Friday, November 18, 2011

Imtihan

Semalam Abu Nisreen ke pengajian Fiqh, talaqqi bersanadnya di Masjid Tulab Wafidin di Jabrah. Hari Khamis adalah hari pengajian kitab 'Umdah. Walaupun ia pengajian Fiqh Mazhab Shafei, murid yang datang belajar terdiri dari pelbagai Mazhab seperti Hanafi, Maliki, Ansar Sunnah dan sebagainya.

Pengajian semalam diisi dengan ujian daripada Sheikh. Murid yang diuji dikehendaki duduk di hadapan murid-murid lain dan diberikan kitab, lalu Sheikh membuka mana-mana tajuk dan menyoal murid. Murid perlu menjawab dengan menyatakan hukum dan dalil, serta menerangkan perkara tersebut di dalam bahasa Arab.

Ujian dilakukan setiap kali tamat satu bahagian. Malam tadi ujian bab solat. Beberapa bulan lalu, mereka diuji pada bab taharah. Bab Solat bab yang mencabar kerana paling panjang merangkumi hukum ahkam pelbagai solat, solat fardhu, solat sunat, solat jenazah, solat sewaktu perang, soal batas aurat lelaki, perempuan, hamba dan sebagainya.

Alhamdulillah, telah selesai diuji. Walaupun Abu Nisreen yang imtihan, albazrah turut berdebar sekali. Abu Nisreen berpesan sebelum pergi minta didoakan.

Selain kitab 'Umdah, pengajian kitab Minhaj juga ada ujian. Kitab Minhaj, Imam Nawawi ini paling mencabar, soalan yang ditanya merangkumi pelbagai masalah termasuk yang terdapat di dalam Kitab Sharah Minhaj iaitu Tuhfah. Sudah berlalu bab Taharah dan sekarang masih di dalam bab Solat yang panjang dan sukar.

Murid yang iltizam dengan program talaqqi ini juga dikehendaki menghafal matan fiqh Shafei (matan Zubad). Murid-murid diberi tempoh menghafal satu bab lalu diuji hafalan oleh Sheikh. Di bahagian hadapan matan Zubad terdapat matan bab 'Aqidah, ada di kalangan murid yang menolak 'aqidah 'Asyairah telah memohon izin tidak menghafal bahagian hadapan kerana bagi mereka matan 'aqidah 'Asyirah itu 'aqidah yang salah. Subhanallah... Sheikh menolak kerana setiap murid perlu menghafal secara sempurna tidak boleh memilih bahagian yang dia suka sahaja.

Pengajian hadith pula, mereka sedang talaqqi Sahih Bukhari dan juga Abu Daud. Mereka telah mengkhatamkan Sunan Ibn Majah dan Sahih Muslim. Pada hari Selasa, mereka menadah kitab Nahu. Sheikh dari Habshah yang fasih sekali. Orang bukan Arab biasanya kalau menguasai Bahasa Arab mereka menjadi guru kepada orang Arab sendiri. Pengajian Nahu paling ramai. Sayangnya mereka tidak mempunyai tempat, mereka belajar di padang sahaja. Muzakarah-muzakarah fiqh dan pengajian Hadith yang lain juga hanya di padang.

Pernah ketika belajar di padang hujan turun, pengajian tetap diteruskan begitu juga ketika ribut pasir. Malah terdedah kepada terik matahari perkara biasa mereka. Suatu ketika ghubar iaitu ribut pasir yang paling kuat pernah albazrah lihat berwarna merah kehitaman diikuti hujan lebat telah datang. Albazrah dan Nisreen di rumah menutup semua pintu dan tingkap, siang tiba-tiba bertukar menjadi malam, gelap. Albazrah menampal semua lubang dan celah-celah tingkap dengan kain basah.

Abu Nisreen dan murid lain terus juga di padang menadah Sahih Bukhari. Hati albazrah menangis...biarlah kesusahan mereka menadah ilmu dikurniakan ganjaran dari sisi Allah dan mereka semua diberi kefahaman yang sebaiknya. Abu Nisreen pulang malam itu dengan jubah basah kotor dipenuhi tanah, malah terjatuh pula di dalam lopak air kerana gelap, namun sampai ke rumah dengan senyuman dan tidak langsung berasa gundah, albazrah pun lega. Mudah-mudahan kesusahan hidup dan kesulitan menuntut ilmu ini menjadikan mereka generasi yang berpegang teguh dengan ilmu, iman dan khlak, tidak mudah menggadaikan agama untuk kesenangan dunia sementara.



Gambar ketika giliran Abu Nisreen diuji Sheikh semasa pangajian kitab 'Umdah.

9 comments:

al-fagir abu zahrah said...

AlhamduliLlah, inilah tradisi pengajian kita ... matan dihafal, setiap ibarat kitab difahami dengna molek .... kemudian diuji untuk memastikan kemantapan hafazan dan kefahaman. Semoga Abu Nisreen dapat mengaut sebanyak mungkin ilmu di sana. Pcik menanti kepulangan beliau dengan penuh kerinduan. Ingin sekali bertalaqqi Matan zubad pada beliau nanti ..... salam buat Abu Nisreen, Ummu Nisreen dan Nisreen.

yetimNur said...

SubhanAllah..!

Anonymous said...

salam albazrah,

akak juga menunggu kepulangan kalian, ingin juga menerima tempias ilmu-ilmu kalian, semoga kalian semua terpelihara dari segala fitnah dunia dan selamanya sejahtera, amin

-k.alida-

zunaidah,UIAM said...

MasyaAllah....
>Kma, Alhamdulillah kitab saya telah ambil.Jazakillah wa Barakallah fiki.

~albazrah~ said...

Terima kasih, doakan kami.

Pakcik, kami juga nak menuntut daripada Pakcik.

Kak Alida: Ameen...

YetimNur: :) doakan

Zu: ALhamdulillah

melatiblossoms said...

Subhanallah,

terasa terlalu kerdil dan malu, merungut-rungut dengan kesusahan belajar yang sedikit, kemudian terasa kononnya berjihad besar dalam menuntut ilmu, terasa malu sendiri.

Rupanya ramai lagi yang benar2 berkorban dan berjihad menuntut ilmu. Macam Abu Nisreen.

Semoga Allah limpahkan keredhaan dan barokah dalam perjuangan menuntut ilmu dan semoga ALlah kurniakan pahala yang sama buat Al-Bazrah yang sentiasa kuat menyokong kembara ilmu Abu Nisreen. Aameeen. InsyaAllah

~azzarrah~ said...

Subahanallah Ummi Ati, kami di sini melihat terlalu ramai orang susah dan miskin tetapi gigih menuntut ilmu. Ada yang sebatang kara tiada rumah dan keluarga tetapi hatinya tenang konsisten datang belajar. Malu dengan diri sendiri banyak berkeluh kesah.

Terima kasih kak, ameen...jazakillahu khair.

lina said...

salam albazrah,

Subanallah penuntut ilmu..semoga kalian balik ke m'sia nnt dtg mengajarkan pada kami. Insya ALLAH kalian dlm peliharaan ALLAH menuntut ilmu keranaNYA. Teringat kata2 ustazah yg mana beliau bacakan dlm kitab Bidayatul Hidayah...ilmu yg diamalkan ke JalanNYA akan senantiasa dibawah rahmat dan redhaNYA.

~albazrah~ said...

Lina: Terima kasih kerana mendoakan kami. Doa yang baik daripada seseorang yang tidak pernah bersua. Jazakillahu khairan kathira.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails