Saya termimpi-mimpi abah. Apabila menelefon emak, emak menyebut doakan abah, abah ok, abah dah 60% dah ok.Solat hajat doakan abah. Alhamdulillah.
Adik menceritakan sebenarnya paru-paru abah membengkak kerana dos oksigen terlebih dan lain-lain. Abah masih di hospital. Adik bercerita tentang antibiotik yang kuat untuk abah.
Perasaan saya bercampur baur.
***
Kelmarin dulu saya membuat pemeriksaan kehamilan lagi. Doktor Jabeena mengingatkan saya supaya sentiasa datang setiap bulan, jangan kerana tidak ada duit saya tidak datang.
Doktor Jabeena sangat mengambil berat, satu sen pun dia tidak mahu ambil. Malah ubat-ubatan, vitamin sepanjang kehamilan, disimpannya khusus untuk saya menanti saya datang mengambil tanpa mahu bayaran. Malah dia mengambil berat tentang pelajar Malaysia. Dia memberikan rawatan percuma kepada pelajar Malaysia, dia tidak mahu duit. Setiap kali kami mengeluarkan duit, dia berkata "no, no..." gunakan duit itu untuk beli ubat, tambang dan sebagainya. Katanya "kamu semua belajar sesuatu yang saya tidak dapat belajar, kamu belajar tentang quran, hadith, syariah". Saya percaya Allah membantu saya dengan cara lain.
Setiap kali keluar dari klinik Dr. Jabeena Abu Nisreen dan saya akan sangat terharu. Ini antara satu nikmat besar yang kami syukuri sepanjang di Sudan.
Kadang-kadang saya terasa ingin membawa Dr. Jabeena pulang ke Malaysia.
***
Nisreen semakin membuatkan umminya terharu... petang tadi ketika mengambilkan Nisreen susu di dapur, air mata menitis lagi, teringatkan abah dan emak. Nisreen datang memeluk ummi sambil menepuk-nepuk "jangan nangis, jangan nangis"...diciumnya ummi berkali-kali. Nisreen menyebut "are you ok?" Tersenyum lagi ummi.
***
Kelmarin setelah letih bekerja, saya berehat seketika dan mengambil Kitab Hikam Ibn 'Ataillah dan terus saya buka lalu tepat mengena Hikmah yang ke 12. Ia hikmah yang sama ketika saya hadiri kuliah Kitab Hikam Ustaz Fahmi Zamzam di Anjung Rahmat dahulu. Hikmah itu sejuk masuk ke hati, syarahannya oleh al-Buti juga satu persatu saya hadam, terimbas mutiara-mutiara Ustaz Fahmi ketika mensyarahkan hikmah ke-12 ini.
Benamkan diri di rahim bumi... sebak.
Biji benih tidak pernah mengeluarkan pucuknya sebelum ditanam ke dalam bumi. Khumul, merendah, khusyuk... setelah itu lahir dan terbit hanya kerana Allah.
Tanpa dibenam ke dalam rahim bumi, tanpa tafakkur dan khusyuk mengenali diri dan pencipta, hanya lahir pendakwah yang cinta dunia, mengejar nama, pengumpul harta. Astaghfirullah.
***
Abu Nisreen amat sibuk mengaji ke sana sini, katanya masa amat suntuk. Menadah kitab bertalaqqi cuba mendahului masa yang cemburu.
Ceritanya tentang sahabat bernama 'Isom mengujakan. 'Isom tinggal jauh dari Khartoum. Ketika Abu Nisreen menziarahi mengucapkan takziah di atas pemergian ayahnya Jumaat lalu, sehingga 4 buah bas yang perlu mereka naiki untuk sampai. Rumahnya sudah hampir ke padang pasir sana.
Namun, hebatnya 'Isom yang berkaki tempang dan fizikal yang lemah, dia tidak pernah tertinggal pengajian Fiqh mahupun hadith datang dari jauh setiap hari. Keluarganya bukan orang senang. Abu Nisreen berkata Sheikh Muhammad sangat sayangkan 'Isom. Esok dia mahu datang lagi pengajian Sheikh Bakhit "Mukhtasor Sahih Bukhari" Matan Ibn Abi Jamrah.
Memang terharu, sifat dahaga dan cintakan ilmu yang luar biasa, dalam ketempangan tingal puluhan batu jauhnya dari Khartoum, dalam kefakiran harta, jiwanya kental... ia sifat yang terhakis dari lubuk hati pelajar Malaysia.
Dahulu Arwah Afifi amat rapat dengan 'Isom, dia sering memimpin 'Isom ketika berjalan.
Barakallahu fihi.


5 comments:
Assalam albazrah
Akak doakan abah albazrah sihat. Begitu juga albazrah dan keluarga nun jauh di sudan. Cerita cerita albazrah sungguh menginsafkan. Terima kasih. Tertanya pada diri, apa yang akak cari selama ini. Miskin harta, jiwa lagi lah miskinnya.
maryam yaseerah :
kak ma, sy x kenal kak ma, tp sy rase dekat sgt ngan tulisan2 kak ma.. klu datang kuala berang, jemput singgah rumah saya... ukhwah itu indah
Assalamu'alaikum..
seronok membaca tulisan akak..
jemput singgah ke blog kami =)
Mariam Maisarah: Kak Alida terima kasih ya, barakallahufikum wa jazakumullahu khairan kathira
Maryam Yaseerah: Salam ukhuwah, insya ALlah kita akan panjangkan ukhuwah. Kalau kak ma ke sebelah timur insya Allah kita bertemu. Amin.Insya Allah.
Kedai Eridani:Terima kasih... salam ukhuwah
Moga semua urusan kalian dimudahkan... Rindu Nisreen membuak2!
Post a Comment