Saturday, October 22, 2011

Cara Pandang: Makna Harfi dan Makna Ismi


Pernahkan kita memuji sesuatu kerana sesuatu itu kelihatan indah dan baik, dan pernahkan kita mengutuk dan membenci sesuatu kerana sesuatu itu kelihatan buruk dan keji?

Bediuzzaman merumuskan di dalam kehidupannya ada empat perkataan dan empat ayat yang ditemuinya. Malah beliau menggunakan semua itu di sepanjang perbincangan Rasail Nur. Insya Allah Albazrah hanya ingin menyebut empat perkataan sahaja daripada rumusan Said Nursi itu. Mudah-mudahan kita dapat aplikasi di dalam cara pandang kita pula. (Al-Mathnawi al-Arabi al-Nuri)

Empat perkataan itu ialah Makna Harfi, Makna Ismi, Niyat dan Nazor.

Said Nursi menyebut di dalam melihat setiap perkara kecuali Allah Ta'ala, sama ada besar atau kecil, buruk atau baik, lihatlah dengan menggunakan makna harfi, jangan menggunakan makna ismi.

Apa itu makna harfi dan makna ismi? Harfi dari perkataan huruf, manakala ismi dari ism. Bagi yang pernah mempelajari nahu Arab akan lebih jelas maksudnya. Ism bererti kata nama, sesuatu yang dapat difahami dengan dirinya sendiri. Seperti bunga, kereta, awan, cikgu, buku, ibu, ayah, anak, gunung dan sebagainya.

Manakala huruf pula seperti huruf "A", "B", "Z", Alif, Nun, Ha, atau di dalam bahasa arab lagi Harfi seperti perkatan min (dari), ila (ke), 'ala (atas), 'an, fi, bi. Huruf tidak dapat berdiri sendiri, ia sentiasa memerlukan sesuatu yang lain untuk difahami. Berbeza pula dengan makna ismi, ia mampu berdikari tidak memerlukan sesuatu yang lain, sudah cukup dirinya sendiri menjelaskan dirinya.

Jadi, apabila melihat setiap sesuatu di alam ini seperti kejayaan, kegagalan, kaya, miskin, musim bunga, musim sejuk, panas terik, peperangan, penindasan, keindahan, kasih sayang, matematik, kehakiman, perniagaan, keuntungan, malah apa sahaja selain Allah... cubalah kita fahami dengan makna harfi. Iaitu kita melihat setiap sesuatu itu dengan mengaitkan kepada sesuatu yang lain, contohnya apabila berjaya di dalam pengajian di universiti dengan cemerlang, kita menyebut: "Alhamdulillah, Allah memberi aku kejayaan berkat doa ibu bapa dan guru-guru, ramai yang membantu sehingga aku beroleh kejayaan".

Manakala makna ismi yang perlu dielakkan contohnya tentang kejayaan," Aku beroleh kejayaan ini kerana usaha dan penat lelah aku, ia berbaloi setelah susah payah dan pengorbananku sejak dahulu."

Jelas di sini cara pandang menggunakan makna harfi, menjadikan manusia seorang yang merendah diri di hadapan tuhan. Dia tahu dirinya memerlukan manusia lain dan lebih-lebih lagi rahmat dan ikram ilahi menjadikan dia beroleh kejayaan.

Manakala cara pandang menggunakan makna ismi, mendorong diri bersifat ananiyah (keakuan) iaitu sifat yang hanya layak untuk Allah.

Beberapa contoh

Said Nursi menyebut pandangan terhadap alam semesta dengan makna harfi membawa kepada makna ismi, contohnya apabila melihat sesuatu nikmat ia seumpama cermin yang membiaskan kekuasaan Allah pemberi nikmat, bukan terhenti kepada nikmat itu sahaja.

Apabila melihat kecantikan bunga, keindahan taman, malah ketakjuban terhadap musim bunga, ia tidak terhenti melihat dan kagum, sebaliknya mengucapkan puji dan syukur lalu terus mengenali sifat-sifat Allah seperti Yang Maha Cantik, Yang Maha Mengatur dan Mentadbir selepas musim sejuk datang musim bunga, sehingga pemerhatian ini mendorong kepada rindukan syurga Allah yang membiaskan kecantikan Allah yang hakiki. Malah menatap kecantikan zat Allah nikmat terutama di akhirat nanti.

Apabila ditimpa musibah atau bencana, terus menguatkan diri mencari hikmah. Mengucapkan Innalillahi wa inna ilaihi rajiun, Allah memberi tanpa sebarang campur tangan kudrat daripada kita, malah Dia juga berhak mengambil kembali. Menggembirakan diri dengan berkata, syukur terjadi perkara ini, sekurang-kurangnya dosa-dosaku sedikit terampun berbanding sekiranya azab di neraka Allah. Lihat kepada orang lain yang lebih lagi diuji, menjadikan kita hamba bersyukur. Sebaliknya makna ismi melihat masalah itu semata-mata, menyumpah seranah, mengeji dan memaki ujian atau musibah tidak ke mana melainkan menambah kesempitan hati.

Di dalam Lumaat, Said Nursi menyebut golongan Syiah mencintai keluarga Rasulullah saw (ahlil bayt) secara makna ismi. Mereka mencintai keluarga baginda kerana kemuliaan keturunan baginda itu semata-mata. Cara mencintai sebegini mendorong kepada sifat mensucikan dan amat berbahaya. Ahli Sunnah wal Jamaah mencintai keluarga Rasulullah saw kerana mereka faham bahawa keluarga baginda ini menanggung beban meneruskan khidmat Baginda saw, menyampaikan risalah Islam dan menyebarkan iman. Pandangan secara harfi menghilangkan ta'asub, sehingga sekiranya tersingkap seribu kesilapan atau kekurang para ulama' ahlil bayt ini, kita masih tetap mencintai mereka kerana khidmat iman yang sedang mereka jalankan.

Allahumma solli 'ala Sayyidina Muhammad wa 'ala alihi wa sohbihi wa barik wa sallim.

11 comments:

ida_zy said...

salam dikma

saya minta izin ambil artikel ini utk diterjemahkan ya, tqvm

~albazrah~ said...

ida: silakan, tetapi saya baru tulis dua kalimah belum yang dua lagi, iaitu niyat dan nazor.

sis_aflah said...

terima kasih kak ma.. membaca catatan di sini sering menenangkan sy..

~albazrah~ said...

Sis aflah: Alhamdulillah, secebis pesanan Nursi untuk kita di akhir zaman.. mudah-mudahan kita dapat melihat semua dengan pandangan iman. terima kasih ya.

lina said...

salam albazrah - Lina juga nak copy...sgt terharu peringatan utk diri sendiri sgt berguna dlm perjalanan menghampirkan diri kepada sang PenciptaNYA.

Terima Kasih albazrah...teruskan menulis.

yetimNur said...

Selam Ustazahcim,

Mohon share tulisan Ustazah ni di FB saya ya. Terima kasih *hugs*

~albazrah~ said...

Lina: Silakan. Didoakan yang terbaik untuk kita di dunia dan akhirat. Ameen. Sama0-sama kasih.

YetimNur: Silakan Ayza. :) Sama-sama kasih.

Anonymous said...

Ustazah Nur Azma, semoga Allah memberkati usaha penulisan ini. Sungguh berguna untuk saya lebih memahami Risalah an-Nur.

~albazrah~ said...

Alhamdulillah, terima kasih. Barakallahufikum.

ABDUL LATIP said...

Assalamualaikum

Alangkah baiknya jika Cikpuan dapat bersama kami menterjemahkan Risae-i nur ke bahasa Melayu untuk diterbitkan di Malaysia..

~albazrah~ said...

Wa'alaikummussalam,

Insya Allah tim PTS akan dapat menterjemahkan. Terima kasih Pak Latip, saya belum pasti bila dapat pulang ke Malaysia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails