Di antara yang menarik hati kami juga ialah mencari kedai buku Hakikat Kitabevi. Kedai ini masih menjual kitab-kitab lama zaman Uthmaniyyah. Pak Cik Abdullah Thahir juga memesan beberapa kitab. Faiz seorang pelajar Malaysia di Istanbul membantu kami. Ia terletak di kawasan Fatih, Faiz memberitahu Parlimen Fatih sudah semakin luas. Kami menaiki trem dan mencari-cari berdasarkan alamat. Namun kami tidak bertemu Hakikat Kitabevi.
Faiz membawa kami ke sebuah kedai buku besar yang menempatkan buku-buku agama. Agak lama kami di situ. Semuanya di dalam bahasa Turki. Saya meneliti pelbagai jenis "muqaddam" untuk anak kecil, pelbagai gaya. Namun ia bukan setakat untuk anak kecil terlalu ramai yang dewasa masih tidak celik al-Quran.
Saya hanya membeli kad-kad kecil bercorakkan seni Uthmaniyyah yang menarik sebagai kenangan dan juga untuk ucapan.
Faiz membawa kami ke deretan kedai buku pelbagai jenis sungguh menarik. Kami dibawa ke sebuah kedai kecil Hayrat Nesriyat. Di situ kami membeli beberapa naskhah Jawshan Kabir yang menjadi wirid Ustaz Nursi.
Kami masih berharap dapat menemui Hakikat Kitabevi. Terimbau kenangan para ulama di zaman Uthmaniyyah. Syeikul Islam Daulah Uthmaniyyah Sheikh Mustafa Sabri, beberapa tulisan beliau yang sempat saya baca semasa di UIA dahulu benar-benar menggambarkan kehebatan beliau sehingga menjadi Syeikhul Islam Daulah Uthmaniyyah. Imam Zahid Kauthari juga sering merujuk kepada beliau di dalam kitabnya Maqalat Kauthariyah.
Saya juga teringat-ingat wajah bercahaya Sheikh Sulaiman Helmi Tunahan yang berjuang secara rahsia sezaman dengan Ustaz Said Nursi. Beliau berusaha mengajarkan al-Quran dan iman kepada pemuda dalam kelompok kecil yang terpaksa berpindah randah. Setelah itu kumpulan itu berpecah ke kawasan lain dan mereka mengajarkan pula al-Quran dan iman ke kawasan baru. Setelah sekian tempoh yang tidak berapa lama, mereka berpindah lagi demi menyelamatkan iman ummah.
Kami tidak bertemu Hakikat Kitabevi.
Tapi tidak sia-sia juga, kami bertemu sebuah kedai kitab yang dipenuhi kitab-kitab Arab dan terdapat juga kitab-kitab zaman Uthmaniyyah. Kitab-kitab kuning hanya dijual dengan harga 1 lira. Tiba-tiba kami terkagum sebentar kerana kitab kuning jawi juga ada dijual di situ. Kami membeli beberapa kitab hadith. Masya Allah, Subhanallah... pemilik kedai dan pekerja-pekerjanya adalah bertariqah Naqshabandiyah dari kawasan Diyarbarkir. Mereka bekerja untuk jemaah mereka. Kami dihadiahkan kitab cantik Tariqah Naqshabandiyah. Seperti budaya Turki yang lain mereka juga ikram tetamu dengan teh.
Di kedai inilah kami menemui kitab jawi dan membeli kitab hadith yang pelik
Abu Nisreen ketika berjalan bersendirian di Fatih Carcamba juga bertemu kedai kitab yang menjual kitab-kitab nadir. Beberapa kitab dibeli seperti Sharh Ibn Qasim, Sharh Ta'lim Muta'alim dan beberapa kitab lain yang kami tidak pernah temui di Sudan.

0 comments:
Post a Comment