Sunday, November 13, 2011

Penghalang musibah

Kerja amar makruf nahi munkar adalah tugas kenabian yang disambung oleh para ulama dan pendakwah. Malah semua orang beriman mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikan kebenaran. Terima kasih kepada jemaah Tabligh yang berterusan tidak patah semangat meneruskan dakwah. Terima kasih kepada sesiapa sahaja yang mengajak ke arah kebaikan dan melarang kemungkaran.

Di akhir zaman akan tiba ketikanya, manusia yang mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran pula yang dimusuhi. Kemungkaran menjadi perkara biasa sehingga orang yang tidak melakukan kemungkaran pula dihina.

Ajaklah ke arah kebaikan dan cegahlah kemungkaran dengan apa daya yang kita ada, dengan kemampuan ilmu dan kudrat kita, kerana selagi ada amar makruf nahi mungkar ia menjadi penghalang turunnya kemurkaan Allah.

Ketika ini saya sedang membaca Syu'a'aat. Ketika Nursi membela diri di mahkamah, Nursi berkata Rasail Nur ibarat penghadang daripada turunnya bala, sekiranya Rasail Nur itu dihentam pastilah bala itu akan turun. Subhanallah tidak lama, beberapa ketika selepas itu berlaku kebakaran besar-besaran di Dairatul Ma'arif, Ankara, di makmal di Izmir dan di bangunan di "Athna" (saya tidak pasti ejaannya) seolah semuanya serentak pada satu masa. Dan selepas itu Nursi menyambung lagi, Nursi berkata dengan keras janganlah kalian menghalang aku dari Rasail Nur, kalau tidak akan berlaku kerugian yang dahsyat ka atas diriku dan juga negara ini, sesungguhnya bumi itu bersangatan marah dengan berlakunya gempa.

Hanya beberapa minit selepas Nursi berkata-kata berlakulah gempa bumi tergambar kemarahan bumi yang menyusuli kebakaran dahsyat tadi. Semua itu ketika Rasail Nur diserang dan dilemparkan pelbagai tuduhan.

Suatu ketika lagi masih juga di dalam Syu'a'aat, Nursi sedang menulis beberapa hujah untuk membela dirinya di dalam mahkamah. Hujah pertama dan ketika menulis hujah kedua, Nursi menulis Rasail Nur ialah suatu kebenaran yang diterima dan merupakan penghadang daripada berlakunya musibah dan ketika mana Rasail Nur itu diserang, musibah dan bala akan mendapati peluang di hadapannya terdedah tiada penghadang, dan selalunya bumi itu marah dengan berlakunya gegak gempa.

Sampai di situ, Nursi ingin terus menulis tetapi serentak telah bergoncang dengan gempa. Ketika Nursi ingin menulis lagi tentang kemarahan bumi, gempa berlaku lagi sehinggalah Nursi mengambil keputusan tidak lagi menulis hujah ini dan beliau berpindah menulis hujah ketiga untuk membela diri.

Subhanallah... Allahu Akbar.

Wahai diriku dan sekalian sahabat, janganlah takut... marilah kita mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kita hanya mencari redha Allah, sekiranya Allah redha, biarlah seluruh alam dan penghuninya marah pada kita, ia tidak menggugat kita sedikit pun.

2 comments:

ibah said...

Jazakillah khairal jaza' :)

~albazrah~ said...

Barakallahufiki ya ukhti al-mahbubah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails