Tuesday, September 27, 2011

Pertemuan Berkah

Quran-quran Tawafuq sebelum dimasukkan ke dalam kotak


Pada pagi Isnin di Isparta, albazrah mula mengemas barang-barang kemungkinan akan berangkat pulang ke Istanbul. Sabuah madrasah dikosongkan hanya untuk kami bertiga sepanjang di Isparta, setiap waktu makan akan ada Talibah Nur datang menghantar makanan. Makanan yang unik dan sangat lazat. Ada beberapa kali kami berpeluang masak sendiri, mereka sentiasa mengulangi gunalah apa sahaja di dalam madrasah makanan atau barang-barang kerana ini semua hak kamu. Aduh, sungguh erat ukhuwah Islamiyyah itu.

Pada pukul 9 pagi Abu Nisreen akan keluar ke madrasah lelaki kerana para pelajar perempuan akan datang ke madrasah tempat kami tinggal untuk belajar al-Quran. Pagi itu, Nisreen tidur selepas mandi, cuaca di Turki amat nyaman untuk Nisreen tidur. Albazrah menyertai kumpulan pelajar yang ramai datang belajar Quran itu, albazrah membaca Rasail Nur di dalam Bahasa Uthmaniyyah, Tuba seorang gadis bersopan membantu albazrah. Kamus bahasa Inggeris sentiasa bersamanya untuk memudahkan komunikasi kami.

Tiba-tiba Rufeyda Abla menelefon Tuba dan ingin bercakap dengan albazrah, dia berkata "Nur Azma, awak bersiap sekarang ya kita ada program" dan albazrah tidak pula bertanya ke mana. Beberapa minit selepas itu Abu Nisreen pula memberitahu cepat siap kita akan ke Kilang Al-Quran Tawafuq.

Allahu Akbar!

Hoca Said Nuri dan Kilang Quran

Sebenarnya pada pukul 9 pagi sebelum pelajar-pelajar datang belajar Quran hanya albazrah berdua dengan Nisreen. Ketika menyiapkan Nisreen air mata albazrah berderai tidak tertahan lagi mengenangkan mungkin tidak ada rezeki albazrah untuk bertemu Hoca Said Nuri pengganti Ustaz Ahmad Khusrou itu.

Ustaz Bediuzzaman Said Nursi yang memberi nama Hoca Said Nuri itu, semasa kecil beliau istinsakh Risale-i Nur dan ayahnya Hafiz Mustafa menunjukkan kepada Ustaz Nursi. Ustaz nursi melihat nama di bawah ialah Said Nursi, selepas bertanya siapa lagi Said Nursi selain aku? Hafiz Mustafa menjawab itu nama anaknya diberi sempena nama Ustaz Said Nursi. Lalu Ustaz Nursi berkata, Nurs itu kampungku kamu berikan nama anak kamu Said Nuri.

Pagi itu kami akan dibawa ke Kilang Al-Quran Tawafuk dan akan bertemu Hoca Said Nuri. Sekali lagi air mata kesyukuran berderai, Nisreen memeluk ummi dan mencium ummi. Anak bertuah kecil-kecil lagi sering bertemu dengan orang soleh. Ummi tenang dengan pelukan dan ciuman Nisreen. Albazrah membawa soalan-soalan dan segala keperluan.

Seperti semalam Rufeyda datang bersama Fatimah mengambil albazrah dan Nisreen. Abu Nisreen, Ismail abi dan beberapa orang lagi menaiki kenderaan lain. Rufeyda membawa kami ke kawasan perumahn untuk mengambil seorang lagi iaitu Fatimah Abla. Fatimah Abla ialah isteri Hoca Said Nuri, kami akan sama-sama ke kilang Quran. Di dalam kereta albazrah berasa gembira bertemu Fatimah Abla wajahnya yang redup, tenang, seperti seorang ibu penuh kasih sayang memeluk albazrah dengan erat sekali. Fatimah abla memangku Nisreen.

Di dalam hati albazrah tidak putus-putus merafakkan kesyukuran kerana akhirnya diberi tawfik dan inayah oleh Allah untuk albazrah melihat sendiri Kilang Quran Tawafuk. Quran Tawafuk yang telah sekian lama semenjak di UIA albazrah membacany. Hanya syukur dirafakkan kepada Allah kerana dapat bertemu sendiri Hoca Said Nuri yang pernah istinsakh Rasail dan masih istinsakh sehingga sekarang, yang pernah dipenjara dan diseksa, yang berkhidmat penuh khusyuk untuk menyebarkan iman dan al-Quran seperti Ustaz Nursi kehendaki.

Kilang al-Quran itu di pertengahan jalan antara Isparta dan Barla. Syukur albazrah dalam keadaan berwuduk dapat membuka al-Quran nanti. Abu Nisreen bersama Tulab Nur di satu bahagian lain, manakala kami naik ke tingkat atas. Fatimah Abla dan Rufeyda menerangkan pelbagai jenis Quran di hadapan kami, ada pelbagai saiz dan kategori. Semuanya Quran tawafuk. Albazrah ada menulis di sini tentang kilang Quran.

Kemudian kami bertiga dibawa melawat ke dalam kilang. Fatimah Abla, Rufeyda dan Fatimah tidak ikut mereka di tingkat atas. Masya Allah suatu perasaan yang hebat melihat ketelitian dan teknologi tinggi yang digunakan. Quran Tawafuk yang cantik mempunyai pebagai warna itu melalui proses yang begitu teliti sebelum dibungkus. Nisreen begitu ceria tidak mahu didukung, dia mencium al-Quran yang tersusun. Ajaib bagaimana dia tahu itu Quran.

Setelah melihat semua proses, kami dipanggil oleh Mukhlis Abi. Nampaknya kami akan dibawa bertemu Hoca Said Nuri. Rufeyda memandu kembali ke suatu bangunan lagi. Di situ kelihatan lelaki tua, berdiri penuh haibah, janggut dan misainya berwarna putih, memakai kopiah tetapi kelihatan ekor serban dari bawahnya. Itulah Hoca Said Nuri. Dahulu Ustaz Nursi pernah menyebut aku melihat cahaya terang muncul dari kawasan itu rupanya Hoca Said Nuri berkata, itulah cahaya al-Quran dari kilang ini.

Kami menemuramah Hoca Said Nuri di bawah pohon-pohon rendang diletakkan kerusi dan meja. Angin nyaman sekali, sejuk... Hoca begitu tawadhuk, kata-katanya penuh ayat-ayat Quran dan hadith sahaja. Ismail abi menterjemahkan Bahasa Turki kepada Bahasa Arab. Soalan-soalan kami pula diterjemahkan ke bahasa Turki. Kami dijamu buah ceri yang segar.

Temuramah itu berselang pelbagai nasihat Hoca kepada kami. Hoca bercerita kisah-kisah bersama Ustaz Nursi dan Ustaz Ahmad Khusrou. Hoca berpesan kepada Abu Nisreen dan albazrah hendaklah tenggelam di dalam Rasail Nur jangan hanya berada di luar dan berlegar di luar sahaja. Tiba-tiba Nisreen menangis, selama dua jam itu Nisreen diam dan Hoca tidak sedar ada seorang anak kecil. Rupa-rupanya Hoca tidak melihat kepada ajnabi, terus Hoca memanggil Nisreen dan mendoakan Nisreen, pandai pula Nisreen mendiamkan diri.

Risalah Hasyar

Selepas itu Hoca bergegas ke kenderaannya membawa beberapa kitab. Hoca menghadiahkan Abu Nisreen beberapa naskhah Rasail Nur terbitan Alinbasyak Nesriyat. Begitu juga Hoca menghadiahkan albazrah beberapa Risalah, Rislah Mukjizat Quraniyyah, Risalah Hasyar, Risalah Mukjizat Ahmadiyyah dan Risalah Hujjatullah al-Balighah. Yang istimewa Hoca menghadiahkan kami Risalah Hasyr di dalam tulisan Uthmaniyyah juga, warna hijau kepada Abu Nisreen dan merah kepada albazrah.

Rupa-rupanya risalah Hasyar itu adalah naskhah istinsakh terakhir oleh Ustaz Ahmad Khusrou yang baru sahaja diperolehi pada tahun ini. Sebelum dipenjarakan, beliau selesai istinsakh naskhah tersebut, kerana bimbang akan dimusnahkan atau diapa-apakan, Ustaz Ahmad Khusrou memberikan kepada seorang peniaga biasa yang bukan Tulab Nur pun. Ustaz Ahmad Khusrou berpesan jangan beri kepada sesiapa sehingga aku yang datang minta. Lalu Ustaz Ahmad Khusrou dipenjarakan dan tidak lama kemudian meninggal. Kekal amanah itu bersama peniaga tersebut sehingga hanya di tahun ini beliau menyerahkan amanah itu kepada Hoca Said Nuri lalu ia dicetak. Subhanallah, albazrah sendiri melihat naskhah unik ini dengan khat Ustaz Ahmad Khusrou yang cantik. Malah di dalam Risalah Hasyar ini terdapat tawafuq juga. Hoca berpesan, berikan hak dan keadilan kepada Risalah ini, iaitu kami mesti membaca dan memahaminya. Malah di kalangan Tulab Nur mereka menghafaz Risalah ini.

Keputusan Mengejut

Kami mengakhiri pertemuan dengan doa oleh Hoca. Hoca membuka kopiah luar dan tinggal serban putih dan kopiah hijau yang dipakai di dalam. Hoca berdoa khusyuk sekali, kami meng ameen kan. Nisreen juga meletakkan biskutnya ke tanah lalu mengangkat tangan berdoa juga. Ketika Hoca Said Nuri terbatuk, Nisreen juga ikut batuk-batuk.

Albazrah berjalan menuju kereta untuk pulang, tiba-tiba Abu Nisreen memanggil dan berkata "Hoca minta kita tinggal di Isparta selama seminggu untuk khatamkan beberapa Risalah." Albazrah terdiam. "Bukankah tiket kita untuk pulang ke Sudan lagi dua hari sahaja?" Kami berbincang, kami sependapat untuk tinggal dan sanggup membayar denda menunda tarikh penerbangan. Ya kami bersetuju untuk menangguhkan perjalanan pulang sehingga menyelesaikan beberapa Risalah dan memahaminya.

Adam Abi di Istanbul menguruskan urusan pertukaran tarikh dan kami didenda 500 usd. Alhamdulillah, apa yang kami dapat sebenarnya lebih daripada apa-apa nilai duniawi lain. Kami tidak menyesal.

Kami berhenti makan tengah hari. Rufeyda menerima panggilan telefon daripada Hoca supaya membawa albazrah ke ladang ceri dan erik. Rufeyda,mengambil Battul, kemudian kami yang perempuan sahaja ke kebun ceri. Hoca Said Nuri dan Fatimah Abla sedia menanti kami. Setelah kami sampai Hoca berkata, ambil dan makan apa sahaja di dalam kebun ini. Kemudian Hoca dan Fatimah Abla pulang. Barulah albazrah tahu, Hoca seorang petani, beliau makan hasil titik peluhnya sendiri dari kebun tersebut. Rufeyda diam-diam berbisik Hoca ini bukan orang kaya.

Kami masuk ke kebun, di sebelahnya ladang gandum yang luas mungkin milik orang lain. Di dalam kebun, albazrah melihat batas-batas yang di buat untuk tanaman. Syukurnya, albazrah mesti makan banyak-banyak kerana ini sudah pasti hasil yang halal dan berkat. Terharu hoca yang tua masih mengusahakan kebun sendiri. Pada hari itu baru albazrah tahu, Hoca tidak pernah makan di madrasah walaupun madrasah itu semua di bawah seliaannya. Kalau perlu dimakan juga, Hoca akan membayar harga makanan tersebut. Terus albazrah teringat pelbagai kata-kata Said Nursi di dalam Rasail Nur, dan Ustaz Nursi juga tidak menerima pemberian melainkan kalau perlu juga dia akan membayarnya.

Nisreen sungguh gembira di kebun siap bermain tanah dan berguling di atas tanah.

Alhamdulillah.


2 comments:

umifawwaz said...

Salam..diqma..terharu mengikuti coretan diqma dr bumi turki..terasa ingin merasai suasana yg sama..tapi rasanya diri ini tdk layak..namun di ht bangga punya shabat yg hebat sperti diqma..mg2 sntiasa mdoakanku wahai shabatku..

~albazrah~ said...

Salam Pae, insya Allah suatu hari Pae sampai. Nanti kalau saya dah balik kita plan sama-sama untuk ziarahi tempat-tempat berkat. Insya Allah.

Dan Pae jangan lupa Aliya dan Fawwaz bakal menyambung perjuangan, kalau kita tidak sempat anak-anak insya Allah...

Pae, sentiasa dalam ingatan dan doa saya. Luv u.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails