
Profesor Dr. Muhd Kamil yang saya kenal bermula ketika saya membaca buku PhD Kecil tetapi Signifikan, ia menyuntik semangat ketika saya masih di UIA menghabiskan Master. Tiba-tiba nama ini telah mengunjungi blog albazrah meninggalkan komen di posting ini. Kunjungan tersebut benar-benar membuatkan saya gembira kerana seorang yang hebat datang berziarah.
Ada beberapa perkara yang sangat signifikan tentang Prof. Kamil dan keluarganya dalam diri saya,
1. Prof. Kamil gemar membuat kejutan. Pada 15 Nov. 2007 pada pukul 11 pagi, beliau muncul di rumah saya bersama keluarganya di Jitra bersamaan hari pertunangan saya. Saya menjadi kelam kabut dan serba tidak kena.
2. Prof. Kamil seorang yang merendah diri walaupun beliau seorang yang begitu kanan di dalam pentadbiran UiTM dan juga dalam posisi akademiknya. Ciri ini ciri terpenting seorang hamba dan seorang penuntut ilmu Allah. Tidak mustahil orang sebegini akan ditinggikan Allah. Lembah yang rendah mampu menakung air.
3. Prof. Kamil membuatkan saya rasa dihargai walaupun saya hanya seorang pelajar di UIA. Apalah sangat nak dibandingkan dengan seorang Profesor yang telah berjaya melepasi tapisan-tapisan akademik yang mencabar. Saya berasa bertuah menjadi antara pembaca pertama draf buku beliau "Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman" dan "Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok".
4. Saya tidak menyangka ketika ditemuduga untuk jawatan Pensyarah di UiTM beliau salah seorang panelnya. Kuatnya pengaruh beliau membuatkan saya menolak tawaran UPSI, UKM, dan UTP lalu menerima UiTM. Namun diam-diam saya menerima USIM kerana sekiranya Prof tahu dari awal, sudah pasti saya akan terpengaruh lagi untuk menetap di UiTM, cuma bidang Hadith membuatkan saya membulatkan tekad berhijrah ke USIM. UiTM kekal di hati saya.
6. Prof banyak memberi nasihat dan menceritakan pengalaman dalam selok belok bertugas di UiTM dan perjawatan umumnya.
5. Prof tidak kekok bertanya dan meminta pendapat untuk perkara yang besar mahupun perkara yang kecil kepada sesiapa sahaja termasuk kepada saya melalui sms dan juga email. Beliau bertanya tentang frasa-frasa dan istilah-istilah di dalam Islam yang tidak beliau fahami. Beliau meminta cadangan ulama terkenal tetapi tidak popular, saya cadangkan Ustaz Fahmi Zamzam.
6. Prof pernah sms dan minta saya rahsiakan ketika beliau dilantik menjadi Pengarah UiTM ketika belum diwartakan secara rasmi. Saya tahu beliau mengharapkan doa daripada saya. Ini cukup membuatkan saya benar-benar ingin mendoakan beliau sekeluarga.
7. Istimewanya Prof di mata saya bukan kerana posisi akademiknya, bukan kerana pelbagai peristiwa pelik dan anugerah Allah kepada beliau sekeluarga, bukan kerana istiqamahnya beliau berpuasa Isnin dan Khamis, qiyamullail dan solat berjemaah, bukan kerana pelbagai pembaharuan yang dilaksanakan di UiTM Johor dan bukan kerana beliau antara penulis Bestseller PTS. Tetapi istimewanya beliau ialah mujahadah beliau melawan ananiyah (keakuan) dan musuh dalam diri beliau. Setelah beliau pulang dari Haji dan mengubah sempadan iman, sedikit demi sedikit pertarungan beliau dengan Nafsu Ammarah dan lawwamah dapat diteliti. Tetapi benarlah, syaitan tewas dengan orang yang ikhlas kepada Allah. Biarlah tersilap beribu -ribu kali, kadang-kadang riya', ujub, sum'ah dan takabbur, tetapi selagi mana kita bertaubat dan menyesali kesilapan... Allah tidak pernah menolak hambanya. Didoakan Prof terus istiqamah. Insya Allah, berkat doa Puan Roza isteri solehah mereka akan membina keluarga bahagia di Firdaus kelak. Ameen...
Prof telah mengakhirkan tugas sebagai Pengarah UiTM Johor pada hari ini. Selamat maju jaya, insya Allah segala kebaikan dan perjuangan Prof selama menjadi Pengarah sahamnya teguh di sisi Allah. Jasamu dikenang. Selamat kembali ke posisi akademik. Kehidupan Prof akan lebih warna-warni selepas ini, insya Allah.




