Walaupun Abu Nisreen telah tamat pengajian di Universiti Antarabangsa Afrika kesibukannya selepas semester dibuka amat dirasai sekali. Hajat ingin menyambung pengajian di Universiti Omdurman masih tertangguh. Yuran pengajian sarjana naik mendadak sehingga 6000 dolar US. Ini membuatkan kami terhenti sebentar, cuba untuk memohon pengurangan yuran. Setakat ini mereka masih tetap dengan jumlah itu.
Setiap hari Ahad dari pukul 5 petang sehingga selepas solat Isyak pengajian Sahih Bukhari bersama Sheikh Muhammad al-Zabidi. Hari Isnin dari pukul 5 petang sehingga Maghrib pengajian kitab Minhaj, Imam Nawawi bersama Sheikh Muhammad. Hari Selasa dari pukul 5 petang sehingga Maghrib pengajian Nahwu bermula dengan Matan Ajrumiyyah dengan Sheikh ulamak besar dari Habsyah, nama Ummi terlupa pula. Selepas solat isya' mengajar Muqaddimah Hadramiyah kepada pelajar perempuan Malaysia.
Hari Rabu di sebelah pagi mengajar PETRONITA , sebelah petang pula Muzakarah Fathul Qarib, kitab ini telah mereka khatam cuma diulangi dengan muzakarah kitab ini. Hari Khamis pula pengajian Kitab Umdah. Hari Jumaat pagi muzakarah Safinah dengan pelajar lelaki Malaysia, di sebelah malam mengajar di Petronas. Sabtu petang pengajian Hadith Sunan Abi Daud dari pukul 5 petang sampai isyak.
Allahu Akbar! memang sibuk. Hari ini ummi memaksa juga Abu Nisreen teman ummi pergi beli kitab yang penting untuk kajian Ummi. Akhirnya Musnad Imam Ahmad, Siyar A'lam Nubala, Tafsir Tabari yang telah sekian lama Ummi tunggu dapat juga dibeli.
Habis seribu junaih Sudan. Subhanallah apabila petang belum pun sampai waktu maghrib kami mendapat hadiah 500 junaih Sudan daripada seorang warga Petronas yang tidak mahu dikenali. Bukan kami sahaja malah semua pelajar Malaysia mendapatnya setiap seorang 250 junaih. Pemberinya tidak mahu diketahui. Masya Allah, Dia Yang Memberi, Dia Yang Mengambil. Kami mendoakan Allah melimpahkan kurniaNya, rahmatNya dan kasih sayangNya kepada pemberi rahsia ini. Alhamdulillah. Tiba-tiba selang beberapa minit ada pula orang memberi 100 junaih untuk bantuan sewa rumah bulan ini. Sekali lagi, bukan kami sahaja malah kepada semua pelajar. Pemberinya juga tidak mahu diketahui. Allah... Allah... Jazakumullahu khairan kathira,
Perkara sebegini sering berlaku di sini. Ada sahabat kami yang mempunyai 2 junaih sahaja dalam simpanannya. 2 junaih seperti dua ringgit. Tiba-tiba ada seorang makcik minta sedekah terus dia berikan satu junaih, tinggal padanya satu junaih sahaja. Belum pun sampai malam, ada orang memberi kepadanya 100 dolar US.
Apabila kita tafakkurkan, nyatalah yang memberi sebenarnya Allah. Insan di sekeliling kita hanyalah petugas yang ditugaskan menyampaikan kepada kita. Tidak perlu risau teruslah memberi dan bersedekah kerana ia ibadah. Tidak akan miskin orang yang memberi.
Panduan Pelajar Pengajian Islam
Untuk membeli kitab turath, cadangan penerbitan yang baik ialah Dar al-Minhaj, Dar al-Hadith dan Dar al-Salam. Kitab yang diterbitkan oleh Dar Kutub Ilmiyah walaupun amat cantik tetapi kecacatan di dalam terlalu banyak dan berbahaya, ia mungkin membawa kesilapan makna dan kefahaman, kehilangan titik, kesilapan ejaan, kejatuhan kalimah dan ayat. Albazrah menyebut tentang ini kerana ia berkaitan nas-nas ayat Quran, Hadith, kaedah dan manhaj dalam ilmu-ilmu Islam. Ia harus dicermati. Kitab terbitan Maktabah 'Asriah juga perlu berhati-hati.
2 comments:
diqma
benarkan.. Hanya ALLAH tempat kita bergantung.. ALLAH MAHA BESAR
Analina: Allah Maha Besar! Benar sekali.
Post a Comment