim menjadi anak-anak yang cemerlang dan berakhlak baginda SAW. Ketahuilah duhai sahabat, Allah lah sebaik-baik teman bagi seorang balu sepertimu, Allah lah sebaik-baik wali bagi dua anakmu.

Insya Allah, nanti kita bertemu lagi. Daku doakan dikau dan anak-anak tenang dalam kesejukan pelukan rahmat Allah, belaian kasih sayang Allah, sehingga kalian bakal berkumpul sekali lagi di Jannatil Firdaus A'la. Ameen. Al-Fatihah buat Ustaz Ali. 


Friday, February 24, 2012

Anekdot Malaysia 2012

Suatu hari kami ke UIA menyerahkan amanah kiriman Sheikh Muhammad Muhyiddin di Sudan kepada Prof Dr. Mohammed Abul Lais. Prof Abul Lais adalah guru albazrah merangkap mahaguru Albazrah sebagaimana Prof Madya Dr. Abdul Hayyie Abdul Sukor di dalam Hadith. Ia berakhir dengan suatu kejutan bagi Albazrah, Prof Abul Lais sudi mengijazahkan sanadnya kepada Albazrah, Abu Nisreen malah kepada anakanda Nisreen juga. Kami membaca beberapa bahagian hadith di hadapan beliau sehingga merangkumi kutub sittah (Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasaei dan Ibn Majah). Albazrah tidak pernah menyangka akan mendapat juga sanad dan menumpang barakah ulama' hebat dalam silsilah ulama' Deoband, India. Allahu Akbar! Jazakumullahu khair al-Jaza'.

Kami teramat kerdil, hanya menumpang mereka-mereka yang hebat di dalam legasi ilmu dan taqwa mereka kepada Allah. 

Insya Allah kalau tiada aral melintang kami akan mengikuti kuliah Ustaz Fahmi Zamzam pada hari Ahad ini. Hati ini perlu di "charge" penuh-penuh sebelum berangkat pulang ke Sudan. Allahu Musta'an.

Thursday, February 23, 2012

Catatan

Ketiadaan internet membuatkan urusan agak kelam kabut. Pelbagai urusan memerlukan internet. Nombor telefon sahabat-sahabat juga di dalam email dan FB. Sekian lama demikian tanpa internet, terima kasih adinda Noor Amni yang meminjamkan modem.

Rindu menjenguk blog albazrah. Menulis di sini umpama terapi. Walaupun ia tidak lagi umpama detik awal menulis di albazrah. Albazrah kini lebih banyak menulis di hati sendiri sahaja. 

Tugas-tugas besar di Malaysia telah selesai. Amanah-amanah yang dikirim hampir semua tertunai tinggal sedikit lagi belum terlangsai. Tarikh pulang semula ke Sudan semakin hampir. Perasaan bercampur baur. Ya Allah kuatkan hambaMu ini. Perjuangan masih berbaki untuk diselesaikan. 

Awal Mac kami akan pulang ke Kedah. Adik-adik di Sudan mungkin ingin meminta titipan oleh-oleh daripada keluarga di Malaysia boleh beritahu keluarga masing-masing ya :) 

Insya Allah sebelum pulang ke Sudan, kami cuba mengecas semangat dan cita-cita lagi. Ada kesempatan moga diizinkan ke majlis ilmu bersama Ustaz Fahmi Zamzam, Sheikh Prof Dr. Muhammad Abul Lais dan moga dapat bertemu Arifbillah Pak Su Mid sekali lagi ameen.


Monday, February 06, 2012

Catatan coretan dari Malaysia

Alhamdulillah, amanah yang dibawa dari Sudan untuk disampaikan kepada Pak Su Mid dan Tuan Guru Sheikh Nuruddin al-banjari telah disampaikan. Abu Nisreen juga sempat menziarahi Sheikh Toyyib di Kg. Asam Jawa di Baling bersama sahabatnya Qayyum. Terima kasih kepada Pak Cik Abdullah Thahir atas maklumat tentang ulamak Kedah di blog al-Fanshuri. Masih berbaki satu amanah yang perlu disampaikan kepada Prof. Dr. Abul Lais di UIA, insya Allah.

Albazrah juga sempat mengikuti kursus di Islamic Perenting Network bersama Puan Lina Karim di Shah Alam. Alhamdulillah. Puan Lina memberikan panduan teknik bagaimana beliau lakukan ketika mendidik anaknya Darwisya dan Darwisy membaca dan menghafaz al-Quran semenjak masih bayi. Yang paling albazrah faham pentingnya seorang ibu itu sabar, tawakkal dan istiqamah. Ya, peluang mendidik anak hanya sekali. Ia tidak akan berulang ketika anak-anak telah besar.

Bersama kami sekarang di Kuala Lumpur ialah sahabat Abu Nisreen, Badruddin dari Algeria. Beliau begitu teruja dan ingin mengetahui cara hidup rakyat Malaysia. Katanya di Algeria hanya ada orang Islam, jadi kehidupan di Malaysia yang pelbagai agama, budaya, kaum dan warna benar-benar menakjubkan. Katanya orang Islam di Malaysia lebih menjaga Islam dan syiar-syiarnya berbanding Arab Algeria. Beliau terharu melihat anak-anak kecil bersekolah agama sudah memakai tudung dan berkopiah. Suasana ini tidak ada di Algeria. Beliau berkata, orang Algeria kena datang ke Malaysia untuk belajar. Beliau berfikiran terbuka dan faham tentang kepelbagaian mazhab, semakin memahami kenapa pelajar Malaysia di Sudan bermazhab Syafei dan Asyairah. Begitu juga katanya rakyat Algeria yang bermazhabFiqh  Maliki dan Asyairah pada Aqidah.

Sekarang Abu Nisreen dan Badruddin ke Seremban dan Kuala Pilah. Malam nanti Insya Allah kami akan ke kuliah Tuan Guru Jahid Sidek. Sudah lama tidak bertemu, insya Allah menziarahi Pak Cik Abdullah Thahir juga.

Aktiviti di Malaysia sungguh padat, masa juga banyak dihabiskan di dalam kereta dan trafik jam. Albazrah sudah mula praktikkan tip-tip Puan Lina. Flash kad huruf Quran untuk Nisreen berada di dalam beg, kereta dan juga di rumah. Nisreen belajar dan bermain. Allahhu Allah, daku doakan al-Quran akan menjadi darah daging anak-anakku. Ameen.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails