Monday, January 30, 2012

Tip bermusafir bersama anak kecil

Albazrah sudah lama tidak menulis, agak padat program di Malaysia. Anakanada Nisreen sudah genap 2 tahun. Alhamdulillah...

Albazrah ingin menulis sedikit tentang tip-tip membawa anak kecil bermusafir terutamanya menggunakan kapal terbang. Sememangnya bermusafir itu memenatkan, secanggih mana penerbangan tetap akan terasa keletihan. Namun, yang penting jadikan perjalanan suatu yang menggembirakan dan wasilah menyampaikan kita kepada cinta Allah dan Rasulnya. Insya Allah.

Albazrah tidaklah banyak pengalaman merantau atau bermusafir. Sedikit pengalaman ketika membawa Nisreen pulang ke Malaysia hanya bersendirian tanpa Abu Nisreen (Nisreen 9 bulan), ketika kembara kami di Turki (Nisreen 1 tahun 5 bulan) dan ketika Nisreen dua tahun balik ke Malaysia. Semua pengalaman berbeza-beza. Namun kesyukuran dipanjatkan kepada Allah kerana membantu kami di semua keadaan.

1. Ketika albazrah hanya berdua pulang ke Malaysia bersama Nisreen dahulu, Abu Nisreen berpesan ingatlah kalian berdua itu makhluk Allah yang lemah. Seorang perempuan dan seorang lagi bayi. Bertawasullah dengan kelemahan kalian, sifat 'ajz dan faqir. Perkara ini Bediuzzaman Said Nursi ulang berkali-kali di dalam Risale-i Nur. Alhamdulillah albazrah dapati, apabila kita sentiasa menyedari kelemahan kita di hadapan Allah, Allah memberi bantuan dari segenap sudut.

2. Ketika membeli tiket mungkin kita boleh mengambil kira keselesaan anak kecil, andai perlu tempat tidur bayi (bassinet) kita boleh memohon tempat duduk bahagian hadapan. Di dalam kapal terbang ibu-ibu fleksibel kan diri, tidak perlu rasa malu. Sekiranya perlukan pertolongan hampir semua orang ingin membantu ibu-ibu yang membawa anak.

3. Selalunya ibu yang membawa anak diberi keutamaan di setiap keadaan. Walaupun ada juga keadaan sebaliknya. Krew di dalam pesawat juga sedia membantu dan mesra. Pernah albazrah di dalam pesawat Emirate pramugari dan pramugara datang bertanya berselang seli apa keperluan yang albazrah perlukan. Pesawat Emirate di antara pesawat yang amat prihatin tentang keperluan bayi.

4. Albazrah mencadangkan, sebelum berangkat belilah satu atau dua permainan baru yang menarik. Di dalam pesawat boleh beri anak main satu demi satu, tidak perlu beri sekaligus. Bagi anak yang lebih besar, stiker atau buku warna bersama warna. Boleh juga dibawa makanan yang bersesuaian yang disukai. Sesetengah lapangan terbang tidak membenarkan membawa masuk makanan. Semasa di Turki, air yang kami beli sebotol kecil dengan harga 5 lira perlu dibuang, ketika itu cepat-cepat kami minum :)

5. Semasa berlepas dan mendarat, baik sekiranya anak kecil disusukan bagi membantu anak kecil kita ketika tekanan udara yang rendah menyakitkan telinga. Albazrah pernah melihat beberapa kali bayi yang menangis kesakitan pada telinga dan tangisan berpanjangan di dalam pesawat. Sudah tentu ibu-ibu juga akan tertekan. Apapun, ibu-ibu perlu bertenang, ketenangan ibu juga mempengaruhi anak-anak. Kalau anak-anak tidur alhamdulillah.

6. Alangkah baik sebelum berlepas anak-anak dalam keadaan selesa, pakaian mereka, lampin mereka dan apa sahaja situasi yang memberi keselesaan kepada mereka. Sekiranya transit di mana-mana, ibu-ibu boleh menukar pakaian dan lampin. Apabila anak selesa mereka kurang menangis. Boleh dikatakan kebanyakan lapangan terbang menyediakan kemudahan yang selesa untuk menukar lampin bayi.

7. Di dalam pesawat juga ada kemudahan meja menukar lampin bayi. Albazrah mendapati selalunya tandas di sebelah kiri mempunyai kemudahan ini. Sekiranya kehabisan bekalan lampin pakai buang, kebanyakan pesawat menyediakan kemudahan ini. Jangan malu bertanya.

8. Makanan bayi juga disediakan di dalam pesawat, tetapi seringkali bayi tidak suka. Mungkin rasanya agak berbeza.

9. Ibu yang bermusafir sendirian dengan anak boleh memakai baby wearing terutamanya yang menggalas bayi dari depan. Tangan ibu akan berehat atau dapat membawa beg tanpa perlu mendokong bayi. Namun suatu pengalaman albazrah, fizikal albazrah yang kecil ketika mendokong Nisreen di arah depan dan beg di belakang albazrah hampir pitam berkali-kali syukur tidak rebah, albazrah cepat-cepat duduk.

10. Cuba minimumkan beban beg. Bawa keperluan bayi seperti lampin pakai buang, baju persalinan, botol, susu, ubatan. Selimut dan bantal selalunya di dalam pesawat ada di sediakan. Biskut (makanan), permainan, tisu basah, tisu, tuala kecil, dan apa-apa lagi yang berkaitan.

11. Sentiasa berdoa dan bersangka baik. Pengalaman membawa anak kecil amat istimewa, mereka tidak menyusahkan sebaliknya menjadikan perjalanan kita amat bermakna. Ibu-ibu akan dapati naluri keibuan itu membuatkan kita hanya mahukan yang terbaik buat anak, biarpun kita tidak selesa.

Wallahu a'lam. Moga bermanfaat.

5 comments:

maryam maisarah said...

salam albazrah,

terima kasih, sejuk hati mendengar pesanan Abu nisreen "kalian berdua makhluk Allah yang lemah".....

~azzarrah~ said...

maryam maisarah: terima kasih kak alida. Kami akan balik ke KL 1 Februari. Ada kesempatan kita jumpa ya.

Anonymous said...

Input yg baik untuk ibu-ibu yg membawa anak mengembara..

Salam kembara dibumi ALlah....

lina said...

Salam albazrah

Bertawasullah dengan Allah serta Rasulullah s.a.w dengan sepenuh jiwa dan hati....Insya Allah amazing thing do happend to US....

Thanks Albazrah for the tips.

maryam yaseerah said...

KAK MA, SHARE SKIT TIPS2 MENDIDIK ANAK DR BABY SMPAI 2 TAHUN... PLEASE YE, NAK TAHU.. SHARING IS CARING...:-)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails