
Tulisan Sheikh Said Ramadhan Al-Buti sering mencuri minat dan perhatian saya semenjak di UM. Saya tidak pasti adakah kitab Fiqh Sirah masih menjadi silibus di UM. Sekarang saya sedang berusaha menghadam Kitab Kubra al-Yaqiniyat. Subhanallah, kitab ini ajaib lah bagi saya. Membincangkan perkara-perkara universal yang benar dan pasti, kewujudan Tuhan dan tanggungjawab makhluk.
Al-Buti menulis tidak semberono, beliau seorang sasterawan. Sesekali saya dapat memahami dan menyedari susunan bahasa dan katanya, terasa kagum di hati. Ulama yang tidak semberono menulis, indah bahasanya.
Saya teringat tahun 2002 ketika saya pernah menaiki lif bersa
ma rombongan Sheikh Ramadhan Al-Buti, ketika itu saya seorang sahaja perempuan yang tercari-cari tempat seminar di hotel Summit. Ahh... bayaran seminar untuk pelajar cuma RM25, saya 'booking' melalui telefon kepada penganjur iaitu JIM. Saya mencari hotel Summit dengan menahan semua bas yang lalu sambil melaungkan Pak Cik lalu hotel Summit tak? Saya melaung kerana pagi itu hujan. Akhirnya bas nombor 4 pergi ke Summit, pemandu suruh saya duduk di depan sekali supaya senang saya turun apabila sampai nanti.Sheikh Said Ramadhan Al-Buti di dalam pembentangannya tentang Ikhlas dan para Ulama' di era Globalisasi benar-benar bercakap khusyuk dari hatinya. Terasa betul keikhlasan yang terpancar dari lubuk hati yang dalam. Ia singgah ke hati saya. Saya tidak dapat menahan limpahan air mata kerana apabila bercakap tentang ikhlas, ulama dan perjuangan, Al-Buti seolah mengheret semua pendengar menyertai ruang asing yang beliau sedang alami. Seolah beliau membawa saya berada di dalam suatu hal tentang ikhlas. Sungguh perasaan luar biasa yang ajaib, terasa halus dan kerdil diri di hadapan suatu kuasa agung hadrat Allah Ta'ala. Allah... Ketika itu saya amat yakin, al-Buti adalah Ulama' Rabbani. Ilmu beliau bukan berlegar hanya di kertas dan aqal tetapi menyerap sehingga ke latifah yang dalam, qalb, roh, sir dan lain-lain.
P
erkara ini tidak mustahil, kerana apabila saya membaca kitab Haza Walidi, tulisan al-Buti tentang ayahandanya, terserlah didikan seorang ayah yang hati dan jiwa hanya menghadap Allah. Mengisahkan bagaimana Mulla al-Buti yang kematian anaknya satu demi satu, penghijrahan mereka dari Turki ke Syria, susah payah ingin memberikan ilmu kepada anaknya, mujahadah nafs, motivasi yang sentiasa diberi kepada anaknya Sheikh Said Ramadhan al-Buti walaupun telah tua. Ikatan rohani antara anak dan ayah walaupun telah terpisah dengan kematian. Allah..Allah... Saya ingin sangat mencontohi Mulla al-Buti mendidik anak cucunya. Sehingga kehidupan mereka mengutamakan Allah dan Rasul melebihi segala-galanya. Di dalam buku ini juga banyak kisah dan catatan keajaiban limpahan kurnia Allah kepada hamba yang dikasihi.Dicatat juga, beberapa kekeliruan di dalam tariqah tasawuf yang perlu diperbetulkan. Bagaimana pencarian mencari Allah kembarnya hanyalah Sunnah Rasulullah SAW, pendirian Sheikh Said Ramadhan al-Buti tentang Maulid, catatan tentang mimpi-mimpi yang benar. Subhanallah. Saya mencadangkan para penuntut ilmu supaya membaca buku ini kerana ia benar-benar menambah kecintaan kepada Allah, Rasulullah SAW dan para pewaris Nabi.
Allahumma Solli 'Ala Muhammad wa 'Ala aali Muhammad.
2 comments:
assalamualaikum,
nak tanya kitab ni dalam bahasa arab atau english? kat malaysia ade x?
Wa'alikummussalam
sarina: Buku di atas dalam Bahasa Arab, saya tidak pasti sudah diterjemah ke English atau belum. Saya fikir ada juga di jual di Malaysia.
Post a Comment