Bismillah... ingin albazrah tuliskan sesuatu yang tersimpan di lubuk hati yang dalam. Ingin sekali albazrah lafazkan suatu rasa yang halus berdesir laksana bayu. Ingin juga albazrah kongsikan suatu hakikat iman, tatkala albazrah tafakkur dan fahamkan ia menggegar akal, hati dan wijdan. Allahu Akbar... berikan aku keizinan untuk menulis agar mereka juga dapat mengecapi nikmat kemanisan hakikat iman.
Bagini sahabat-sahabat, suatu malam suami albazrah pulang dari madrasah. Di madrasah berlaku perbincangan beberapa topik hakikat iman di antara dua Sheikh besar yang kami hormati. Sheikh Zakir, Tulab Nur yang datang ke Sudan telah bertemu Sheikh Muhammad al-Yamani, guru kami yang tawadhuk, alim faqih lagi adib... Apabila bertemu dua alim, perbincangan mereka hanya difahami oleh orang yang faham. Subhanallah, Sheikh Zakir yang pernah menerima kami menjadi tetamunya di Denizli rupanya sepengajian dengan Habib Zain bin Sumait di Madinah, juga teman Abuya Sayyid Muhammad Alawi Maliki. Guru-guru yang disebut oleh Sheikh Zakir dikenali oleh Sheikh Muhammad belaka.
Mereka berdua saling menyebut tentang seorang Murshid Naqshabandiah di Madinah yang hebat, namun tidak ramai muridnya. Ya memang begitulah sesuatu yang paling bernilai sering tidak dikenali ramai sebab ia amat berharga dan tersembunyi.
Suamiku bercerita semakin lama perbincangan dua guru besar ini semakin masuk ke perkara yang semakin dalam. Mereka semakin masuk ke lubuk hakikat iman. Sheikh Muhammad mengisahkan para ulama menyebut bayi-bayi di dalam rahim ibu ketika sudah sampai masa untuk ia keluar ke dunia ia menangis kerana menyangkakan dunia ini adalah kematian untuknya. Bayi itu tidak mahu keluar, begitu jugalah kita di dunia ini, kita menyangkakan kematian itu suatu kegelapan dan kehilangan, jadi kita tidak mahu kematian. Hakikatnya kematian itu adalah perpindahan ke dunia lain yang lebih baik dan kekal.
Sheikh Zakir menambah, selain daripada itu menurut Rasail Nur, melihat kepada bayi di dalam rahim itu beberapa perkara boleh kita fahami. Bayi didalam rahim ada mata tetapi tidak dapat melihat. Ada telinga tetapi tidak dapat mendengar dan ada lidah tetapi tidak dapat berkata-kata. Bayi mempunyai pancaindera tetapi tidak dapat berfungsi di alam rahim.
Begitulah juga kita di dunia ini, kita mempunyai pancaindera yang tidak dapat berfungsi di alam ini. Namun, di kalangan mereka yang tahqiq iman di kalangan wali-wali Allah yang benar, anggota dan pancaindera mereka begitu halus tembus ke alam sana.
Namun, insya Allah bagi hamba-hamba Allah yang beriman, di akhirat nanti segala anggota dan pancainderanya akan berfungsi sehingga pelbagai nikmat syurga akan dikecapinya. Malah setiap hamba itu berbeza-beza nikmat yang dirasa mengikut tahap iman masing-masing.
Pagi ini albazrah membaca Risalah Nur iaitu Risalah Tafakkur Imaniyyah 'Aliyah...Risalah ini sememangnya ditulis oleh Ustaz Nursi di dalam Bahasa Arab, ia tidak diterjemah ke Bahasa Arab dari Bahasa Turki.
Tafakkur kepada kalimah Alhamdulillah. Noktah ke-enam.
Segala puji bagi Allah. Kesyukuran ke atas cahaya iman yang diberi. Dengan cahaya iman itu orang mukmin dapat melihat kedua-dua dunia dan akhirat itu seumpama dua "sufrah" seperti dua sapra yang dipenuhi pelbagai nikmat.
Orang Mukmin dapat mengambil pelbagai manfaat dari ke dua-dua sufrah dunia dan akhirat melalui pancaindera-pancainderanya yang zahir dan batin. Malah pelbagai nikmat itu dapat dirasai dengan pelbagai latifah maknawiyah dan ruhaniyyah yang Allah kurniakan yang tersingkap hanya melalui cahaya iman.
Biarlah albazrah sebut secara ringkas di sini, di samping pancaindera kita yang zahir yang lima itu terdapat puluhan malah ratusan pancaindera, deria yang lain. Janganlah pertikaikan albazrah tentang poin ini, albazrah hanya menuliskan apa yang albazrah baca. Seperti di dalam Tariqah Naqsyabandiah ada 10 lataif, selain yang zahir terdapat latifah qalbi, ruh, sir, khafi dan akhfa. Sahabat-sahabat daripada Tariqah Naqshabandiyah pasti tahu perkara ini. Malah disebut berkali-kali di dalam Rasail Nur, boleh juga dirujuk di dalam semua rujukan Naqshabandiyah termasuk Imam rabbani Sirhindi di dalam Maktubat Rabbaniyah.
Nursi secara ringkas di dalam Malahiq menyebut persoalan pancaindera dan deria ini, malah dengan iman yang kental serta kehalusan dalam memahami pelbagai hakikat iman akan menjadikan terbuka pelbagai pancaindera sejak di alam dunia ini. Namun, ketahuilah di akhirat nanti bagi kita yang beriman pelbagai nikmat akan kita kecapi dengan tahap berbeza-beza mengikut amalan dan keimanan kita. Pelbagai indera akan terbuka. Sebagaimana indera bayi yang tidak berfungsi di alam rahim namun berguna sekali di alam dunia. Begitu juga kita, indera yang halus dan pelbagai latifah akan hanya dapat kita fahami di akhirat nanti.
4 comments:
terima kasih atas perkongsian... perlu berbincang face to face ni kalau nak lebih paham... Insya Allah! the time will come my sister...
komen kak min kat atas tu..
-kak min-
Kak min: Topik ini memang susah, tetapi hati dikma dah tak tertanggung kena jugak tulis...baru lega. Nanti kita bincang lagi. Dalam Rasail Nur ada perkara yang senang sangat untuk difahami sehingga yang paling susah difahami. Ada banyak perkara sampai sekarang dikma baca berulang-ulang masih belum diberi kefahaman oleh Allah.
Allhu Akbar
Post a Comment