Semalam Albazrah ber"chatting" dengan sahabat dari Bangkok, Najwa. Sudah lama tidak berbicara sangat rindu ingin bertemu Najwa. Najwa bertanya, "Kak Ma, bagaimana kita ingin melawan nafsu keinginan kita?"
Albazrah menjawab, "dengan melakukan apa yang nafsu tidak suka".
Najwa bertanya," bagaimana itu?"
Albazrah berkata," Kalau nafsu kita tidak suka kita bertanya soalan, maka kita mesti bertanya soalan. Kalau nafsu kita suka kita tidur, maka waktu itu kita mesti bangun, kalau nafsu malas hendak berqiyamullail, maka kita mesti qiyamullail, kalau nafsu malas hendak membaca, kita mesti banyak membaca bagi melawannya.
Najwa terus bersetuju, "ya, ya betul tu, saya tidak terfikir sebelum ini".
Hakikatnya Allah yang mendorong kita dan memberi hidayah, marilah kita pohon hidayah itu.
![]() |
| Pohon yang masih teguh hidup, pernah menaungi Baginda SAW ketika berniga ke Syam. Pohon ini berada di Jordan. |
Ia berbeza dengan sekiranya kita mengikut nafsu kita pula.
Bediuzzaman Said Nursi menulis di banyak bahagian dalam Rasail Nur tentang tamadun hari ini yang langsung tidak berpaksikan iman dan Islam.
Nursi berkata, tamadun hari ini yang berteraskan material dan ketiadaan Tuhan menjadikan hawa nafsu sebagai kompas atau arah yang dituju. Ia berbeza dengan pembangunan secara Islam dan iman yang menjadikan petunjuk hidayah yang memandu tamadun itu.
Nursi berkata, tamadun yang rosak ini telah menyebabkan manusia semakin miskin dan fakir kerana sentiasa mengikut kata nafsu yang inginkan pelbagai perkara.
Contohnya tamadun hari ini semakin rancak memenuhkan hawa nafsu manusia untuk makan. Apabila nafsu ingin makan semakin bertambah, pelbagai makanan difikirkan maka wujudlah pelbagai jenis restoran, kedai makan yang pelbagai bentuk dan rupa, sehingga mencapai tahap mewah dan pembaziran yang bertentangan dengan ajaran al-Quran. Seolah-olah makan itu merupakan hala tuju manusia. Pada ketika kita asyik menurut kata nafsu makan, makanan itulah tuhan kita.
Contoh lagi, apabila manusia mula teringin membeli rumah dan dihiaskan dengan pelbagai perabot dan segala macam alatan rumah, pelbagai bentuk warna dan fesyen, maka tamadun pembangunan itu mulalah menjual segala macam perabot pelbagai fesyen, berubah-ubah mengikut trend. Pembangunan tempang ini memanipulasikan keinginan manusia. Rumah juga pelbagai ragam bentuk, manusia terus mengumpul harta dan rumah yang hakikatnya rumah itu akan ditinggalkan. Seolah olah akan hidup selama-lamanya.
Pakaian begitu juga, neck tie sahaja ribuan macam, tudung pula ribuan macam dan warna serta fesyen. Kasut begitu juga diletakkan brend yang pelbagai, hakikatnya hanya mengalas kaki memudahkan manusia berjalan. Kaum wanita mengumpul "hand beg" tidak pun diguna, kumpul beg dan kumpul habuk. Kalaulah manusia hanyut dengan fesyen dan trend pakaian ini, pantang ada wang sentiasa ditambah pakaian dan pakaian, kasihan... itulah manusia yang fakir dan miskin kerana dia tidak pernah cukup dengan pakaian yang ada. Ya Allah jauhkan kami dari menjadi hamba pakaian dan fesyen.
Nafsu kelamin pula, lihat sahaja tamadun hari ini, produk dan pembangunan hari ini ialah yang mengikut keinginan manusia. Diberi sedikit diikutkan sedikit, semakin melarat keinginannya. Tetapi itulah yang diberikan oleh tamadun cacat bikinan kesesatan ini. Keinginan gay dan lesbian semakin dipenuhi, premis-premis maksiat semakin bertambah, pakaian-pakaian yang dijual semakin menjolok mata. Untuk apa ini semua? Untuk memenuhi nafsu manusia. Yang pastinya tidak akan penuh. Bahan bacaan, peralatan audio/visual yang semakin terpampang tanpa lagi rasa silu dan malu.
Nursi berkata, tamadun pincang ini hanya bertujuan melalaikan manusia dari sibuk dengan tujuan sebenar manusia dijadikan iaitu menambah ilmu untuk mengenal Tuhannya dengan ubudiyyah. Tamadun hari ini menjadikan manusia sibuk mencari duit untuk memuaskan nafsunya. Hakikatnya Allah memerintahkan berkerja dan berusaha untuk menampung kehidupan, dan sudah pasti janji Allah benar. Namun tamadun hari ini seolah menjadikan manusia tidak cukup dengan bekerja, kerana kerja itu pun tidak mampu memenuhkan nafsunya. Lalu mulalah manusia demi nafsunya ini, mendekati kemaksiatan dan dosa. Manusia mula mendekati riba, hutang sana sini, riba berkembang dan berkembang. Ada yang mula mencuri dan berbohong demi mendapatkan duit dan memenuhkan keinginannya.
Ketika itu runtuhlah akhlak manusia, sedangkan akhlak itulah asas seorang Muslim dan Mukmin. Walaupun secara zahir seolah tamadun hari ini menjadikan manusia dilimpahi kekayaan dan harta, namun secra hakikatnya ia menjadikan manusia papa kedana, fakir kerana sentiasa berhajat dan rosak akhlak. Nursi berkata:
Kemudian, apabila kebebasan hawa nafsu yang menjadi penghukum maka akan berubahlah keinginan-keinginan manusia yang tidak penting menjadi seperti satu keperluan utama, contohnya dengan kehidupan biasa dan ala kadar manusia mungkin hanya memerlukan empat perkara, namun di dalam tamadun kemajuan yang baru ini ia telah bertukar menjadi 100 keperluan. Begitulah kemiskinan yang melampau yang diinginkan oleh tamadun ini.
Tamadun baru ini gagal membahagiakan manusia. Tamadun yang tidak membahagiakan ramai manusia adalah tamadun yang ditolak oleh Quran. Tamadun ini telah menjatuhkan manusia yang tinggi dan mulia menjadi rendah nilainya seperti haiwan. Tamadun ini telah menjadikan kemanusiaan pupus secara maknawi. Kemanusiaan berubah menjadi haiwan.
Malah Nursi menyebut:
sekiranya diterbalikkan batin mereka dengan zahir mereka nescaya akan kelihatan mereka itu menyerupai serigala-serigala, beruang-beruang, ular-ular, kera-kera dan babi-babi.
Allahumma, selamat kan kami daripada fitnah kehidupan dan kematian, Jauhkan kami daripada fitnah Masih al-Dajjal.

5 comments:
Alhamdulillah.Syukran Dikma atas pengisian ruhani. Lama menyepi, siapkan thesis ya.
Diqma, doakan saya. Kadangkala terasa berat menggalas ujian. Semoga Allah mengampuni saya.
Teh zaharah
Assaha: Sama-sama kekanda, begitulah Kak Fied, awla laka fa awla... :)
Teh: Insya Allah saya doakan Teh. Bertabahlah sahabatku.
Assalamualaikum dikma, lama tak buka blog dikma. Hari ni Allah gerakkan hati dan jari. Hilang rasa gelisah dalam diri pabila baca apa yang di tulisi
Salam DikMa,
Terima kasih atas kunjungan ke teratak buruk kami. Ingin memnjam tulisan ini di dinding FB saya. Sangat terkesan dengan pengisian ini. Jazakillah.
Post a Comment