Sudah dua bulan lebih saya tidak mengikuti perbincangan Rasail Nur bersama pelajar-pelajar Universiti Khartoum. Sabtu lalu saya kuatkan tekad untuk hadir. Alhamdulillah, setelah menghantar Aishah ke lapangan terbang pulang ke Malaysia, sebelah petang saya pergi ke diskusi Rasail Nur.
Saya terlewat sampai mereka sedang membaca al-Quran, setelah itu membaca dan berbincang Rasail Nur dari Risalah Luma'at ke-3 tentang Ya Baqi Anta al-Baqi Ya Baqi Anta al-Baqi. Ustaz Nursi mengulangkan kata-kata ini sebanyak 200 kali. 100 yang pertama umpama melakukan pembedahan hati, membuka hati dan menyucikan hati yang cintakan dunia. Ketika hati dibedah, satu persatu cinta dunia dibuang dan dicuci. Manakala 100 kedua umpama ubat atau penawar yang disapu untuk melegakan bekas pembedahan tadi.
Setelah perbincangan, makan dan solat saya dikhabarkan akan ke rumah orang tua-tua. Saya terperanjat kerana langsung tidak tahu, tetapi saya mahu ikut sekali. Saya hanya membawa Rasail Nur.
Kami berangkat ke Shajanah atas sedikit dari Khartoum. Saya langsung tidak pernah sampai ke kawasan itu. Alhamdulillah berpeluang pula berziarah ke situ. Kami dilarang mengambil apa-apa gambar.
90 peratus penghuni rumah orang tua-tua itu tidak berapa sihat ingatan dan aqal mereka, kebanyakan sudah nyanyuk. Mereka terlalu tua renta. Kami bersalaman dan ada juga yang tidak mahu bersalam. Kasihan sekali, mereka terbuang dan ditinggalkan keluarga.
Terdapat juga penghuni yang hilang upaya tidak dapat bangun terbaring seumur hidup kerana mereka pernah cuba digugurkan semasa di dalam kandungan. Pelbagai usaha dilakukan untuk menggugurkan mereka tetapi takdir Allah mereka tetap lahir cuma telah cacat disebabkan ubat-ubatan yang pelbagai.
Di sebelah kanan rumah orang tu-tua itu terdapat rumah kebajikan menempatkan gadis-gadis terbuang semenjak kecil, mereka anak-anak yang tidak sah taraf iaitu anak-anak zina yang tidak dikehendaki ibu bapa. Di sebelah kiri pula rumah kebajikan untuk anak-anak lelaki yang tiada ibu bapa juga kerana hal yang sama.
Matlamat pelajar-pelajar Universiti Khartoum itu untuk menggembirakan hati orang tua-tua dengan berita-berita baik dari al-Quran. Mereka ingin berkongsi Risalah Syuyukh (Risalah warga Tua, Said Nursi) dengan penghuni rumah orang tua itu. Namun keadaan mereka yang terlalu tua hampir kepada tidak menyedari keadaan sekeliling agak mustahil berbuat demikian. Kami bertemu hanya seorang nenek yang asyik berzikir di halaman rumah itu. Nenek itu seorang yang berpendidikan mungkin.
Ketika kawan-kawan memperkenalkan saya dari Malaysia, dia berkata Subhanallah rakyat Malaysia di Makkah ketika musim haji paling ramai, Malaysia dan Indonesia. Saya mengajaknya ke Malaysia dia berkata "welcome, welcome".
Kawan-kawan membuat keputusan untuk datang lagi dan membawa nenek itu bersiar-siar dan menggembirakannya dengan janji-janji Allah seperti di dalam Risalah Syuyukh itu suatu hari.
Kami pulang setelah lewat petang, apa yang saya dapati meskipun rumah kebajikan ini dilimpahi bantuan kemewahan dan kewangan namun susana sedih dan suram amat terasa dan menggigit. Wajah-wajah mereka menggambarkan seribu macam rasa yang tidak tahu saya ertikan. Ketika itu saya faham bagaimana Said Nursi rasakan ketika kesunyian di dalam tahanan perang di Rusia. Nursi menjadi ketua perang bagi kumpulan tentera sukarelawan melawan Rusia semasa Peperangan Dunia Pertama, dan menjadi tawanan setelah cedera. Nursi berkata walaupun usianya ketika itu 40 namun bagi siapa yang menyaksikan Perang Dunia sudah pasti akan menjadi tua. Sambil Nursi mentafakkurkan erti ayat ke 17 dari Surah al-Muzammil.
يوما يجعل الولدان شيبا
Di dalam Risalah untuk orang tua, diberikan berita-berita gembira buat orang-orang tua sehingga mereka tidak lagi resah gelisah menghadapi kehidupan ini dan kehidupan akan datang.
4 comments:
salam albazrah,
Allah hu ALLAH..sungguh terkesan dengan cerita ini
Salam Lina, terima kasih... Alhamdulillah, saya juga ketika pulang termenung memikirkan tentang diri di kala tua nanti.
Assalamualaikum
Umur saya sudah lebih 50 tahun memang sudah tua...bersyukur kerana masih dikurniakan kesihatan masih dapat menulis...al hamdulillah...
Badiuzzaman Said Nursi pernah menjadi pemimpin angkatan perang menentang tentera Russia...beliau juga pernah menjadi tawanan perang dan selamat dari hukuman bunuh.
Kemudian beliau pulang ke Turki hanya dengan berjalan kaki selama tiga bulan sampai di Istanbul.
Bagaimana perjalanan beliau itu masih misteri...jika cikpuan ada maklumat sudi dikongsikan...
Terima kasih.
Wa'alaikummussalam Pak Latip,
Didoakan Pak Latip dipanjangkan usia untuk beribadah dan berkhidmat menulis memberi ilmu kepada generasi kita. Amin.
Perjalanan Ustaz Nursi sehingga kembali semula ke Istanbul ada disebutkan dibeberapa tempat di dalam Rasail Nur, Ustaz Nursi tidak bercerita secara terperinci. Insya Allah saya akan tulis sedikit kepada Pak Latip.
Post a Comment