Bismillahi walhamdulillah,
Ada perasaan bergelora, berdebar, sayu dan seolah-olah ada sesuatu yang terlekat di kerongkong ku pagi ini. Ku tahu Abu Nisreen lebih-lebih lagi. Kami mendapat email meminta membuat anggaran barang-barang yang ingin dihantar ke Malaysia. Sungguh amat sebak.
Aku memandang kitab-kitab dan barang-barang yang bakal dikeluarkan. Abu Nisreen berkata Sudan sudah sebati dalam darah dan dagingnya. Benar kami amat sedih.
Mungkin bagi aku Sudan menjadi suatu titik tolak memulakan kehidupan berumahtangga selepas berkahwin. Kami bermula dari kosong. Kenangan yang amat manis, aku bersyukur dapat melalui pelbagai kesukaran dan keajaiban yang tidak terduga dengan rahmat Allah, berkat doa emak dan abah, dan juga kasih suami yang tulus. Ia adalah catatan kejayaan dan kemenangan di dalam kamus hidup ku sendiri. Aku menyusukan anakanda Nisreen melebihi dua tahun dan melihatnya membesar di hadapan mata sendiri. Aku belajar menjadi isteri, pelajar dan ibu di sini. Aku belajar tentang kesabaran dan berusaha mengunyah segala kepahitan demi kepahitan sehingga ia lunyai tidak pahit lagi. Di sini juga aku belajar soal kasih dan ukhuwah yang luar biasa melampaui hubungan darah, daerah dan warna.
Bagi Abu Nisreen tiada terkata, dia pernah bercerita dia tidak pernah terfikir untuk pulang kerana baginya Sudan adalah bumi hijrahnya. Rupanya-rupanya dia sudah menjalani suatu kehidupan yang panjang penuh asam garam yang bagiku sungguh ajaib bagi seorang manusia, tetapi dengan rahmat Allah dia terus ditarik ke hadapan diluar qudrah dan iradahnya. Daripada seorang yang tidak tahu berbahasa al-Quran tetapi kini bahasa itulah menjadi bahasa utamanya. Sehingga aku sering mendengar butir-butir bicaranya ketika nyenyak tidur adalah bahasa Arab itu, dan kerap aku berseloroh tentang bicara-bicara Arab yang dituturkannya ketika tidur.
Alangkah ajaib bumi Sudan, pengajian talaqqi mereka bersama ramai Sheikh melangkaui sempadan mazhab. Salafi, Sunni, Sufi, Maliki, Shafei, Hanbali dan Hanafi, semuanya duduk bersila di dalam halaqah di bawah panas matahari, kadang-kadang di dalam bahang membakar melebihi 50 darjah selsius hanya kerana meneguk ilmu daripada masyaikh. Sungguh mereka berlapang dada, makan dan tidur sekali. Ajaib amat.
Hatta para masyaikh juga duduk sekali bersila di atas debu pasir menyampaikan ilmu-ilmu tanpa pendingin hawa atau kipas. Di waktu keletihan dek panas terik membakar mereka begitu tawadhuk berbaring merehatkan diri di masjid-masjid sebagaimana pelajar yang lain.
Aku benar-benar teringin sekali melihat pokok yang menjadi tempat kediaman dan berteduh Abu Nisreen selama berbulan-bulan ketika dia tidak ada duit membayar sewa untuk terus tinggal di rumah pelajar Malaysia 8 tahun yang lalu. Tetapi pokok itu di kawasan universiti di bahagian pelajar lelaki. Katanya hanya sahabatnya Qayyum yang tahu dan berkongsi makanan dengannya setiap hari.
Namun, apabila dikenang ia sangat indah...
Allah memberi rezeki tanpa hisab, keselesaan hidup kami pada hari ini sering membuatkan kami berdebar. Allah sentiasa memberikan ujian supaya kami belajar bersyukur dan tidak lupa kepada mereka yang susah. Kami akui kami sering diberi pukulan dan tamparan penuh kasih sayang oleh Allah. Pernah kami kehilangan 2000SDG sekaligus sekelip mata dan kami masih berfikir didikan apa yang Allah mahu kami belajar dan fahami. Pernah ada yang kami ucapkan sesuatu, terus kami diuji dengan ucapan kami sendiri. Astaghfirullah...
Entahlah mungkin bumi ini hampir dengan tanah suci Makkah, atau bumi ini masih ramai hambanya yang berzikir jadi ia penuh barakah. Di mana-mana kita dapat melihat dan mendengar kalimah puji, tasbih, tahmid dan takbir. Manusianya tidak lekang berzikir. Solat ditunaikan di mana-mana. Tidak ada mata yang memandang pelik kalau tiba-tiba engkau bersolat di tepi bas, kedai atau di mana sahaja. Di sini amat cepat terasa ujian lalu janganlah lupa menyebut insya Allah di setiap kata-kata dan janji. Bimbang juga apabila sering dipukul dengan tamparan kasih sayang Allah.
Begitu juga sesuatu keindahan, pemandangan cantik mengkagumkan, atau sesuatu nikmat yang Allah beri cepat-cepatlah ucap Masya Allah! Subhanallah. Janganlah asyik sebut "comelnya, cantiknya, bestnya...." semua itu memalingkan kita dari melihat Allah pemberi nikmat. Tidak lama daripada ucapan atau pandangan yang tidak diiringi pujian kepada Allah selalunya ada sesuatu akan terjadi "kesedihan, kehilangan, musibah". Mungkin sahabat pernah mendengar tentang "penyakit 'ain" di dalam hadith baginda saw pernah baginda menyebut tentang hakikat 'ain dan pandangan jahat ini. Entahlah tidak pandai untuk menceritakan.
Namun, ia benar-benar mengajar diri berserah hanya kepada Allah, memohon perlindungan hanya kepada Allah dari sebarang kejahatan.
Aku akan menulis lagi, tulisan ini hanya untuk meredakan rasa tersangkut dan sebak yang melekat di kerongkong ku. Alhamdulillah. Syukur di atas segala rahmatMu kepada kami. Syukur walaupun kerdil dan banyak cacat cela dalam mensyukuri nikmat Allah, Allah terus juga melimpahkan kasih sayangnya. Betapa Penyabarnya ALlah melayani hamba-hambanya.
10 comments:
Benar Dik Mah, Sudan bumi tarbiyah. Tidak dpt dinafikan dalam kesusahan, kekurangan, kepayahan Sudan punya keuniqan yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata..hanya yang melaluinya dan merasainya dengan hati dpat merasakan nikmat hidup di bumi Sudan..
Kty yakin segala sesuatu yang Allah tentukan buat kita punya rahsia tersendiri. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui yang terbaik buat hamba-hambaNya.
Selamat kembali ke tanahair dan didoakan Ustaz akan dapat merealisasikan harapan yang tersimpan rapi dalam jiwa beliau - ameen.
Salam albazrah.
Akak doakan apa yg terbaik utk albazrah sekeluarga.Sebak mengetahui ttg perjalanan abu nisreen. Satu hari nanti, insyaallah akak juga ingin hadir ke majlis ilmu abu nisreen. Akak kini di perak. Doakan kami.
K.alida
Salam sejahtera Azma,
Subhanallah.. Allahu Akbar... semoga segala urusan dipermudahkan Allah
Salam kak...
Saya sering merindui Sudan. Sini suasananya jauh berbeza. Tiada azan, tak de orang solat tepi jalan, takde sesi halaqah.
Assalamualaikum diqma...subhanallah.. xtergmbar rs syukur dikurniakan shbt sprti diqma..sabar dan kuatnya kalian hadapi semuanya di sana demi mengutip ilmu2 Allah..smga Allah kurniakan kekuatan kpd kamijuga di sini...
Welcome back my dear sister!!!
Assalamualaikum,
Walaupun kita berada di mana sahaja, Allah tetap bersama kita, dan semoga kita sentiasa bersyukur dengan apa yang Allah takdirkan untuk kita. Menerima dengan redha, berusaha, pergantungan yang kuat dengan Allah ketika kita berada di mana sahaja di bumi Allah ini. Alhamdulillah..
Wassalam.
Assalamualaikum sahabat-sahabat,
Alhamdulillah, amin di atas doa kalian. Barakallahu fikum.
Semoga Allah sentiasa merahmati dan melimpahkan barakah dalam hidup sahabat-sahabat sekalian.
Salam,
Kesusahan ada dimana-mana, bukan hanya di Bumi Sudan. Yang penting, perlu bingkas bangun, segera tunaikan apa yang telah diamanahkan untuk menyempurnakan ijazah kedoktoran. Bumi Malaysia menantikan sesuatu untuk disumbangkan. Disanalah tempat untuk berjuang yang sebenar
Terima kasih Anonymous. Insya Allah. Barakallahufikum. Jazakumullahu khairan kathira.
Post a Comment