Sunday, September 25, 2011

Jalan Sunnah

Satu-satunya jalan untuk selamat di dunia ini ialah berpegang kuat-kuat dengan Sunnah Rasulullah saw.

Semasa Bediuzzaman Said Nursi berusaha untuk keluar dari zaman "lamanya" kepada Said Baru, beliau mengalami pengalaman rohani yang dahsyat. Perang dalaman nafsu dan hati, Nursi yang dibelenggu ananiyah (keakuan) terpelanting ke atas dan turun kembali ke bumi berkali-kali. Sehingga akhirnya Nursi dapat melihat Sunnah Nabi saw yang sekecil-kecilnya menjadi penyuluh memadamkan kegelapan. Nursi melihat terlalu banyak jalan di hadapannya, tidak tahu mana yang perlu diikut dan ke mana hujungnya. Nursi berasa dirinya terlalu lemah, matanya kabur jalan-jalan pula kelam hitam.

Sehinggalah bila Nursi berpegang dengan Sunnah, jalan gelap itu menjadi terang benderang bercahaya, kelihatan jalan di hadapannya aman dan sejahtera dan hilang segala kesempitan hati dan rasa takut.

Di dalam surah Ali Imran ayat 31, disebut untuk mendapat cinta Allah hanya dengan mengikut Baginda saw. Apabila sekecil-kecil perkara daripada Sunnah yang diamalkan dengan sedar, ingatan terus kepada Baginda saw, lalu ingatan kepada Kekasih Allah ini bertukar kepada ingatan tentang Allah hadir bersama kita.

Sebab itu tidak rugi sekiranya meraikan sunnah walaupun pada adab yang kecil seperti makan, minum, tidur dan segala amalan biasa yang lain termasuk perkar-perkara fitrah. Semua perkara itu pada kebiasaannya hanyalah adat secara otomatik berubah menjadi ibadat dan mendapat pahala.

Sekiranya setiap perkara harian dilakukan dengan ingatan cuba melakukan seperti yang Baginda saw buat, alangkah indahnya walaupun usia hidup singkat tetapi setiap amalan berganda-ganda pahala, setiap detik usia berbuah lebat. Cuba bayangkan keadaan itu di dalam diri kita. Cuba betul-betul untuk buat seperti Baginda saw semenjak bangun pagi, ibadah, makan, minum, muamalah, berjalan, tidur, senyum dan sebagainya. Alangkah indahnya semua itu memberi sinar yang terang benderang di dalam hidup kita. Di akhirat nanti kita akan terperanjat dengan neraca amalan yang begitu berat seolah-olah hidup beribu tahun. Hakikatnya hanya dengan menukarkan adat harian sehingga perkara paling ringan dalam kehidupan pun menjadi ibadat dengan niat mengikut sunnah cara Baginda saw.

Sabda Baginda saw," sesiapa yang berpegang dengan sunnahku ketika berlaku kerosakan di dalam ummatku, maka baginya ganjaran seratus mati syahid".

Sekali syahid pun begitu susah untuk kita perolehi, tetapi hanya dengan cuba menghidupkan sunnah baginda mendapat balasan seperti syahid dan syahid sehingga seratus kali.

Allahhumma Solli 'ala Sayyidina Muhammad wa 'ala Ali Sayyidina Muhammad.

Rujukan: Risalah Mirqatus Sunnah (Lummat ke-11)

Gambar kilim- kilim buatan tangan yang berusia ratusan tahun semuanya dari Konya

7 comments:

yetimNur said...

Selam Ustazahcim,

Terima kasih untuk tulisannya. Semoga Allah merahmati jari-jemari Ustazah yang menaipkan setiap perkataan yang menjadi penyuluh hati saya jam 4.18 pagi ini :)

Allahumma solli 'ala Sayyidina Muhammad wa 'ala Ali Sayyidina Muhammad.

Allah razi olsun.
*hugs*

~albazrah~ said...

Ameen.Terima kasih Ayza atas doa yang baik itu. Sesungguhnya Baginda saw lah yang diutuskan lalu membawa kegembiraan di hati-hati kita.

Alfu alfi solatin wa alfu alfi salamin 'alaika ya Rasulallah.

Ilham Nur said...

Assalamua'laikum w.b.t.

Puan, ada yang mengatakan hadith

" sesiapa yang berpegang dengan sunnahku ketika berlaku kerosakan di dalam ummatku, maka baginya ganjaran seratus mati syahid".

sebagai sangat dhoif.

Jadi, bagaimana caranya kita berinteraksi dengan perkara-perkara sebegini?

~albazrah~ said...

Ilham Nur, terima kasih.

Hadith dhaif bukan hadith maudhu'. Hadith dhaif boleh digunakan pada perkara fadhail a'mal.

Bediuzzaman Said Nursi ada menulis tentang ini di dalam Maktubat ke-19 dan juga di dalam Kalimat ke-24.

Pada zaman beliau, sudah ada sedikit sebanyak golongan menyerang hadith dan mereka memulakan dengan mempertikaikan hadith dhaif terutama hadith-hadith berkaitan tanda-tanda kiamat dan fadhail a'mal. Nursi mengambil pendirian mempertahankan hadith termasuk hadith dhaif, sebelum pintu-pintu lain diserang juga.

Ilham Nur, soalan saudara ini berkaitan dengan tesis PhD saya. Terima kasih ya.

Ilham Nur said...

Terima kasih atas penerangan. Insya' ALlah, saya akan cuba baca perlahan-lahan Maktubat ke-19 dan Kalimat ke-24.

Tesis master Puan ada saya muat turun daripada laman web maktabah UIA, tapi dapat baca sampai muka surat 11 saja.

~albazrah~ said...

Kalau baca yang Inggeris, baca sekali dengan yang Arab kerana ada frasa-frasa hadith di dalam bahasa Arab yang diterjemah menyukarkan kefahaman.

Maktubat 19- Mukjizat Ahmadiyyah. Kalimat ke 24- Branch ke-4- Usul fi fahm ahadith.

Ya ka, tesis master itu general sangat topik perbahasannya.

~albazrah~ said...

* Afwan, branch ke 3 bukan 4.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails