Friday, October 28, 2011

Turkiye 6: Fatih Carsamba

Tamat sahaja konferen kami pulang ke wakaf di Istanbul. Albazrah dan Abu Nisreen mengambil keputusan untuk berjalan di sekitar wakaf. Apabila ternampak arah ke Masjid Fatih kami terus membuat keputusan untuk menziarahi makam Sultan Agung Muhammad al-Fateh.

Setelah berjalan, bertanya dan tersesat akhirnya bertemu juga. Alhamdulillah. Lama juga kami di dalam makam berdoa, bertafakkur mengenangkan perjuangan agung. Insan inilah yang dijanjikan Baginda saw tentang pemimpin yang soleh. Konstantinopel dibuka namun kini ia tertutup dengan segala kepincangan aqidah, akal dan budi. Insya Allah akan bangkit lagi generasi al-Fateh.

Albazrah cuba menyerapkan jati diri al-Fateh itu ketika tafakkur dan berdoa. Menangis lagi, lantaran diri ini sangat lemah untuk memecahkan tembok nafsu dalam diri. Allah... Menangiskah Sultan ini melihat generasi iman setipis kulit bawang?

Kemudian kami berjalan menuju masjid yang sedang dalam pemulihan. Abu Nisreen berwuduk dan solat sunat. Albazrah mengendong Nisreen mencari tempat wuduk perempuan, jenuh berbahasa isyarat baru teringat perkataan "abdest". Setelah berwuduk masuk ke masjid, bersedia untuk solat sunat tiba-tiba albazrah dilarang bersolat. Puas cuba memahami, ohh rupanya katanya waktu matahari di atas kepala tidak boleh bersolat. Albazrah ikut sahaja pandangan wanita itu, rugi juga tidak dapat bersolat di masjid agung ini. Walaupun albazrah tahu bagi Mazhab Syafei solat tahiyatul masjid dilakukan pada bila-bila masa, cuma tidak mahu bercakap banyak memberitahu pendapat.

Di halaman masjid, pandangan albazrah sering tertangkap kelibat muslimah-muslimah bertelekung hitam dan berniqab. Sekejap-sekejap datang lalu pergi. Kemudian datang kelompok lain lagi. Terlihat juga lelaki-lelaki wajah bercahaya, berjubah luar yang menyarung pakaian kemeja dan seluar besar mereka, di antara mereka ada yang berserban dan ada yang berkopiah. Kebanyakan orang muda.

Kami meninggalkan perkarangan masjid untuk pulang melalui jalan lain pula. Kami keletihan, tersasar jauh. Tidak bertemu kedai makan, kami kelaparan dan terus berjalan. Kelibat lelaki dan muslimah berpakaian longgar dan bertelekung hitam semakin banyak. Rupanya kami sudah masuk ke Fatih Carsamba. Penempatan bagi ahli Tariqah Naqsyabandiah pimpinan Sheikh Mahmud Efendi. Allahu Akbar!

Albazrah sangat teruja melihat kedai-kedai pakaian yang menjual pakaian "tasattur" dengan harga yang murah. Jubah-jubah kain kapas, pakaian anak-anak perempuan yang bersopan. Dalam keletihan kami tersenyum lebar. Terasa nyaman dan damai. Ia suatu kawasan yang meriah dengan budaya kehidupan Islam, lelaki dan perempuan aktif ke sana ke mari tetapi bertutup rapi. Sudah hampir seminggu, hati terasa sempit melihat pemandangan menjolok mata. Wanita-wanita Turki di hotel tempat konferen berpakaian hampir telanjang. Kami yang sudah lama tidak melihat pemandangan menjolok mata itu terasa malu. Di Sudan tidak ada berpakaian begitu.

Keletihan tidak lagi terasa, hati segar dengan pemandangan baru ini. Akhirnya kami terjumpa kedai makan kecil. Tuannya menjemput kami ke bahagian belakang untuk ruang keluarga. Bahagian yang tertutup, rupanya mereka menghormati perempuan untuk tidak makan di bahagian hadapan. Kami menempah Shistowuk dan Kebab. Subhanallah... lazat. Kami makan sambil tidak henti-henti bersyukur. Walaupun kedai ini kecil, kami terasa tenang kerana terlalu banyak kedai di Istanbul yang menjual arak, kami tidak dapat membezakannya. Syukur...

Kami berjalan lagi, Nisreen sedah tertidur keletihan. Akhirnya kami masuk ke kawasan yang sibuk di Fatih Carsamba. Abu Nisreen mengulang-ulang, Subhanallah ini malaikat kah atau apa? Ya, wajah-wajah mereka berseri-seri dan bercahaya. Ia wajah-wajah zikir. Masya Allah. Alhamdulillah kerana Allah mengizinkan kami melihat tempat ajaib ini. Abu Nisreen membeli jubah di sebuah kedai jubah lelaki. Tuan kedai sentiasa tersenyum, bersungguh-sungguh melayan kami dengan bahasa yang universal. Akhirnya sama-sama faham.

Barulah albazrah tahu pakaian hitam muslimah yang tudungnya bersambung dengan lengan dan kain itu dipanggil carsaf. Pakaian itu begitu unik dipakai oleh majoriti muslimah Tariqah Naqshabandiah pimpinan Sheikh Mahmud Efendi. Subhanallah... apabila albazrah ke Denizli dan Isparta menemui Tulab Nur dari Hayrat Vakfi mereka juga memakai Carsaf.

Kami bergegas pulang ke Wakaf, Prof Faris Kaya, Br. Hakan Gulerce dan sahabat-sahabat yang lain sedang bersedia untuk ke Eminonu menaiki kapal di selat Bosforus. Pemandangan terlalu indah dari atas kapal. Tulab Nur memenuhi kapal, bersama-sama kami peserta konferen makan malam di atas kapal. Ratusan Tulab Nur datang dari pelbagai wilayah. Mehmet Ferinci Abi, Ustaz Ihsan Qasim, Prof Muhsin Abdul Hamid, Prof Ian Markham, dan ramai lagi ahli akademik bersama-sama di dalam kapal. Ustaz Zaidin dari Unisza sudah pulang ke Malaysia begitu juga Prof Tawfiq al-Attas yang banyak membantu albazrah telah pulang ke Singapura.


Makam Sultan Muhammad al-Fateh

Tuan kedai makan dan anaknya, melayan kami sebaik-baiknya. Kedai kecil jiwa mereka besar.

Tuan kedai jubah lelaki

5 comments:

Anonymous said...

Salam Dik...Apakhabar.Seronok membaca kisah pengembaraan adik sekeluarga...bertuah dapat melihat muka2 bercahaya kerana Allah SWT, muda2 lagi tu..termasuklah adik sekeluarga...salam cium untuk Nisreen yang cute miut...geram tengok dia..Kak ila

Anonymous said...

Dikma,
ala rindunya ngan Turki. umpama kembali ke kampung halaman eh, kata suami akak.Pakcik kat kedai jubah tu mcm biasa jumpa. Dulu kami menginap di Fatih Jame'.
Kak Fied.

~albazrah~ said...

Salam Kak Ila, apa khabar? Kak Ila masih di sana lagi ke? Kak Ila bila pulang ke Malaysia? Alhamdulillah...kak ila lagi banyak merantau.

Kak Fied: Kak Fied, penginapan di Fatih Camii tu bagaimana nak hubungi. Ada kawan dikma nak ke Istanbul, Dikma rasa di Fatih Camii sangat sesuai. Mungkin Pakcik tu pernah jumpa abang Asri.Insya Allah ada rezeki Kak Fied pergi sekali lagi.

Anonymous said...

Salam Dik..Alhamdulillah sihat..akak masih disini.Akak kerja di tempat penjagaan org2 tua.Kerja yang selalu mengingatkan kepada kematian.Melihat org2 non muslim meninggal, subhanallah amat mengerunkan,amat menginsafkan dan merasa teramat bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang islam dan berdoa dan berdoa yang tidak putus2 agar bila tiba masa akak nanti agar dapat pergi didalam megingatiNYA..lnsyaAllah...sama samalah kita berdoa agar hidup dan mati kita semua didalam keredhaanNYA...kak ila

~albazrah~ said...

Ameen...benar kata-kata Kak Ila. Subhanallah, Kak Ila suatu pekerjaan yang mulia. Sungguh ada ada tawaffuq, saya baru melawat rumah orang-orang tua di sini semalam. Kak Ila, saya doakan rahmat Allah dan kasih sayang Allah melimpah buat Kak Ila sekeluarga.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails