Wednesday, October 12, 2011

Himmah Tinggi

"Kun rajulan rijluhu fi thara, wa hamma himmatahu fi thurayya"

Kata-kata ini diulang oleh emak semenjak kami kecil. Ia tentang himmah. Himmah itu cita-cita atau diertikan sebagai keinginan. Keinginan atau cita-cita yang tinggi di dalam membuat perkara yang baik. Mak mahu anak-anaknya mempunyai ketinggian cita-cita, jangan berputus asa, tidak mudah menyerah kalah. Kalau suatu jalan tidak menjadi perlu dicuba jalan yang lain. Mak mahu anak-anaknya mempunyai keinginan yang tinggi seumpama mencapai bintang thurayya. Walaupun albazrah tidak pernah tahu yang mana satu bintang thurayya itu.

Seingat albazrah semenjak kami kecil mak dan abah berjaga malam bersama membantu anak-anak menghabiskan kerja-kerja sekolah. Mak dan abah berusaha yang terbaik untuk anak-anak. Abah membelikan pelbagai keperluan untuk matapelajaran seni lukis, menunjukkan bagai mana membuat itu dan ini walaupun sampai sekarang anaknya keras juga tangan tidak seni. Tetapi alhamdulillah, mendapat suami yang bertangan seni menulis pelbagai khat, melukis dan mewarna. Alhamdulillah Nisreen mempunyai guru terbaik abahnya sendiri.

Semalam Abu Nisreen menceritakan tentang ketinggian himmah. Sheikh Muhammad al-Yamani mengajak suamiku ke pustaka menjual kitab berhampiran universiti untuk membeli kitab "Uluwwu al-himmah". Kitab-kitab itu beliau hadiahkan kepada pelajar-pelajar pengajian talaqqinya. Sheikh Muhammad konsisten mengajar di universiti mata pelajaran fiqh dan undang-undang di Kuliyyah Syariah. Namun setiap petang beliau akan mengajar murid-murid pelbagai peringkat termasuk orang awam pengajian talaqqi bersanad. Kitab "Uluwwu al-Himmah" ini dihadiahkan hanya kepada pelajar yang menduduki ujian untuk bahagian awal pengajian Kitab Minhaj. Manakala pelajar yang memperdengarkan hafalan matan fiqh pula dihadiahkan kitab Matan Zubad setiap seorang.

Abu Nisreen bercerita tentang pengajian kitab Minhaj (Kitab Imam Nawawi untuk Fiqh Mazhab Syafei) dikatakan agak berat. Ramai juga pelajar yang mengelak untuk diuji. Di dalam kitab "Uluwu al-Himmah" ada sebuah kisah di zaman Imam Malik di Madinah. Ada seorang anak kecil yang datang belajar. Sebagaimana usia masih kecil, sifat dan perangai masih kebudak-budakan. Anak ini memaksa Imam Malik mengajarnya, sebagaimana anak kecil sering memaksa-maksa orang tua. Apabila berkali-kali dipaksa mengajar, Imam Malik menyuruh murid-muridnya memukul budak lelaki tersebut.

Setelah berkali-kali dipukul, anak lelaki itu berkata, "wahai Imam sesungguhnya engkau telah menzalimi aku". Lalu Imam Malik berkata, baiklah kalau begitu aku akan riwayatkan kepadamu satu hadith untuk setiap pukulan tadi. Anak itu dipukul 37 kali, lalu Imam Malik meriwayatkan 37 hadith. Sehingga anak lelaki itu berkata, demi Allah kalau boleh engkau pukul lah lagi aku supaya aku dapat belajar hadith lagi.

Albazrah teringat Abu Nisreen kisahkan tentang Sheikh Muhammad ketika usia muda datang ke Sudan. Ketika itu di hatinya hanya ingin mencari guru. Pada tahun 90-an masih belum subur budaya talaqqi di Sudan. Di suatu masjid seorang Sheikh mengumumkan kalau ada sesiapa yang ingin meriwayatkan Kitab Muwatta' Imam Malik daripadanya. Sheikh Muhammad Yamani ketika itu begitu teruja terus mendapatkan Sheikh selepas solat, hanya beliau seorang. Lalu terus diikut Sheikh berjalan ke rumahnya tanpa disedari beliau tidak memakai kasut. Apabila ingin pulang beliau tidak tahu jalan kerana terlalu baru di Sudan, lalu Sheikh menunjukkan jalan ke masjid semula dan beliau mengambil kasut yang tertinggal di masjid. Sheikh Muhammadlah murid pertama yang meriwayatkan Kitab Muwatta' daripada beliau.

Albazrah juga berdoa semoga anak-anak diberi Allah ketinggian himmah dalam menjadi hamba yang baik, menuntut ilmu dan beribadah. Ameen.

Albazrah berfikir, anak-anak kecil semenjak bayi mereka memiliki himmah tinggi. Lihatlah berkali-kali jatuh mereka masih ingin bangun. Berkali-kali dilarang masih juga ingin lakukan. Menangis meminta-minta dan merayu-rayu. Namun manusia apabila besar dihinggap penyakit malas, lemah semangat dan berputus asa. Alangkah indahnya andai kita menjadi hamba yang tinggi himmah ingin terus hampir kepada Allah, mencari yang terbaik. Alangkah mulianya kita andai memiliki ketinggian himmah tidak jemu merintih merayu mengadu kepada Allah membisikkan rindu ingin bertemu.

Moga mata-mata hamba yang menangis kerana takutkan ALlah di dunia menjadi mata yang bersinar terang menatap kecantikan Allah yang Azali di akhirat nanti. Sanggupkah, mata ini yang bakal melihat Allah kita lepaskan dan biarkan melihat perkara-perkara haram, hina dan keji? Mari tinggikan himmah menjaga diri dan amanah Allah kepada kita.


Nisreen ini berkali-kali masuk ke dalam bakul sampah, berkali-kali terbalik, berkali-kali ummi simpan dan sembunyikan bakul sampah, dia masih hendak masuk ke dalam bakul sampah. Ummi guna bakul untuk buang kertas-kertas, sekarang tidak lagi, ummi biar Nisreen bermain sampai jemu.





7 comments:

lina said...

salam Albazrah, Insya ALLAH semoga diri ini serta anak-anak diberi Allah ketinggian himmah. AMin.

Terima Kasih Albazrah..seronok sekali membaca catatan albazrah.

Min said...

rindu maaaakkkk... huhuhu! moga Allah terus kurniakan mak kesihatan dan kekuatan. amin

Anonymous said...

Terima kasih kak teh.. alhamdulillah.. entri kali ini betul2 kena dengan situasi ambo... Cerah sikit..

Cik Nap..

Asuhan Keperawatan said...

pekerjaan dari rumah
pekerjaan di rumah
lirik nasyid

~albazrah~ said...

Lina: Ameen...mudah-mudahan kita semua diberi ketinggian himmah, dijauhi penyakit malas, lemah semangat dan berputus asa. Terima kasih Lina!

Min: Ameen...begitu juga kepada abah.

Ciknap:Apa khabar ciknap. Semoga keluarga semua sihat. Lama tak dengar khabar, terperanjat pula kak teh, ciknap masih membaca albazrah rupanya. Terima kasih.

Anonymous said...

rasa macam kena pukul 37 kali bila baca entri ni. Syukran jazilan dikma

~albazrah~ said...

Anony: Sam-sama :)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails