Monday, December 28, 2009

Anekdot Sudan: Iktibar himar dan kemiskinan


Sewaktu mula-mula mendengar bunyi itu saya sangat terperanjat dan hampir menjerit, rasa seperti terlalu hampir di sebelah saya. Bunyi yang sungguh menakutkan dan sungguh menyakitkan...setelah diberitahu suami itu bunyi himar (keldai) terus saya teringat larangan Allah supaya kita tidak meninggikan suara sewaktu berbicara. Allah memberi perumpaan suara yang nyaring dan hodoh itu seperti suara himar (Luqman-19). Sekarang saya mendengar dengan pasti sememangnya suara himar teramat buruk. Dari jauh sudah dapat didengar, entah bagaimana mahu saya ceritakan nadanya, nak kata bunyi anjing macam bunyi gajah, nak kata bunyi gajah macam bunyi singa mengeluh pun ada...ish...dahsyat! Setiap pagi saya sentiasa mendengar bunyi himar. Setiap kali mendengar jeritan himar itu, hati saya diruntun rasa terharu dengan kejadian Allah, Allah berhak membuat apa sahaja perumpamaan dengan hambanya sama ada himar, nyamuk, batu atau apa sahaja semoga kita manusia mengambil iktibar.

Saya juga apabila terlihat kereta himar yang dipanggil karo di sini (seperti gambar atas) terfikir pula perumpamaan kepada orang Yahudi yang tidak beramal dengan kitab Taurat seperti himar yang membawa pelbagai barang tetapi tidak tahu apa yang dibawanya. Saya fikir kita juga boleh cuba fahami ayat ini, adakah kita seperti himar juga mengumpul dan mengumpul segala hadith dan riwayat, segala kata-kata ulama dan pendapat, segala maklumat dan berita tetapi tidak sedikit pun kita mahu cerna dan fahami bahawa Allah itu pencipta dan kita ini hanyalah hamba. Adakah apa yang kita kumpul itu dapat membentuk diri kita meningkatkan taqwa dan lebih hampir kepada Allah. Adakah juga apa yang kita kumpulkan itu dapat kita tafakkurkan ke dalam diri dan melihat segala taksir juga kekurangan yang membelenggu kita. Atau adakah dengan segala maklumat dan koleksi kita itu, menambah ego dan rasa syok sendiri. Nauzubillah.

Terkadang hati kecil saya terasa nyilu memikirkan bumi tarbiyah Sudan ini, saya rasa kepayahan dalam banyak perkara. Namun, apabila menyaksikan kesulitan yang lebih dahsyat oleh saudara seaqidah saya di bumi Sudan ini, saya beristighfar dan kembali bersyukur dengan segala nikmat kurniaan Allah kepada saya yang melimpah ruah.

Beberapa hari lepas saya mengunjungi teman dari Thailand, hati saya pilu dan bermonolog sendiri "mereka lagi susah tapi mereka bersabar, apakah yang aku mampu lakukan untuk menolong mereka?". Apabila melihat seorang pensyarah Universiti Afrika yang juga Doktor dan Pendaftar datang dari jauh nun dari Omdurman setiap hari hanyalah menaiki bas dan perlu menukar bas beberapa kali seawal 6 pagi keluar untuk mengajar pada pukul 8 pagi, kemiskinan membuatkan hati mereka jadi tega. Hati saya pula tersiyat... Allah benar-benar mahu saya insaf, sudah lama saya dalam kesenangan dan kemewahan di Malaysia. Sedangkan saudara seaqidah saya sedang berjuang untuk hidup. Kesusahan hidup yang membelenggu rakyat Sudan, membuatkan rakyatnya sangat dominan dengan sifat rakus dan penipu, namun tidak sedikit saya temui mereka yang memiliki hati putih tulus dan penuh ihsan. Mereka ini saya pasti telah berjaya menakluki nafsu ammarah di tengah-tengah masyarakat rakus yang mahu memenuhi sekadar keperluas asas sanggup menggadai maruah diri menjadi penipu pemakan rasuah secara terang-terang. Lahawla wa la quwwata illa billah...

0 comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails