Abu Nisreen bersama seorang murid Bediuzzaman Said Nursi
Nuruddin Amca kami temui ketika kembara Turki setahun yang lalu. Sepanjang kembara kami menemuramah beberapa pelajar Said Nursi yang masih hidup, salah seorangnya ialah Nuruddin Amca. Sepanjang perbualan beliau hanya menangis. Beliau terkenangkan khidmatnya yang menulis dan menulis Rasail Nur ketika tulisan Uthmaniyyah telah diharamkan dan buku-buku agama dibakar.
Nama sebenar Nuruddin Amca ialah Nuri Kaburgaci. Ustaz Ahmed Husrev iaitu Ustaz al-Thani telah menggelarnya Nuruddin dan nama itu kekal sehingga hari ini.
Kami bertemu Nuruddin Amca pada hari Ahad di Isparta sempena hari walimah, perkahwina anakanda Hoca Said Nuri - Hoca Said Nuri juga merupakan pelajar Ustaz Said Nursi dan Ustaz Ahmet Husrev, beliau ialah anakanda kepada Hafiz Mustafa murid rapat Ustaz Said Nursi-yang memimpin Hayrat Vakfi sekarang. Subhanallah kami bertemu ramai anak-anak murid Ustaz Said Nursi yang masih hidup dan masih sihat. Malah mereka sampai sekarang masih terus berkhidmat, mengistinsakh Rasail Nur dan melaksanakan pelbagai tugas yang mereka terdaya di bawah pimpinan Hoca Said Nuri.
Pada hari walimah itu ribuan Tulab Nur dari seluruh Turki datang, yang perempuan sahaja melebihi 6000 orang. Tulab Nur lelaki semuanya berserban dan berkopiah hijau memenuhi seluruh ruang masjid Isparta pada hari itu. Gabenor wilayah Isparta juga hadir. Nuruddin Amca menangis tidak henti-henti melihat perkembangan Islam yang suatu masa dahulu ketika penulisan Rasail Nur cahaya Islam terpendam dan gelap. Beliau menangis kerana tidak menyangka Islam akan kembali marak di Turki setidak-tidaknya pada hari kenduri tersebut. Selepas solat zohor di masjid, semua Tulab Nur lelaki berserban itu yang memenuhi setiap ruang masjid berzikir dan berwirid Tesbihat seperti yang disusun oleh Said Nursi.
Suamiku yang berada di dalam masjid meremang bulu roma mendengar suara gema Tesbihat yang luar biasa dari segenap ruang masjid. Suamiku tidak berenggang dengan Nuruddin Amca. Beliau terus bercerita detik-detik getir menulis Rasail Nur secara sembunyi-sembunyi. Tidur hanya 1 atau 2 jam sehari. Tidak ada lain dilakukan terus menyalin dan menyalin Rasail Nur untuk disebarkan.
Beliau berkata Ustaz Nursi berkata: Rasail Nur akan dibaca dan sampai ke seluruh dunia, sudah tentu ia suatu yang tidak terlintas dek akal kerana pada waktu itu hanya beberapa orang sahaja yang menyalin Rasail Nur. Namun hari kenduri itu membuatkan Nuruddin Amca kelu melihat puluhan ribu Tulab Nur memenuhi bandar Isparta. Yang perempuan bertudung litup warna hitam carcaf memenuhi kawasan manakala yang lelaki berserban berkopiah hijau. Jumlah sebenar ahli Hayrat Vakfi tidak terhitung, jutaan bilangan mereka, yang datang untuk kenduri hanya peratusan kecil.
Walimatul 'Urus
Ketika albazrah di Turki berkesempatan menyaksikan dua majlis perkahwinan. Satu majlis bertempat di hotel kami berkonferen, ia majlis yang menggerunkan juga dipenuhi tarian, wanita-wanita seksi dan minuman keras. Albazrah yang berada di tepi majlis itu tidak keruan walaupun bertudung litup menutup aurat, masih ada wanita-wanita seksi berpakaian ketat, berskirt di atas paras lutut bertanya awak Muslim kah?
Manakala majlis kedua ketika menghadiri perkahwinan di Isparta. Subhanallah, ia berbeza bagaikan langit dan bumi. Rufeyda Abla berkata, Ya Nur Azma, Hoca Said Nuri (pemimpin Hayrat Vakfi) bukanlah orang kaya, kerjanya hanya sebagai peladang. Rumah ini yang beliau tinggal hanyalah rumah sewa.
Patutlah saya mendengar Masyaikh Sudan ada yang berkata, mereka mahu pergi menemui Ustaz Said Nursi yang masih hidup di Turki, rupanya mereka maksudkan Hoca Said Nuri. Sungguh sifatnya mirip Ustaz Nursi dan Ustaz Ahmet Husrev. Beliau tidak menerima sebarang hadiah atau pemberian. Kalau beliau tiada pilihan untuk menerima juga, beliau akan membayar harga tersebut.
Walaupun beliau memimpin ribuan madrasah, kilang percetakan Quran terbesar di Eropah dan pelbagai organisasi lagi di bawah Hayrat, beliau tidak menjamah sedikit pun makanan yang disediakan kerana ia bukan haknya. Albazrah menyaksikan sendiri sifat warak yang masih ada di depan mata sendiri. Subhanallah.
Albazrah dibawa ke ladang ceri yang diusahakan oleh Hoca, kami makan sepuas-puasnya ceri yang sangat sedap. Nisreen berguling-guling di atas tanah bermain di ladang Hoca Said Nuri.
Hoca Said Nuri tidang langsung memandang perempuan, ia sekali lagi mengingatkan Albazrah kepada Ustaz Said Nursi ketika tinggal di rumah Tahir Pasha bertahun-tahun tetapi tidak kenal langsung anak-anak perempuan Tahir Pasha.
Ketika Albazah mengikut rombongan mengambil pengantin perempuan di sebuah kawasan perumahan di Isparta juga, ratusan kereta mengiringi sambil membunyikan hon. Kereta pengantin lelaki dan Hoca Said Nuri menjadi kepala. Hon dibunyikan bertalu-talu sehingga sampai ke rumah pengantin perempuan.
Kami semua keluar. Albazrah berada di tengah-tengah lautan manusia berpakaian serba hitam, carcaf bertudung litup. Di suatu bahagian yang lain kumpulan lelaki berserban mereka bertakbir, bertasbih dan berselawat sementara menanti pengantin dijemput dari rumah keluarganya. Allahu Akbar. Albazrah dan Nisreen di tengah-tengah lautan manusia sedang berzikir. Albazrah melihat abla-abla menangis terisak-isak kerana selawat demi selawat yang dilantunkan amat menusuk hati.
Baru Abazrah tersedar suasana begitu amat jarang di Turki, kerana penduduk-penduduk setempat juga terperanjat dengan kehadiran ribuan manusia menutup aurat berselawat di kawasan perumahan mereka. Mereka semua berdiri di tingkat-tingkat rumah masing-masing melihat peristiwa yang julung kali ini.
Sheikh Raid Salah, Palestin
Sebak albazrah melihat Hoca Said Nuri memeluk Sheikh Raid, seolah mereka begitu lumat dengan ujian dakwah. Kedua-dua mereka berhadapan musuh yang terang dan nyata. Sheikh Raid yang dihunjam ancaman Zionis secara berhadapan. Hoca Said Nuri yang berkali-kali di seksa di dalam penjara, walaupun setelah kewafatan Ustaz Said Nursi dan Ustaz Ahmet Husrev, sehingga sekarang kesan seksaan masih nyata terhadap kesihatan beliau. Ya Allah teguhkan mereka di jalan Mu. Kami menurut jejak mereka yang thabat di atas perjuangan iman ini, amin.


5 comments:
Assalamualaikum warahmatullah.
Jazakillah khair aas tulisan ini Dikma. Sangat menyentuh hati.
InsyaAllah sekiranya diberi peluang sekali lagi ke Turki, akan diusahakan untuk ke Isparta dan Barla.
Semoga perjalanan pulang Azma dan keluarga ke Malaysia dipermudahkan Allah.
Sekiranya diizinkan Allah, akak teringin sekali berjumpa Azma.
Doakan akak disini.
Wassalam.
Wa'alaikummussalam warahmatullah,
Kak Bibi apa khabar?Jazakillahu khairan kathira. Amin, amin di atas doa. Insya Allah kita bertemu nanti ya.
Wassalam.
Assalamualaikum Azma,
Sangat mengesankan dan seperti ingin terbang kembali ke Turki dan pergi menjejaki mereka-mereka yang Azma cerita. Alhamdulillah, Allah izinkan kami bertemu beberapa orang yang saya kira, dari Tulab Nur, dari pakaian yang Azma ceritakan, dan mereka ini, MasyaAllah sangat mengagumkan dari segi prihatinnya mereka pada sesama muslim. Walaupun mereka tidak mengenali kita.
Beruntungnya Azma dapat duduk dan mengenali mereka dengan lebih rapat dan berguru langsung dengan mereka.
Sama seperti Bibi, saya berharap dapat duduk berkenalan dan mengutip ilmu dari Azma satu hari nanti InsyaAllah.
Jazakillahukhayran atas perkongsian ini.
Ummi Ati
Assalamualaikum Ummi Ati,
Insya Allah mohon kita dipanjangkan usia agar dapat bertemu.
Ada beberapa kumpulan yang memakai seperti itu di Turki di anatarnya ialah kumpulan Tariqah Naqshabandiah pimpinan Sheim Mahmud Efendi, mereka mempunyai penempatan besar di Fatih. Selain itu ialah kumpulan Tariqah Mawlawi (Mawlana Jalaluddin Rumi) dan juga kumpulan Hayrat Vakfi.
Kemungkinan ada kumpulan yang lain lagi. Pakaian mereka ini sebenarnya telah ada semasa Khilafah Uthmaniyah lagi. Sehinggalah diharamkan oleh attarturk. Cuma mereka masih istiqamah menjaga syiar Islam ini.
Insya Allah, nanti kita bertemu ya. Doakan kami.
Assalammuailaikum Azma,
Oh begitu ceritanya. InsyaAllah semoga Allah panjangkan usia dan izinkan kita bertemu ya. Semoga Allah mudahkan urusan dikma di sana. Mohon doakan kami disini juga ya.
Peluk cium untk Nisreen yang solehah. :)
Post a Comment