Saturday, December 31, 2011

Turkiye: Kedai Kitab

Di antara yang menarik hati kami juga ialah mencari kedai buku Hakikat Kitabevi. Kedai ini masih menjual kitab-kitab lama zaman Uthmaniyyah. Pak Cik Abdullah Thahir juga memesan beberapa kitab. Faiz seorang pelajar Malaysia di Istanbul membantu kami. Ia terletak di kawasan Fatih, Faiz memberitahu Parlimen Fatih sudah semakin luas. Kami menaiki trem dan mencari-cari berdasarkan alamat. Namun kami tidak bertemu Hakikat Kitabevi.

Faiz membawa kami ke sebuah kedai buku besar yang menempatkan buku-buku agama. Agak lama kami di situ. Semuanya di dalam bahasa Turki. Saya meneliti pelbagai jenis "muqaddam" untuk anak kecil, pelbagai gaya. Namun ia bukan setakat untuk anak kecil terlalu ramai yang dewasa masih tidak celik al-Quran.

Saya hanya membeli kad-kad kecil bercorakkan seni Uthmaniyyah yang menarik sebagai kenangan dan juga untuk ucapan.

Faiz membawa kami ke deretan kedai buku pelbagai jenis sungguh menarik. Kami dibawa ke sebuah kedai kecil Hayrat Nesriyat. Di situ kami membeli beberapa naskhah Jawshan Kabir yang menjadi wirid Ustaz Nursi. 

Kami masih berharap dapat menemui Hakikat Kitabevi. Terimbau kenangan para ulama di zaman Uthmaniyyah. Syeikul Islam Daulah Uthmaniyyah Sheikh Mustafa Sabri, beberapa tulisan beliau yang sempat saya baca semasa di UIA dahulu benar-benar menggambarkan kehebatan beliau sehingga menjadi Syeikhul Islam Daulah Uthmaniyyah. Imam Zahid Kauthari juga sering merujuk kepada beliau di dalam kitabnya Maqalat Kauthariyah. 

Saya juga teringat-ingat wajah bercahaya Sheikh Sulaiman Helmi Tunahan yang berjuang secara rahsia sezaman dengan Ustaz Said Nursi. Beliau berusaha mengajarkan al-Quran dan iman kepada pemuda dalam kelompok kecil yang terpaksa berpindah randah. Setelah itu kumpulan itu berpecah ke kawasan lain dan mereka mengajarkan pula al-Quran dan iman ke kawasan baru. Setelah sekian tempoh yang tidak berapa lama, mereka berpindah lagi demi menyelamatkan iman ummah.

Kami tidak bertemu Hakikat Kitabevi.

Tapi tidak sia-sia juga, kami bertemu sebuah kedai kitab yang dipenuhi kitab-kitab Arab dan terdapat juga kitab-kitab zaman Uthmaniyyah. Kitab-kitab kuning hanya dijual dengan harga 1 lira. Tiba-tiba kami terkagum sebentar kerana kitab kuning jawi juga ada dijual di situ. Kami membeli beberapa kitab hadith. Masya Allah, Subhanallah... pemilik kedai dan pekerja-pekerjanya adalah bertariqah Naqshabandiyah dari kawasan Diyarbarkir. Mereka bekerja untuk jemaah mereka. Kami dihadiahkan kitab cantik Tariqah Naqshabandiyah. Seperti budaya Turki yang lain mereka juga ikram tetamu dengan teh.

Di kedai inilah kami menemui kitab jawi dan membeli kitab hadith yang pelik


Abu Nisreen ketika berjalan bersendirian di Fatih Carcamba juga bertemu kedai kitab yang menjual kitab-kitab nadir. Beberapa kitab dibeli seperti Sharh Ibn Qasim, Sharh Ta'lim Muta'alim dan beberapa kitab lain yang kami tidak pernah temui di Sudan.

Thursday, December 29, 2011

Mutakhir

Ada tunjuk perasaan di Khartoum,  pembunuhan ketua rakyat Darfour. Dikatakan yang berkumpul ialah sokongan kepada pembunuhan tersebut.

Harga tiket Saudi Air ke Malaysia murah sekali, pergi dan balik hanya 300 USD. Kesannya ramai pelajar hendak balik!!! Malah kawan-kawan Algeria, Switzerland, Turki, Yaman dan ramai lagi pakat-pakat membuat rombongan bercuti ke Malaysia.

Duit Sudan jatuh lagi, 1 USD bersamaan 4.45 atau lebih.

Abu Nisreen selalu bercerita tentang kawan barunya Kamaruddin, pelajar dari Korea yang memeluk Islam. Datang ke Sudan belajar bahasa Arab dan ingin sekali mengukuhkan kefahaman agama. Minggu lepas di waktu malam dia dirompak, alhamdulillah selamat. Bersemangat ingin mendalami Islam. Mereka bersembang dalam bahasa Inggeris.


Anakanda Nisreen selalu buat ummi terharu, apabila setiap kali hendak tidur dia akan mengambil Qurannya dan minta ummi bacakan. Apabila ummi membacakan surah-surah di dalam Juz Amma dia akan mengikut dan sehinggalah tertidur sendiri. Alhamdulillah.

sumber: Zahidah

Setiap kali hendak makan, minum, pakai baju dan apa sahaja yang ummi bacakan Bismillah dan doa semenjak Nisreen bayi sekarang dia sudah pandai ingatkan diri sendiri mengangkat tangan berdoa.

Kalau dia bersin, dengan sendirinya akan menyebut alhamdulillah...malah orang lain bersin pun dia juga yang ucapkan alhamdulillah.

Abah pula setiap malam menyanyikan lagu 20 keturunan Rasulullah saw, Nisreen sudah ingat dia akan ikut dengan pelatnya sendiri.

Satu yang ummi hairan dia lebih suka pakai kopiah dan serban. Kalau dia hendak pakai tudung habis solat dan bermain sekejap sahaja dia sudah buka tudung. Nisreen lambat bercakap. Sekarang gigi ada sebelas.

Sumber: Albo


Saturday, December 24, 2011

Merdeka Jiwa


Nikmat dan rahmat Allah melimpah tiada bertepi. Kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah Ta'ala yang sentiasa setiap detik mendidik diri ini. Apa lagi yang perlu saya lakukan selain bersyukur dan bersyukur.

Hari ini kami tiga beranak telah menziarahi rumah seorang pensyarah universiti saya di Daerah Omdurman, Sudan. Janganlah dibayangkan kehidupan seorang pensyarah seperti pensyarah di Malaysia yang bergaji besar, mewah dan tinggi kedudukan. Ketika keretanya tiba menjemput kami di stesen riksya (bajaj macam tut tut di India), hati saya diruntun sayu. Sungguh daif kereta itu dan mungkin kalau di Malaysia tiada siapa lagi yang akan memandu kereta seumpamanya. Ketika menutup pintu serasa mahu runtuh sahaja. Allah... kasihan pensyarahku. Malah ramai lagi pensyarah yang hanya menaiki bas ke universiti berulang alik kerana tidak mampu memiliki kereta.

Pensyarah saya itu sungguh besar hati kami datang ke rumahnya. Subhanallah, rumah seorang pensyarah yang memiliki PhD dan sungguh hebat sekali di lapangan ilmu hadith, namun keadaan nya jauh dari sangkaan saya. Mahu menitis air mata saya ketika kereta berhenti di depan rumah. Dinding yang pecah-pecah, pemisah-pemisah di antara bilik dengan kain, sungguh zuhud dan tawadhuk sekali. Allahu Akbar. Betapa mewah kehidupan di Malaysia namun masih dirasakan tidak kecukupan lagi.


Namun seperti budaya Arab yang lain, mereka sangat meraikan tetamu. Kami tidak langsung rasa terasing, malah seperti keluarga sendiri. Hari ini tanpa saya sangka saya diheret masuk ke dalam hidup masyarakat kampung tempatan  "hayah sya'biyah", yang sama sekali berbeza dengan kehidupan di Khartoum. Mereka hidup dalam satu rumah dipisahkan bilik-bilik terdiri daripada datuk dan nenek, anak menantu dan cucu-cucu, keluarga besar.

Mereka bersungguh-sungguh sekali hendak membawa kami ke Sungai Nil setelah kami dihidangkan makanan yang lazat, masya Allah. Saya beberapa kali ke sungai Nil bersama rakyat dan pelajar Malaysia. Tapi kali ini lain benar kerana rihlah bersama rakyat tempatan sendiri. Saya belajar banyak perkara daripada mereka daripada bahasa, budaya dan yang paling penting mereka begitu merendah diri dan mudah. Tidak ada apa yang susah dan sukar. Hidup mereka "simple" tidak banyak perkara perlu difikirkan. Rumah, asalkan ada tempat tinggal yang boleh melindungi daripada panas matahari walau yang menaungi mereka hanya susunan kotak dan ikatan kain. Makan juga sungguh mudah di dalam talam beramai-ramai. Kehidupan mereka "simple" tetapi gembira. Anak-anak sangat menghormati dan mendengar cakap ibu bapa. Adik-adik yang kecil ceria bermain menghormati yang tua. Anak-anak yang besar pandai menjaga diri dan mencintai adik-adik yang kecil. Subhanallah...institusi kekeluargaan mereka masih utuh. Malahan jiran-jiran demikian juga, dan kampung-kampung lainnya.


Allah mentaqdirkan saya hadir ke rumah se"tawadhuk" itu untuk saya belajar makna yang terlalu besar. Mungkin mereka kerdil dan kecil di mata dunia, tetapi jiwa mereka besar menadah pelbagai rahmat Allah dan saya begitu yakin, insya Allah sedang menanti istana mahligai agung buat mereka di syurga sana. Subhanallah... Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah atas didikan luar biasa pada hari ini buat hamba.

(Kisah ini berlaku pada beberapa bulan yang lalu)

Friday, December 23, 2011

Berhati-hati penipuan akademik

Sekiranya sesiapa sahabat-sahabat yang menerima email sebegini, berhati-hatilah. Nampak seperti gempak untuk menerbitkan penulisan akademik! Tetapi ini mungkin adalah penipuan. Semoga kita tidak cepat terpesona. Beberapa link boleh dirujuk : sini dan sini dan sini juga.

Banyak perkara yang menimbulkan kecurigaan terutama apabila mereka meminta nombor akaun. Hehe kalau mereka ambil nombor akaun saya pun ada berapa sen saja.

Tetapi mungkin juga mereka syarikat yang benar kerana penerbitan mereka terdapat di amazon seperti di sini. Namun berhati-hatilah kerana mereka juga meminta keseluruhan hak cipta bagi email yang seterusnya.

Berikut email yang dihantar kepada ramai pelajar ijazah tinggi secara sekaligus di seluruh duna: 

Dear Noor Azma binti Mohamad Khassim,

As stated by the International Islamic University 's electronic repository, you authored the work entitled "Knowledge paradigm in the prophetic tradition  an analytical study of the views of Bediuzzaman Said Nursi " in 2007 within the framework of your postgraduate degree.

Due to the fact that we are currently planning publications in this subject field, we would be pleased to know whether you would be interested in publishing the above mentioned work with us.

International Book Market Service is a member of an international publishing group which has almost 10 years of experience in the publication of high-quality research works from well-known institutions across the globe.

Besides producing printed scientific books, we also market them actively through more than 80,000 booksellers.

Kindly confirm your interest in receiving more detailed information in this respect.

I am looking forward to hearing from you.

Sincerely,

Holly Russell
Acquisition Editor

LAP LAMBERT Academic Publishing GmbH & Co. KG
Heinrich-Böcking-Str. 6-8
66121, Saarbrücken, Germany

Fon +49 681 3720-310
Fax +49 681 3720-3109

h.russell@lap-publishing.com / www.lap-publishing.com

Handelsregister Amtsgericht Saarbrücken HRA 10752
General unlimited partner: VDM Management GmbH
Managing directors: Thorsten Ohm (CEO), Dr. Wolfgang Philipp Müller, Esther von Krosigk


Friday, December 16, 2011

Jumaat Mubarak


Allahumma Solli 'ala Sayyidina Muhammad wa 'ala ali Sayyidina Muhammad


Semalam suamiku membacakan kitab sanad Musnid Dunia Sheikh Yassin Fadani, kami begitu teruja membaca sanadnya yang melalui Sheikh Zahid Kauthari telah bersambung juga dengan ulama agung Sheikh Dhiauddin Kumashkonawi. Pada entri yang lalu ku telah menyebut secebis kisah Ustaz Nursi dan Mulla Abdullah berkaitan Sheikh Dhiauddin Kumashkonawi.

Sheikh Zahid Kauthari Ulama agung Istanbul kemudian berhijrah ke Mesir mengisahkan di dalam ijazahnya kepada Sheikh Yassin Fadani tentang guru-gurunya. Kisah tentang Sheikh Dhiauddin panjang sekali. Sheikh Dhiauddin menguasai ilmu hadith dan mengajarkan di madrasahnya, Sheikh Dhiauddin juga seorang Murshid Tariqah Naqshabandiah yang hebat.

Mulianya para ulama membuka madrasah (kiraathane atau darshane, ku tidak pasti) memberi pendidikan percuma. Dikisahkan oleh Sheikh Zahid Kauthari tentang kemeriahan Istanbul sebagai tempat ilmu, ribuan ulama dari seluruh pelusuk dunia Islam berkumpul. Di sana terkumpulnya ulama ulama besar. Maqam Sheikh Dhiauddin Kumashkonawi pula terdapat di Masjid Sulaymaniyyah yang cantik itu. 

Sheikh Dhiauddin mengajarkan pelbagai kitab, Kitab al-Jami' al-Saghir oleh Imam Suyuti sahaja telah 70 kali dikhatamnya bersama para murid. Ku teringat tatkala di Istanbul, ku menemui puluhan madrasah yang kini hanya tinggal sejarah, ditutup semasa zaman gelap di dalam sejarah Islam oleh Atarturk. Ketika kami singgah suatu hari untuk melepaskan lelah tersesat di suatu wakaf di dalam bangunan, rupa-rupanya bangunan itu adalah madrasah. Binaannya seni dan penuh ukiran. Indah. Di sepanjang perjalanan juga kelihatan bangunana-bangunan unik sedemikian, tinggalan sejarah madrasah yang penuh barakah, ditutup dengan kejamnya. Para ulama' dibunuh. Buku-buku agama dibakar dan dijual lelong dengan harga kertas sahaja.

Aduh sepanjang perjanan di bumi khilafah Turki, hari-hariku hanyalah air mata. Menangisi segala kehilangan namun terus ku berharap ketika berdoa di Maqam Sahabi Jalil Abu Ayyub al-Ansari dan juga Maqam al-Fateh agar sinar iman dan Islam kembali gemilang.

Tinggalan bangunan madrasah menjadi tempat jualan souviner

Pilu

Andai madrasah ini berkata-kata, mungkin ia sedang menangis

Namun ini semua menjadi saksi di akhirat perjuangan umat terdahulu untuk iman

Tuesday, December 13, 2011

Tabiat

Aku merenung manusia ini berkumpulan-kumpulan. Setiap seorang cenderung kepada sesuatu yang menepati tabiat dirinya. Acuan setiap manusia berbeza-beza. Lalu tidak perlu dihairankan kerana banyaknya kumpulan lantaran berbezanya acuan manusia itu.

Guruku Pak Su Mid Bukit Tembaga pernah berkata "kita tidak mungkin memaksakan manusia kepada satu-satu kumpulan kerana toba'/tabiat yang ada dalam diri setiap orang itu berbeza."

Sebab itu berlapang dadalah. Tenang-tenang sahaja.

Mereka yang kecenderungannya politik akan memilih politik sebagai wadah perjuangan. Dalam politik itu sendiri pelbagai ragam partinya.

Mereka yang hala tujunya bisnes mencari teman-teman dan rakan yang sejiwa dengannya. Meluaskan network perniagaan. Bertukar-tukar tip-tip dan panduan.


Mereka yang cintakan ilmu berkecenderungan ke arah akademik tidak kurang juga majlis-majlis ilmu dan bertalaqqi.

Mereka yang cintakan ulama dan tokoh mengkagumi tokoh masing-masing. Tidak perlu hairan ada menyintai tokoh A tidak tokoh B.

Aku sendiri seakan faham kecenderungan itu, kawan-kawan di dalam ABIM ada kecenderungan mereka, kawan-kawan JIM ada kecenderungan mereka. Kawan-kawan tariqah tasawuf ada penumpuan mereka, kawan-kawan haraki memiliki keutamaan mereka. Kawan-kawan tabligh dengan perjuangan dan dakwah mereka.

Malah di dalam kumpulan itu ada kecenderungan lain lagi. Itulah yang aku perhatikan di dalam Tulab Nur juga. Tulab Nur sendiri memiliki puluhan kumpulan tersendiri. Setiap kumpulan ada cita-cita mereka. Kecenderungan ahli juga tertuju kepada tabiat yang sedia.

Apapun janganlah lupa hayat ini terlalu pendek usah disiakan dengan bertelagah. Laksanakan tugas masing-masing demi Islam dan iman. Di akhirat nanti kita dikumpulkan dengan siapa kita berkumpul di dunia.

Friday, December 09, 2011

Keajaiban Bersedekah


Malam semalam ketika Abu Nisreen pulang dari pengajian Fiqh di Masjid Tulab Wafidin di Jabrah, seperti selalu Abu Nisreen akan bercerita tentang pengajiannya kepada albazrah. Di akhir bab Zakat Sheikh menyebut tentang sedekah.

Sheikh menceritakan kisah benar keajaiban sedekah yang berlaku di Saudi. Abu Nisreen kembali mengisahkannya kepada albazrah. Kisahnya begini:

Seorang wanita kaya di Saudi telah disahkan akan menjalani pembedahan membuang ketumbuhan yang berbahaya dan besar di payudaranya. Doktor telah menetapkan tarikh pembedahan yang bakal dijalankan. Sudah tentu kebimbangan dan kesedihan melanda hati kecil wanita itu.

Ketika di rumah pula wanita itu berasa tidak senang hati melihat tingkah laku pembantu rumahnya yang berasal dari Indonesia. Apa tidaknya, pembantu itu sering masuk ke dalam bilik air dan mengambil masa yang lama baru keluar. Perbuatannya yang sering berlama-lama di dalam bilik air mengundang marah wanita tadi. Sehingga suatu hari dia bertanya kepada pembantunya:

"Kenapa aku lihat engkau sering kali menggunakan bilik air dalam tempoh yang lama. Lama benar engkau di dalamnya. Apa yang engkau lakukan?"

Setelah dimarahi, pembantu itu menangis memberi tahu:

"Sebenarnya aku tidak memberitahumu Puan, bahawa sebenarnya sebelum aku datang ke Saudi untuk bekerja aku baru sahaja melahirkan anakku. Jadi setiap kali susuku bengkak kerana dipenuhi susu aku akan masuk ke bilik air dan memerahnya. Aku memerahnya untuk mengurangkan kesakitanku. Setiap kali itu juga aku amat rindukan anak ku teringatkan keadaanya yang sedang aku tinggalkan. Setiap kali susu membangkak aku amat sakit dan amat rindukan anak ku."

Wanita Saudi itu terperanjat lalu berkata:

"Kenapa engkau tidak memberitahu ku. Kalau begitu mahukah aku berikan kamu cuti selama satu tahun lalu engkau pulang dan susukan bayimu sehingga cukup kemudian baru kamu datang ke sini. Aku akan menanggung semua biaya kamu sehingga satu tahun, baru kamu kembali lagi bekerja."

Begitu murah hati wanita itu merahmati seorang ibu yang terpisah dengan anaknya.

Manakala wanita Saudi itu semakin hari dia merasakan keringanan dari sakitnya, apabila kembali bertemu doktor untuk pembedahan, doktor begitu terperanjat mengatakan sudah mengecil dan semakin hilang bengkak ketumbuhan di payudaranya. Pembedahan tidak perlu dijalankan lagi.

Sheikh menyebut wanita itu merahmati kesakitan payudara pembantu rumahnya yang bengkak susu dengan memberi cuti supaya pembantu itu pulang menyusukan anaknya, lalu Allah merahmatinya dengan menghilangkan kesakitan payudaranya pula. Allahu Akbar. Allahu Akbar.

Sunday, December 04, 2011

Khidmat Iman

Suatu hari ketika Nursi bertemu abangnya Mulla Abdullah, abangnya bercerita tentang Sheikh Dhiyauddin Kumasykonawi. Mulla Abdullah merupakan murid rapat dan kanan kepada Sheikh Dhiyauddin. Mulla Abdullah bercerita pelbagai karamat dan kehebatan Sheikh Dhiyauddin kepada Nursi, beliau menyebut-nyebut tentang ilmunya yang luas serta ketinggian maqamnya. Satu persatu kehebatan Sheikh disebut oleh Mulla Abdullah.

Sheikh Dhiyauddin Kumasykonawi



Setelah itu Nursi berkata,
"Wahai abangku yang dikasihi, engkau keterlaluan dalam memuji, ketahuilah sekiranya aku bertemu dengan Sheikh Dhiyauddin pasti lah aku dapat mengalahkan hujahnya dalam beberapa permasalahan."

Nursi berkata lagi, "Malah engkau tidak pun benar-benar mencintai Sheikh Dhiyauddin, sebagaimana aku mencintainya!"


"Engkau mencintai Sheikh Dhiyauddin hanya kerana apa yang engkau khayalkan di dalam kepalamua tentang kehebatan ilmu, kewaliyannya sehingga mengetahui segala apa yang ada di alam semesta ini. Cintamu kepadanya terikat disebabkan perkara-perkara dan sifat ini. Sekiranya terbuka hijab dan nampak hakikat dirinya, sudah pasti cintamu kepadanya akan hilang malah engkau akan mengata-kata tentangnya."

"Sedangkan aku mencintai Sheikh Dhiyauddin yang soleh dan wali itu sama sebagaimana cintamu kepadanya. Aku mencintainya bukan kerana kewaliannya tetapi kerana dia sebagai seorang yang berkhidmat untuk iman dan Islam. Malah cintaku lebih lagi dan aku juga amat menghormatinya kerana beliau seorang guru pembimbing orang-orang beriman ke jalan yang benar dan juga kepada sunnah Rasulullah saw. Bagaimana keadaannya sekalipun, aku bersedia untuk mengorbankan rohku berkhidmat kepadanya kerana khidmatnya itu untuk iman."

Kalaulah tersingkap hijab yang sebenar sehingga terlihat hakikat dirinya, nescaya aku tidak akan meninggalkannya dan tidak akan mengurangkan cintaku kepadanya. Malah akan bertambah kukuh hubungan dan kasihku kepadanya.

Memang aku benar-benar mencintainya sebagaimana dia dan hakikat dirinya. Sebaliknya cintamu kepada Sheikh Dhiyauddin wahai abangku hanyalah kerana apa yang dalam khayalanmu sahaja.

Mulla Abdullah mengakui dan membenarkan kata-kata Nursi itu.

Nursi juga mengingatkan saudara-saudaranya Tulab Nur yang berkorban di jalan Allah, janganlah keterlaluan bersangka baik dan mengagungkannya. Beliau meminta supaya lihatlah kepada Said Nursi yang sedang berkhidmat untuk al-Quran, kerana sekiranya tersingkap hijab yang menutup dirinya, nescaya mereka akan melihat Said Nursi yang diselaputi kekotoran dan kekurangan dari hujung kepala sehingga ke hujung kaki, pada ketika itu pandanglah Said Nursi dengan pandangan kasihan belas.

Janganlah mereka kecewa dan menghubungkan dirinya dengan kedudukan maqam yang dibayangkan kepadanya kerana ia amat melampaui hakikat Said Nursi yang sebenarnya.

Said Nursi bukanlah sesiapa melainkan saudara yang juga berkhidmat untuk iman. Biarlah keterlaluan dalam menjaga hubungan persaudaraan dan mencari keikhlasan ia adalah lebih baik daripada keterlaluan menyangka ketinggian maqam yang melampaui hadnya.

Ayuh sahabat-sahabat sekalian, marilah kita melihat ustaz-ustaz dan guru-guru kita dengan pandangan belas kasihan dan ingin berkhidmat, demi membantu mereka berkhidmat menyampaikan iman. Biarpun mungkin terdapat kekurangan di sana sini, marilah kita membantu mereka yang ikhlas membantu agama ALlah.
Insya Allah... :)


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails