Sunday, August 28, 2011

Rumah tempat penulisan Quran dan istinsakh Rasail Nur

Petang itu kami dibawa ke perkuburan Ustaz Ahmad Khusrou dan juga ke rumah beliau. Pada tahun 2005 albazrah mula tersedar betapa pentingnya peranan Ustaz Ahmad Khusrou di dalam menyebarkan Rasail Nur. Albazrah membaca tentang beliau di dalam Rasail Nur "Syu'a'aat (The Rays). Sebagaimana diketahui, Ustaz Said Nursi hampir sahaja tidak pandai menulis, tulisannya buruk dan sukar dibaca. Nursi dengan penuh rendah diri mengatakan, aku tidak pandai menulis sebab itulah semua kitab yang aku baca aku rekodkan di dalam ingatan.

Nursi semasa di Barla sentiasa memberi semangat supaya Tulab Nur terus istinsakh Rasail Nur. Tulab Nur umpama jari-jari Ustaz Nursi yang membantunya menulis. Ustaz Ahmad Khusrou digelar Ustaz Al-Thani iaitu Ustaz yang kedua setelah Ustaz Nursi, setelah Tulab Nur istinsakh Rasail Nur daripada Ustaz Nursi, semuanya akan diberi kepada Ustaz Ahmad Khusrou untuk menyemak dan membetulkan apa sahaja kekurangan. Sehingga Nursi memberi kebebasan kepada Ustaz Ahmad Khusrou untuk menambah apa sahaja dan membuang apa sahaja yang dirasakan perlu daripada Rasail Nur. Nursi pernah berkata, Khusrou adalah aku dan aku adalah Khusrou.

Petang itu kami dibawa ke perkuburan yang luas di Isparta. Ditunjukkan beberapa kubur Tulab Nur, salah satunya kubur Ustaz Ahmad Khusrou kami berdoa. Albarah terasa syahdu sekali.



Maqam bersemadinya Ustaz Ahmad Khusrou


Selepas itu Dr. Hikmet membawa kami ke bahagian yang lain dan ditunjukkan kubur sementara Ustaz Bediuzzaman Said Nursi setelah dibongkarkan dari Urfa. Di kubur itu Ustaz Nursi dikebumikan sementara dan kemudiannya dipindahkan ke tempat yang dirahsiakan kepada umum. Namun tempat sebenar Ustaz Nursi diketahui oleh Tulab Nur yang utama.

Sebak betul dibuatnya, mengenangkan perjuangan orang soleh untuk mempertahankan iman. Hidup mereka digeruni musuh, mati juga belum selesai ketakutan mereka yang takut. Namun banyak hikmahnya, Ustaz Nursi sendiri pernah berharap kuburnya tidak diketahui umum, beliau berkata hadiahkan al-Fatihah kepadaku, di mana jua kuburku tidak penting.


Setelah itu kami dibawa ke kediaman Ustaz Ahmad Khusrou, rumah itu kini menjadi tempat solat Jumaat dan tempat perhimpunan Tulab Nur. Ustaz Nursi pernah tinggal di rumah ini selama enam bulan, namun tekanan dan ancaman terlalu kuat sehingga Ustaz Nursi dan Ustaz Ahmad Khusrou tinggal secara berasingan bagi meredakan ketegangan. Ustaz Ahmad Khusrou mempunyai satu bilik kecil untuk istinsakh Rasail Nur dan menulis al-Quran.

Ustaz Ahmad Khusrou adalah penulis al-Quran tawafuq. Daripada sepuluh murid Nursi yang dipilih ketika di Barla, terjelma Tawafuq al-Quran melalui khat Ustaz Ahmad Khusrou ini. Ustaz Nursi memerintahkan 10 muridnya menulis al-Quran dengan beberapa syarat, mereka tidak dibenarkan "takalluf" iaitu buat-buat atau memaksa diri untuk mencantikkan tulisan, mereka tidak melihat di antara satu sama lain dan mereka perlu mengikut format Hafiz Osman (1834-1894) yang memulakan ayat di setiap muka al-Qur'an dan diakhiri dengan ayat juga. Ertinya ayat tidak bersambung di muka sebelah lagi. Di akhirnya, terjelma Qur'an Tawafuq sebagaimana Ustaz Nursi inginkan melalui khat Ustaz Ahmad Khusrou. Penulis khat yang lain mungkin terselit di hati mereka keinginan untuk memperindahkan tulisan, sedangkan Ustaz Ahmad Khusrou bukanlah penulis khat.

Lama kami mendengar penerangan Ismail Abi dan Dr. Hikmet di sini. Kami menunaikan solat sunat dan asar di dalam rumah berkah ini. Di dalam rumah ini Ustaz Ahmad Khusrou menulis al-Quran dengan tangan sebanyak 9 kali dan di sini jugalah beliau secara sembunyi meng"istinsakh" Rasail Nur serta memperbetulkan Rasail Nur sebelum diedarkan kepada rakyat Turki secara rahsia.

Di dalam bilik kecil Ustaz Ahmad Khusrou terdapat satu pintu rahsia, keras dari besi dan rapat sekali. Rupanya apabila Ustaz Ahmad Khusrou menyedari kedatangan tentera atau polis yang datang menggeledah beliau akan menutup lampu dan terus bersembunyi di dalam ruang kecil pintu rahsia itu lalu meneruskan istinsakh di dalam bilik rahsia tersebut.

Tidak dapat albazrah gambarkan, sungguh bertuah kami dapat masuk ke rumah yang kini dijadikan masjid, tempat disalin Rasail Nur, tempat ditulis al-Quran sebanyak 9 kali, tempat Ustaz Nursi tinggal selama 6 bulan...Masya Allah, Alhamdulillah... Terima kasih Tuhan. Di dalam rumah ini berkali-kali airmata albazrah mengalir. Suhu di dalam rumah nyaman sekali, Nisreen tertidur nyenyak. Di dalam rumah ini juga Ustaz Ahmad Khusrou berpuasa dan berbuka setiap 17 hari sekali.

Di dalam bilik Ustaz Ahmad Khusrou, tersangkut jubah beliau. Nizam mengambil kesempatan menyarungkan ke tubuh dan menyelimutkan Nisreen. Sekarang bilik itu digunakan pula oleh Hodja Said Nuri untuk menulis dan istinsakh serta membetulkan Rasail Nur yang masih diistinsakh oleh Tulab Nur. Kami melihat susunan Qur'an dan juga susunan Rasail Nur yang diistinsakh oleh Tulab Nur sekarang. Hodja Said Nuri menulis doa yang panjang di setiap naskhah yang siap. Hati albazrah sayu sekali, terasa ingin amat ditulis doa sebegitu kepada albazrah oleh Hodja Said Nuri.

Ismail Abi memberi penerangan di luar rumah Ustaz Ahmad Khusrou

Pintu ke bilik rahsia sekiranya ada penggeledahan, Ustaz Ahmad Khusrou menyambung istinsakh di dalam bilik rahsia ini.


Inilah bilik kecil Ustaz Ahmad Khusrou yang kini digunakan oleh Hodja Said Nuri

Rumah Ustaz Ahmad Khusrou dari luar kini menjadi tempat solat Jumaat


Petang itu kami pulang dengan suatu rasa tenang di hati. Rasa bersyukur dapat berkunjung ke tempat penting dalam penulisan Rasail Nur. Terasa ada gataran maknawiyyah dari dalam. Allahu Akbar...hambamu ini bersyukur Ya Allah. Setelah pulang ke madrasah, albazrah, Nizam dan Nisreen telah diserahkan kunci rupanya mereka telah mengosongkan madrasah untuk kami bertiga. Terharu. Apabila masuk ke dalam, sudah terhidang makan malam.

Kami masih belum tahu apa yang bakal terjadi esok, masa terlalu suntuk kami perlu pulang segera ke Istanbul. Albazrah mengemas barang-barang kemungkinan kami akan pulang esok hari, hari Ahad. Tiket kami pulang ke Sudan ialah pada hari Rabu.

Bersambung...



4 comments:

Anonymous said...

Salam Dik...Ya Allah bertuahnya adik...Kak ila

~azzarrah~ said...

Salam kak ila, alhamdulillah... rezeki yang tidak disangka. Kak ila bakar lemang ke di sana?

Anonymous said...

Salam Dik..hehe takde lah,buat nasi impit dgn kuah kacang aje...Adik beraya di Turki ke..wow bestnya dapat melihat budaya dan merasa makanan raya disana..salam cium untuk puteri adik ya..Kak ila..

~albazrah~ said...

Kak ila, kitaorang dah di Sudan. Cerita Turki ini memori bulan lepas.Raya bersama rakyat Malaysia di Sudan ni. Tapi makanan Turki superb. Salam sayang dari kami di Sudan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails