Friday, December 28, 2007

Ahlan wa Marhaban Studentku!!!


Insya Allah minggu depan saya mula bertemu pelajar-pelajar. Semoga Allah membantu saya, memandu saya untuk menjadi pendidik. Semoga Allah melimpahkan cahaya buat pelajar-pelajar yang dikasihi. Doakan saya agar tetap di atas landasan, tidak tergelincir. Saya perlu mengajar CTU 101 (Prinsip-prinsip Asas Islam) untuk 6 kelas part 1. Pelajar-pelajar saya dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Perhotelan. CTU 211 (Sains dan Teknologi Islam) untuk 2 kelas part 3 dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, dan IDA 102 (Manusia dan Agama) pelajar-pelajar bumiputera non-Muslim part 1. Jumlah 18 jam seminggu. Semoga Allah melimpahkan Rahmatnya untuk saya dan para pelajar saya. Rabbi zidni ilma warzuqni fahma...
Tuhan...
Engkau Maha Tahu tentang kekerdilan
diriku
Engkau Maha Arif akan kejahilan
hambaMu
Engkau juga tahu, aku ini serba kurang
Bagaimana mungkin aku memandu pelajar-pelajarku, sedang aku
juga masih perlu dipandu?
Bagaimana mungkin aku membimbing mereka, sedang aku sendiri
belum terbimbing?
Oh Tuhan...
Aku menyerahkan seluruh jiwa dan ragaku
segenap lataif dan ahwalku
biar ia larut dalam ahadiyah dan ma'iyyahMu
Supaya setelah itu hilang segala aku
Bahawasanya Yang Mendidik, Bahawasanya Yang Memandu
Hanyalah ENGKAU...bukan aku...

Fakta: Benazir

PEMIMPIN pembangkang yang terkemuka Pakistan Benazir Bhutto terbunuh dalam satu serangan bersenjata dan bom selepas satu perhimpunan awam menjelang pilihan raya di bandar Rawalpindi semalam.


Berikut adalah fakta tentang Benazir:


Benazir Bhutto dilahirkan pada 21 Jun 1953 dalam keluarga berada. Bapanya, Zulfikar Ali Bhutto, merupakan pengasas Parti Rakyat Pakistan (PPP) dan menjadi Presiden dan kemudiannya Perdana Menteri Pakistan dari tahun 1971 hingga 1977.


* Selepas memperoleh ijazah dari Universiti Harvard dan Oxford, beliau pulang ke Pakistan pada 1977, sebelum tentera negara itu merampas kuasa daripada bapanya. Beliau mewarisi kepimpinan dalam PPP selepas bapanya dihukum mati pada 1979 di bawah pemerintahan Jeneral Mohammad Zia-ul-Haq.


* Beliau dilantik sebagai perdana menteri wanita pertama pada 1988 tetapi kemudiannya dipecat oleh presiden ketika itu atas tuduhan rasuah pada tahun 1990. Benazir kembali berkuasa semula pada 1993 selepas pengganti beliau Nawaz Sharif terpaksa meletak jawatan selepas bertelagah dengan Presiden. Beliau kurang menyerlah ketika kali kedua menjadi perdana menteri dan Nawaz kembali berkuasa pada 1996.


* Pada 1999, Benazir dan juga suaminya Asif Ali Zardari, telah dipenjara lima tahun dan didenda $8.6 juta (RM28.38 juta) selepas didakwa menerima rasuah daripada sebuah syarikat asing yang lantik untuk menangani penyelewengan kastam. Mahkamah kemudiannya mengubah keputusan bersalah itu yang disifatkan sebagai berat sebelah. Benazir yang melantik suaminya sebagai menteri pelaburan ketika berkuasa dari tahun 1993 hingga 1996, berada di luar negara ketika beliau disabitkan kesalahan dan beliau memilih untuk tidak pulang ke Pakistan.


* Pada 2006 beliau menyertai Pakatan Pemulihan Demokrasi dengan musuh ketatnya, Nawaz tetapi kedua-duanya bercanggah tentang strategi untuk menangani Presiden tentera Pervez Musharraf. Benazir memutuskan untuk berunding dengan Pervez manakala Nawaz enggan berbuat demikian.


Benazir kembali ke Pakistan pada bulan Oktober 2007 selepas lapan tahun tinggal dalam buangan apabila Musharraf yang telah ditemui untuk membincang peralihan Pakistan ke pemerintahan awam yang demokrasi, memberikan jaminan perlindungan kepada bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan bagi kes-kes rasuah yang lalu.


* Pada masa kepulangan beliau melalui Karachi, seorang penyerang berani mati telah meletupkan dirinya mengorbankan lebih 138 nyawa termasuk penyokongnya.


Pada 26 Disember lalu, Benazir bersumpah untuk memperjuangkan hak pekerja ketika mengadakan kempennya bagai pilihan raya umum Januari.

-Sumber Utusan

Belasungkawa

AL-FATIHAH
Banazir Bhutto yang dibunuh semalam. Semoga dicucuri Rahmat oleh Allah. Saya sungguh teruja dengan perjuangannya. Adakah dengan pemergian Benazir ada musuh-musuh yang menari tango?
AL-FATIHAH
Hazri bin Abdul Hamid, bekas pelajar UIA dan juga junior saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah yang meninggal dalam kemalangan semalam. Beliau juga bekas ahli kumpulan nasyid sekolah al-Faradis.

Thursday, December 27, 2007

Ceritera hikayat niat dan cita-cita


Niat adalah asas kepada setiap amalan. Ia umpama biji benih. Bila kita mempunyai niat yang baik, seumpama kita menanam benih yang baik. Perbuatan dan tingkah laku sehebat mana sekalipun kalau tiada niat yang baik, sia-sia… ia tidak sedikitpun dipandang Allah. Jadi kita jaga niat kita, biar niat itu benar. Tanamlah benih yang benar dan baik, supaya nanti tumbuh pohon amal yang benar dan juga baik. Kelak boleh dipetik dan dituai hasilnya yang menguntungkan.


1) “Saya buat kerja ni tak ikhlas!” “Dan saya beritahu siap2 apa yang saya buat ni tak ikhlas!” Tersentak saya bila mendengar wanita itu mengulang-ngulang perkataan tidak ikhlas tersebut. “Saya tak nak buat semua ni, tapi saya kena buat juga”. Uhh… seolah disentap jantung saya. Saya hairan, kepada siapa dia sedang bercakap. Seolah dia sedang membuat pengumuman kepada dunia, “Dengar sini semua!!! kerja yang aku buat ni, walaupun berjalan lancar…tetapi tidak mempunyai roh… aku tak ikhlas. Aku nak semua orang tahu, aku terpaksa membuat kerja ni.” Astaghfirullahhal ‘Azim. Sekarang “padan muka” siapa? muka dia atau muka orang atasannya yang mengarahnya menyelesaikan tugas tu? Saya rasa bukan “padan muka” orang atasnya, “padan muka” dialah. Saya tak mampu buat apa-apa. Mungkin benar dia sedang dianiaya oleh orang atasannya.


Tapi, hati saya berdetik, habis tu selama beberapa bulan dia buat tugas ni, rupanya dia tidak ikhlas lah? Kasihan…. Kerja yang sedikit pun tidak melanggar syariat Allah itu dibuat dengan penuh rasa benci. Sungguh rugi. Segala penat lelahnya, keringat dan fikirannya, berlalu tanpa pengiktirafan daripada Allah. Andai, ditukar arah sedikit sahaja, pasti setiap detik dalam jangka berbulan itu berisi pahala dan redha Allah ta’ala.


2) Sepupu saya yang baru tamat SPM menceritakan detik tamat peperiksaannya. Seorang kawannya terus membakar buku-buku SPMnya. Tapi dia tidak bakar, sebaik saja selesai, dia membuang semua bukunya ke tong sampah. Dia rasa merdeka, dia rasa tak nak berfikir sedikit pun tentang pelajaran selepas tamat SPM. Saya senyum sahaja, itulah remaja hasil acuan pendidikan hari ini.


Saya pun cakap, kak ma sekarang sangat rindu dengan subject yang dah lama kak ma tinggalkan setelah specialize dalam bidang agama di Universiti. Kalau ada kesempatan, kak ma kadang-kala akan baca dan membeli buku geografi, matematik, sains dan apa sahaja. Kak Ma betul-betul rindu terutamanya geografi.


Sepupu saya kehairanan. Eee…pelik lah akak ni.


Saya kata, “kak Ma biasa sahaja. Tak pelik pun. Tapi Kak Ma tak sampai hati buang buku-buku kak Ma. Sayang sangat. Tapi bila banjir, semua kena buang.” Dia kata lagi, dia belajar sebab kena belajar. Dia tak tahu kenapa dia perlu buat benda yang dia tak suka. Dia bertanya saya macam mana pula.


Saya pun cerita, saya kata, “kak ma tak boleh buat benda yang kak ma tak suka. Kalau kak ma buat juga, mesti kak ma akan sakit dan menderita. Sakit kepala lah, sakit hati lah, sakit perut lah. Kak Ma tak suka hati kak Ma jadi sempit dengan benda-benda macam ni. Jadi Kak Ma berusaha menggembirakan hati sendiri. Kak ma cuba untuk jadikan apa yang dipelajari atau hadapi sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Walaupun terpaksa kena buat kerja tu, kak ma sedaya upaya cuba untuk melaksanakan dengan hati yang rela. Kalau tidak ia akan sia-sia. Dan sampai sekarang kak ma masih berusaha, kadang-kadang niat tak betul juga."


Subject-subject di sekolah mahupun di Universiti walau macammana “hodoh” sekalipun di hati … kak ma akan cuba cari bahagiannya yang berwarna-warni supaya hati jadi gembira.


“So, selama ni akak belajar tu akak sincere lah ye? Eee pelik lah akak ni…”


“Itu akak tak tahu, tetapi kita mesti ingat, menuntut ilmu itu berpahala. Tidak ada suatu agama pun dalam dunia ni selain Islam yang kata mencari ilmu itu menjadi ibadat. Hanya agama kita, Islam. Mencari ilmu sangat disuruh dalam agama…berpahala”.


“Kalau kita tahu hadith Nabi SAW yang kata setiap penuntut ilmu itu akan didoakan oleh seluruh makhluk, rumput-rumput akan beristigfar kepadanya…dan imagine semua zarah mendoakan kita…tidak kah kita rasa gembira untuk terus mencari ilmu. Untuk berjalan pergi ke sekolah dan universiti.”


3) Cuba bayangkan air mawar tanpa wangian mawar? Cuba bayangkan manusia tanpa roh? Cuba bayangkan harimau tanpa garangnya? Semua jadi tidak kena. Air mawar tidak lagi wangi, ia hanya air biasa. Manusia tidak lagi hidup, ia telah tiada. Harimau tiada lagi taringnya, tiada beza dengan kucing biasa. Itulah perumpamaan niat dan keikhlasan.


4) Saudara saya bercita-cita tahun depan ingin menyambung di Akademi TV3. Alasannya nanti terus dapat kerja, boleh kerja dengan TV3. Full stop… itu cita-cita dia. Dia dah malas nak fikir yang susah-susah. Saya kata, bagus… belajar lah di Akademi TV3. Tapi macamana kalau suatu hari TV3 benkrap? Tutup? TV3 dah tak ada lagi…. Hmmm… dia diam. Saya kata, belajar lah di Akademi TV3, kalau ditakdirkan kamu menjadi wartawan jadilah wartawan hebat, bukan setakat di TV3 malah boleh ke Palestine, ke Kashmir, ke USA melaporkan perkara sebenar. Boleh menjadi wartawan di mana-mana. Ia suatu jihad. Kalau ditakdirkan kamu menjadi cameraman, jadilah cameraman yang hebat, yang pakar sehingga ke peringkat dunia. Merakamkan segala perkara yang menggambarkan keagungan Allah Ta’ala. Kalau ditakdirkan mendalami bidang apa sahaja, luaskan jiwa tidak sekadar di Bandar Utama, yang tidak mustahil TV3 suatu hari mungkin tak ada. Berjuanglah dalam bidang yang kamu suka. Bukan setakat kerja. Letak cita-cita kamu setinggi bintang, at least kalau tak sampai bintang, kamu masih lagi mencapai awan. Ia masih tinggi…


5) Mak saya berpesan sejak dulu… sambil mak membaca syair arab “kun rajulan rijluhu fi al-thara, wa hamma himmatuhu fi al-thurayya” yang lebih kurang begini maksudnya “ Jadilah seorang yang kakinya di bumi (mencecah tanah) dan tekad himmahnya (keazaman, cita-citanya) setinggi bintang thurayya”.

Wednesday, December 26, 2007

Assalamualaikum WBT,

You are cordially invited to a public forum on "Food for All? Islamic View on Biotech in Food" by Asst. Prof. Dr. Anke Iman Bouzenita from the Department of Fiqh and Usul al-Fiqh, IRKHS.

The talk will be held on Friday (4th January 2008) at the Conference Room 1, Research Centre, IIUM
From 3.00pm to 5.00pm.


Regards,
International Institute for Muslim Unity

Wednesday, December 19, 2007

Saya petik sedikit dari tulisan Ustaz Raja Mukhlis untuk kita renung dan insafi. Berhati-hatilah kepada sesiapa yang dengan mudah membid'ah orang awam. Kebenaran dijanjikan bersama sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam).


...Wahai orang-orang awam. Janganlah tertipu dengan sesetengah golongan yang menyeru kepada manhaj salafi, padahal mereka bercanggah dengan sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam). Janganlah tertipu dengan olahan dan kefahaman salah mereka terhadap perkataan-perkataan salafus soleh dan janganlah turut mengikut bid'ah mereka dalam masalah aqidah takkala mereka tersalah dalam memahami nas-nas Al-Qur'an terutamanya nas-nas mutasyabihat....

...Janganlah bersikap sombong dengan terus membid'ahkan amalan-amalan yang diamalkan oleh sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam) seperti amalan menyambut maulid Nabi s.a.w., amalan berzikir secara berjemaah, bertawassul kepada orang mati dan sebagainya, apatah lagi, ianya masalah yang khilafiyah bahkan diamalkan oleh kebanyakkan umat Islam. Sesungguhnya, umat Islam tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Orang yang perasan bahawa majorit umat Islam telah tersesat ataupun telah melakukan bid'ah, sebenarnya dialah yang telahpun sesat kerana tidak meyakini hadith-hadith Nabi s.a.w. dalam bab ini.

Bertaubatlah kepada Allah s.w.t., kerana sesungguhnya Allah s.w.t. itu Maha Pengampun. Kembalilah ke pangkal jalan, kerana sesungguhnya jalan kebenaran masih terbentang luas, selagi nafas masih di rongga. Rasulullah s.a.w. seorang yang amanah lagi jujur. Jaminan kebenaran bersama dengan sawadhul a'zhom, sesuai dengan janji Baginda s.a.w.. Sesungguhnya, mati dalam bersama dengan sawadhul a'zhom itu suatu ketenangan kerana bersama dengan janji kebenaran daripada Rasulullah s.a.w.. Adapun hidup walau dengan bergunung emas sekalipun, tidak akan memberi ketenangan jika memusuhi dan keluar daripada sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam).

Kisah Bas 2

1) Pernah dalam bas waktu malam nak balik ke Jitra, ada seorang lelaki di kerusi depan ku. Tiba2 dia menjerit dan bertempik. Dia terus meluru ke hadapan ke arah pemandu. Semua orang terperanjat dari tidur. Jantungku berdegup kencang. Rupanya lelaki itu mengigau. Dia berjalan dalam tidur. Dahsyat! saya ingatkan dia bawak parang...


2) Satu kali dari Jitra ke KL. Pemandu bas tertidur, bas melanggar divider. Aduh... tersirap darahku. Tetapi perjalanan akhirnya selamat sampai ke KL juga.


3) Satu kali aku demam, naik bas pukul 2ptg ke KL. Sepanjang lebuhraya aku sering meminta pemandu berhenti di R&R, kerana ingin muntah. Bila sampai di Puduraya, hari dah malam. Aku berjalan menuju Petaling Street. Aku hampir pitam dan terduduk di depan Macdonald. Aku tumpang tandas macdonald untuk muntah. Aku terus berjalan ke tempat bas untuk ke Pantai Dalam. Dalam bas aku tak ada tempat duduk, aku terduduk dalam bas sebab tak daya untuk berdiri lagi. Sehingga aku diangkat oleh seorang perempuan dan beri kepadaku tempat duduknya. Bila sampai di rumah sewa, esoknya aku masuk hospital (PPUM), dihantar dengan ambulans. Rupanya aku demam denggi berdarah.


4) Beberapa kali aku naik bas, kena duduk sebelah lelaki2 yang jahat. Tapi Allah sentiasa menyelamatkan aku. Alhamdulillah.


5) Sekali tu aku naik bas pukul 4 ptg. Itulah kali pertama aku naik bas dari puduraya seorang diri. Dalam bas ada 5 orang sahaja. Seorang pemandu lelaki dan 4 penumpang. 3 penumpang adalah lelaki, dan seorang lagi perempuan. Rupanya perempuan itu aku. Sepanjang jalan aku hanya bertemankan doa. Berserah betul2 kepada Allah. Macam-macam boleh berlaku. Perjalanan kali pertama KL-Kedah, sendirian dan hanya aku seorang perempuan. Bas berhenti rehat pukul 6.45, aku bergegas buat jama' ta'khir. Aku duduk menenangkan diri dan bila maghrib masuk aku solat jama' taqdim. Aku dah terlewat, hampir setengah jam. Rupanya semua 4 lelaki hanya tunggu aku. Bila aku naik, bas pun jalan.


Bas-bas ni banyak mengajar aku.

Tuesday, December 18, 2007

ca. 1999, Eastern Washington, USA --- Golden Wheat Field under Blue Sky --- Image by © Darrell Gulin/CORBIS

Dunia adalah ladang yang subur, manis dan menghijau. Dunia adalah ladang akhirat

(الدنيا مزرعة الآخرة). Apa yang ditanam di dunia pasti akan tumbuh. Betapa suburnya bumi ini. Sekiranya benih yang ditanam itu adalah benih baik, maka ia sememangnya akan tumbuh. Sekiranya benih itu tidak elok atau buruk. ia juga akan tumbuh. Hasilnya kelak akan dituai/diambil di akhirat. Beruntunglah mereka yang menanam benih yang baik untuk dituai di hari esok.

Dipetik dari: Saudara Hafiz Amri

Kisah Bas 1

1) Semalam aku naik bas nak balik rumah sewa dari UiTM. Atas bas aku baca buku yang Ibah hadiah "Life is an Open Secret". Buku yang sungguh interesting. Kerana asyik, aku terlepas kawasan rumah ku jauh ke depan. Bas dah pun melepasi bulatan besar dan membelok nak ke Bukit Mertajam. Bila aku sedar, kawasan tu agak asing. Aku sedar aku dah terlalai. Aku minta pemandu turunkan aku di situ. Aku pun jalan kaki balik. Jauuhh.... Aku sampai dah pun masuk waktu berbuka puasa. Habis semua tenagaku.


2) Aku selalu sendirian naik bas ke Kuala Lumpur. Sekali tu bas ke Kuala Lumpur berhenti di Gopeng, hentian baru siap, pukul 4ptg waktu tu. Kami diberi masa setengah jam. Aku belum solat zohor. Tercari-cari surau, lama juga bertanya sana dan sini. Kawasan baru, ramai orang belum tahu di mana surau. Bila dah jumpa. Aku pun solat jama' taqdim, masih sempat. Aku sorang saja dam surau tu. Pukul 4.30 aku pun turun. Bas aku dah tiada. Aku kena tinggal. Huwaa...aku bertanya pak cik2 kat situ. Rupanya bas baru saja pergi. Aku pun menangis sepuas hati kat situ juga. Huhu... Beg aku yang besar gajah tu bas dah bawak pergi. Pak cik2 tu semua kesian kat aku. Sampailah mereka berusaha mencari bas ganti yang aku tak payah bayar tambah. Mereka berusaha telefon puduraya supaya kaunter bas boleh simpankan beg aku yang ada macam2 tu. Di Puduraya, aku dapat balik beg aku. Alhamdulillah. (Bas Jelita yang tinggal aku, tapi lepas tu bas Jelita juga bawak aku ke KL).


3) Pernah satu hari aku naik bas ke Kuala Lumpur. Bas ni tak berhenti di R&R Plus, tapi dia keluar ke jalan kampung. Berhenti di satu kedai makan, yang keadaannya sungguh mengecewakan hatiku. Aku tak berupaya untuk makan, cuma turun mencari tempat solat. Bila aku naik bas semula, kerusi depanku masih kosong. Kerusi tu tadi diduduki oleh seorang wanita tua Cina. Apabila driver naik, dia terus memandu bas. Penumpang-penumpang bising suruh tunggu. Dia tidak endahkan. Aku bangun dan beritahu ada auntie cina yang belum naik. Dia tidak endahkan. Aku sungguh kecewa. Aku tahu bagaimana sedihnya auntie tersebut, sudah la tua...ditinggalkan bas pula, barang-barangnya juga banyak di atas bas. Sejak itu aku bertekad tidak mahu lagi naik bas tu. Dan sekarang kelibat bas itu juga aku dah tak nampak. (Bas Damai Ria)


4) Suatu malam aku naik bas dari KL ke Jitra. Najwa ikut aku pulang. Dari awal Najwa beritahu, dia rasa tak senang dengan pemandu bas. Saya kata, biarkan. Abaikan dia. Bagaimana nak abaikan dia, kami duduk di kerusi paling hadapan. Sepanjang perjalanan kami tak tidur, hanya berdoa. Dia memandu tanpa berhemah, laju dan mulutnya asyik mencarut serta membenci pengguna jalan raya yang lain. Pemandu itu memang kasar. Dia jerkah semua penumpang. Dia bercakap menjerit-jerit. Dengan bangganya dia bercerita, dia pernah beberapa kali menendang penumpang. Dia ketawa, "Haha...apa salahnya, inilah kerja kaki. Kerja kaki ialah menendang, menyepak". Najwa kata, "saya rasa dia gila". Aku membenci dalam hati, kerja kaki ialah berjalan ke tempat2 yang baik, kerja kaki ialah membuat sesuatu yang menyelamatkan di akhirat nanti. Sejak itu hampir setahun aku tak naik bas tu. Sehingga aku dapati pemandu berkenaan sudah tiada. Sekarang aku naik lagi bas tu. (Bas Jelita)


5) Pernah aku naik bas, mungkin dah di kawasan Slim River, tiba2 bunyi bising. Tayar bas rupanya tercabut. Tayar yang laju terpelanting ke belakang dan melanggar kenderaan lain. Bas terseret ke tepi, nyaris jatuh gaung. Penumpang sudah menangis. Aku sudah mengucap syahadah. Tapi rupanya masih panjang umur. Alhamdulillah.


Bersambung...

Monday, December 17, 2007

Salam

Salam ceria

Salam bahagia

Salam gembira

Salam Aidil Adha

Buang yang keruh, ambil yang jernih

Buangkan segala kebencian, berikan kemaafan

Buang segala rasa bosan, nikmati nafas-nafas kehidupan

Tinggalkan permusuhan, tambah bilangan kawan

Senyumlah kepada kehidupan, kehidupan pasti membalas senyuman

Luaskan jiwa seluas semesta


Rafa'kan tasyakkur kepada DIA setiap detik dan kerdip mata

Kerana menghadiahkan nikmat agung kepada kita ~KEHIDUPAN~

Friday, December 14, 2007

Bahkan jagat raya juga bertasbih

Di UIA suatu ketika, saya berjalan dengan Najwa. Tiba-tiba cahaya terang melintasi, lantas kami menutup telinga dan terdengar bunyi guruh kuat berdentum menakutkan. Secara automatik mulut saya terkumat-kamit. Beberapa kali demikian. Lantas Najwa bertanya, " Apa yang kak ma baca?". Saya pun terfikir apa yang saya baca ye? Saya cuba ingat-ingatkan kembali. "Oooh....saya baca Subhana man yusabbihu al-ra'du bihamdihi wal mala'ikatu min khifatih". Baru saya teringat, itulah doa guruh yang mak saya ajar semenjak saya kecil. Disebabkan saya terlalu takut dengan guruh, mak pun ajarkan doa itu. Terima kasih, mak...rupanya didikan semasa kecil sungguh menjadi tunjang dalam, kukuh. Dan setiap kali guruh, doa itu akan melantun secara automatik di bibir saya sehingga kini.


Ketika membaca Surah al-Ra'du, ayat 13, saya membaca ayat yang bererti : (Dan dialah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya kerana takut kepadaNya) Tahulah saya doa yang mak saya ajar, adalah doa yang ma'thur dari al-Qur'an. Guruh dan petir juga bertasbih, kenapa kita manusia masih lalai dari memuji-muji dan memuja Yang Maha Pencipta?

Ketika saya mendengar kali pertama dulu lagu Semesta Bertasbih, Kumpulan Opick dalam Album Semesta Bertasbih saya pegun terdiam, seolah saya dapat rasakan seluruh alam termasuk seluruh diri saya sedang serentak bertasbih. Subhanallah.... Maha Suci Allah, Engkaulah Yang Maha Agung... Berikut adalah liriknya:


Semesta Bertasbih / OPICK

Semesta bertasbih padaMu
Sucikan dirimu lafadzkan asmaMu
Gunung-gunung bintang makhlukMu
Mentari rembulan tunduk taat padaMu
Allah Allah ya rabbi

Alam raya di dalam nafasNya
Berdzikir agungkan tidak pernah berhenti
Burung yang terbang di angkasa
Di laut pun semua mensucikan asmaMu
Tiada satupun pengingkaran alam padaMu
Tiada satupun pengingkaran hati setiap makhlukMu

Ya kabir ya kabir Allah Allah
Ya kabir ya kabir Allah
(diulang 2x)

(Subhanallah)
Subhana malikil kudus
Subuhun quddusun rabbuna
Wa rabbul malaikatu warruf
Tiada satupun pengingkaran alam padaMu
Tiada satupun pengingkaran hati setiap makhlukMu

Ya rabbi ya rabbi Allah Allah
Ya rabbi ya robbi Allah
(diulang 2x)

(Subhanallah)

Ya rabbi ya rabbi Allah Allah
Ya rabbi ya rabbi Allah
(diulang 2x)

Lagu: Opick&Dede
Lirik: Opick
Arr: Dede Kumala
All Instrument: Dede Kumala
Mixed by Dede at Palu Studio
Edited: 07102006 1912

Download sini, khusus bagi yang ada multiply

Waktu ini banjir sedang melanda Pantai Timur, sungguh luar biasa. 2004= tsunami, 2005=banjir luar biasa di Utara, 2006=banjir luar biasa di Selatan, dan kini 2007=di Timur. Saya berfikir ini sungguh luar biasa. Air-air hujan yang turun setiap titisan itu sedang bertasbih, patuh mengikut arahan Tuhan teragung. Lalu banjir menenggelamkan banyak kawasan. Tahun depan di mana pula? Adakah Malaysia semakin rendah? Kawan-kawan saya di persisir pantai Kelantan bercerita, dulu rumah mereka jauh dari pantai sekarang sudah mencecah air. Ada rumah yang tapaknya sudah tenggelam menjadi lautan sekarang.


Adakah Malaysia semakin mengecil? Suatu hari mungkin kah Malaysia akan tenggelam terus? Sedangkan semua air itu sedang bertasbih...saya sungguh malu kepada air, kepada petir dan guruh, kerana saya insan, makhluk paling mulia masih berselang dan bertangguh zikirullah dan juga tasbih. Astaghfirullah...

Thursday, December 13, 2007

Pengumuman

1) Tahniah buat sahabat Muqay@Miqdad yang menjadi pengantin pada minggu ini. Semoga berbahagia di dunia dan akhirat.

2) Tahniah juga buat sahabat dan saudara Zaharudin Mohd. Nawi dan Zunaidah Marzuki kerana telah selamat dikurniakan cahaya mata pertama, lelaki. Semoga menjadi anak bertaqwa, qurratul ain buat ayahanda dan bonda.

Begitu juga Yusran dan Nora di Aceh. Tahniah atas kelahiran cahaya mata.

3) Sekarang sudah pun memasuki Zulhijjah yang penuh barakah. 10 hari terawal ini, sama-sama kita isikan dan meriahkan dengan amal ibadat. Terkandung keistimewaan di dalamnya. Dan ingatan, pada malam hari raya nanti sama-sama kita hidupkan. Dua malam hari raya Aidil Fitri dan Adha juga terlalu istimewa.

Wednesday, December 12, 2007



Know, son, that everything in the universe

is a pitcher brimming with wisdom and beauty.

The universe is a drop of the Tigris of His Beauty,

this Beauty not contained by any skin.

His Beauty was a Hidden Treasure so full

it burst open and made the earth

more radiant than the heavens.

*******

This world and that world are forever giving birth:

every cause is a mother; the effect born is as a child.

When the effect was born, it too became a cause

so that it might give birth to wondrous effects.

These causes follow generation upon generation,

but it takes a very well-illumined eye

to see all the links in the chain.

(Mawlana Jalaluddin Rumi)

Tuesday, December 11, 2007

Dunia itu transit

* Terima kasih kepada pak cik Zamri kerana beri komen. Jadi saya pastekan komen Pak cik Zamri untuk improvekan lagi entri ni.

Assalamualaikum Cik Azma..

Boleh tak..beri analogi yang Pak Sheikh bagi punya. Pak Cik rasa, contoh yang Cik Azma beri itu kurang tepat. Dunia ini bukan sekadar tempat persinggahan, tapi ianya ladang untuk bekalan ke akhirat. Orang yang bijak akan membuat aset yang berkekalan pahalanya, walaupun dia telah mati. Seperti anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kedua ibubapanya, amal jariah dan ilmu yang bermanfaat.Sekian.

Jawapan saya ada di bawah sekali.

Ketika zaman sekolah rendah saya pernah menonton kisah al-Syahid Umar Mukhtar. Saya ingat-ingat campur lupa. Semalam saya menonton lagi kisah yang sama. Kisah perjuangan yang tercatat dalam sejarah. Perasaan bercampur baur, sedih, takut, bangga, kagum, benci, seronok dan sebagainya. Walaupun seorang Umar Mukhtar pergi, sebenarnya masih teguh bangkit ramai Umar Mukhtar yang lain. Begitulah jika perjuangan kerana Allah. Kebenaran akan terus hidup, walaupun ia semakin ditekan. Tutuplah, tekanlah, kuncilah dengan apa cara sekalipun, yang namanya kebenaran akan terbukti dengan sendiri.


Kematian Umar Mukhtar bukan membuatkan rakyat Libya takut, tetapi membakar lagi semangat mereka untuk mempertahan yang haq. Umar Mukhtar bukti sebenar mereka yang cintakan agama, tanah air dan bangsa. Walaupun difitnah sebagai pengkhianat negara, tetapi sejarah membuktikan mereka yang menjajah itulah pengkhianat. Bertuah orang yang beriman, kerana mereka tidak takut mati. Dengan kematian, ia menjadi pintu gerbang untuk mereka memasuki alam yang lebih istimewa dan bahagia.


Saya teringat kisah vcd kartun yang anak-anak saudara saya tengok, kisah Wadah adaptasi dari surah al-Buruj. Ia kisah Ashab al-Ukhdud (Kisah Kaum yang menggali Parit), ketika kematian kanak-kanak (Wadah dalam vcd tu) yang berani mempertahankan iman yang dibunuh dikhalayak ramai. Segala tipu daya dunia dan perancangan rapi dibuat, tetapi semuanya gagal dengan kuasa Allah. Beliau hanya boleh mati sekiranya disebut nama Allah. Orang ramai yang menyaksikan, semakin yakin akan keeasaan Allah lalu beriman beramai-ramai. Mereka semua lantas dibunuh dengan dihumban ke dalam parit yang berapi. Kematian mempertahankan iman adalah satu kemuliaan. (Qutila ashabul ukhdud, al-Naari dhatil waqud....)


Dunia hanya tempat transit. Kalaulah tempat transit kita berhajat mengaut segala kekayaan dan kekuasaan dengan penuh kepongahan dan tamak, bererti bodohlah kita. Andaikan kita dalam perjalanan dari Kedah ke Kuala Lumpur, lalu kita berhenti rehat di Hentian Bukit Gantang. Ketika di Hentian Bukit Gantang, tiba-tiba kita teruja melihat kawasan sekitar... kerana keterujaan kita itu, kita membuat keputusan untuk membeli tanah dan rumah di Bukit Gantang. Kita kagum dengan gunung ganangnya yang indah, mungkin juga rumah-rumah yang cantik. Dan berusahalah kita mencari tanah dan rumah di situ dalam tempoh rehat setengah jam hingga sejam itu untuk memenuhi keinginan nafsu kita. Sudah tentu kawan-kawan dan saudara mara kita pun tahu berfikir, kenapa bodoh sangat orang ni. Perjalanan sebenar hendak ke Kuala Lumpur, tapi kenapa yang kalut sangat nak beli aset kat sini dalam tempoh yang singkat. Sepatutnya di tempat transit, kita melepaskan penat, berehat, sambil mengumpul tenaga dan bekal untuk perjalanan di hadapan.


Itulah dunia di mata orang beriman, dunia hanya persinggahan ke suatu destinasi yang abadi. Rasulullah saw pernah menyatakan tiada hubungan antara baginda dan juga dunia, umpama baginda berhenti berteduh di bawah sebatang pokok kemudian meneruskan perjalanan lagi.


Orang beriman mencari hanya Redha Allah, sentiasa mengharap Rahmat Allah. Berusaha sebaik mungkin di dunia persinggahan ini supaya kantungnya tidak kosong di akhirat nanti. Memandangkan dunia ni tempat persinggahan sahaja, jadi kita buatlah kebaikan sebanyak-banyaknya. Masa yang singkat ini terlalu suntuk untuk kita bazirkan dengan hasad dengkikan orang lain, terlalu pendek untuk kita tikam menikam dan menjatuhkan. Masa yang singkat ni, mari kita sama-sama meriahkan dengan kerja yang ikhlas untuk Allah semata-mata. Hubungkan silaturrahim, pelihara alam sekitar, tebarkan salam. Islam bererti peace...



Jadi saya teruskan di sini:

Wa'alaykummussalam Pak cik,

Itu analogi yang tidak habis saya terangkan pasal dunia. Dunia menurut Ustaz Nursi boleh dilihat melalui tiga cara.

1. Dunia umpama sayap nyamuk kalau dibandingkan dengan akhirat. Maksudnya nilai akhirat tidak terhitung mahalnya. Jadi kita tak boleh sibuk mengejar dunia sehingga lupa akhirat. Jadi entri ni menceritakan tentang dunia yang ini.

2. Dunia seterusnya seperti pak cik zamri sebut, sebagai ladang akhirat. Ha... yang ni yang penting kita faham. Jadi, kalau kita buat apa2 sahaja di dunia ni, beli rumah ke, kerja ke, shopping ke, mengajar ke, tanam pokok ke... kalau kita faham semunya adalah ibadah dan kita buat tanpa lupakan akhirat, kerana Allah semata-mata. Kita akan dapat tuai hasilnya di akhirat nanti.

3. Dunia sebagai cermin. Kalau lihat sungai, lautan, gunung, kita nampak kecantikan dan kekuasaan Allah. Kalau lihat kelembutan seorang ibu, kita nampak reflection Sifat kelembutan Tuhan. walau pun memang tidak sama, malah Tuhan lebih lembut lagi. Tetapi Ibu itu menjadi cermin, sifat lembutnya menjadi imej hakikat kelembutan Tuhan. Kalau melihat gempa bumi,kita melihat imej kekerasan atau jalal Allah Ta'ala.

Jadi pak cik Zamri, Dunia yang perlu kita fahami dan apply dalam kehidupan kita ialah Dunia yang menjadi ladang yang kita tuai hasilnya di akhirat dan dunia sebagai cermin.

Dunia yang pertama, perbandingan dalam hadith Rasulullah SAW, bahawa dunia hanya seumpama sayap nyamuk, itu sekiranya kita salah faham hakikat dunia dan tamak merebut dunia. Inilah dunia yang hanya tempat persinggahan. Kita sedang menuju urusan lebih besar di akhirat, tetapi dek terujakan dunia kita lupa matlamat. Kita menghabiskan kudrat rakus jatuh menjatuhkan, membeli dunia dan menghirup dunia yang umpama air laut. Diminum hanya menambah haus.


Dalam entri ni, saya jelaskan dunia yang disalah tafsirkan. Dunia yang saling jatuh menjatuhkan. Dunia yang melupakan akhirat.

Sekian pak cik. Terima kasih dan maaf sebab terlupa jelas kan dalam entri.

Jom Jalan-jalan

Sudah lama saya tak jalan-jalan makan angin. Hujung minggu baru ni saya berkesempatan mengisinya dengan round-round Malaysia. Malam Jumaat saya naik bas di Butterworth ke Kuantan. Bas Konsortium mengutip penumpang di banyak stesyen, hampir sepuluh atau mungkin lebih. Entah tak pasti. Singgah turunkan penumpang di Puduraya, Kuala Lumpur dan meneruskan perjalanan ke Kuantan. Hujan lebat di sepanjang jalan. Sampai di Kuantan jam 7.15 pagi, saya dapat kawan baru yang asyik nak belanja saya. Sungai Pahang hampir melimpah. Saya singgah ke Pekan. Di Pahang saya tinggal 2 hari, jumpa Ibah, jumpa Ustazah Hulma, jumpa Sheikhi, jumpa kawan-kawan. Hujan lebat berterusan.


Pagi Ahad ambil bas ke Kuala Terengganu. Hajat ingin melihat lautan. Tapi bas tu telah lalu jalan sebelah dalam. Jalan "Jerangau-Jabor" habis ceruk kampung bas kutip penumpang. Penumpang dalam bas mula mengeluh kalau macam ni bila nak sampai? Adik sebelah saya nama Sarimah dah mula pening kepala nak termuntah. Di luar masih hujan, tapi bas itu masih sentiasa mengambil penumpang di tepi-tepi jalan.


Saya memilih untuk tidak tertekan dengan keadaan itu, walaupun bas penuh sesak dengan penumpang yang berdiri, pelbagai bau ada. Saya telefon adik, adik kata laluan itu laluan yang jarang orang guna, kalau malam bahaya. Tak banyak bas lalu situ. Rupanya bas ekspres Transnasional yang saya sangka terus dari Kuantan-Kuala Terengganu tu, sebenarnya bas biasa yang berkhidmat untuk rakyat Terengganu. Saya berfikir mujur ada bas yang terhenti-henti, tersengguk-sengguk, mengutip orang rata ceruk kampung ni... maka, dapatlah saya melihat Terengganu dengan lebih dalam. Saya nampak ladang kelapa sawit, kampung-kampung yang banjir, rumah-rumah orang kampung yang susah, hutan belantara dan banyak ragam manusia. Selain itu, tanpa bas yang terhinggut-hinggut masuk ke jalan kecil ni tentu susah rakyat Terengganu daerah pedalaman nak ke Kuala Terengganu kalau lah semua bas lalu laluan tepi laut dan ekspres direct ke Kuala Terengganu tanpa kutip orang dalam perjalanan.


Bila sampai Kuala Terenganu, adik memandu di sepanjang pantai Tok Jembal, terubat rindu pada laut. Sukanya hati saya. Luasnya pemandangan, tak tahu di mana hujungnya. Bunyi ombak Masya Allah... Alhamdulillah... petang tu, sempat juga saya menziarahi Ahlil Bayt Rasulillah SAW, juga keturunan Tokku Paloh, menumpang berkat mereka. Dan beberapa tempat lagi.


Malam itu saya naik bas lagi pulang ke Butterworth merentasi negeri Kelantan. Pukul 5.45pagi saya sudah pun berada di rumah Permatang Pauh. Puas... dalam 3 hari buat bulatan Penang-Perak-Kuala Lumpur-Pahang-Terengganu-Kelantan-Kedah-Penang. Alhamdulillah. Percutian yang berkat, mudah-mudahan. Sepanjang jalan dari Penang dan kembali ke Penang, Alhamdulillah saya ditemukan dengan kawan-kawan baru yang baik dan sentiasa ingin membantu.

Thursday, December 06, 2007

Warna-warna wanita


Suatu ketika saya terlihat dua wanita. Seorang muda dan seorang tua. Di sisi mereka seorang bayi yang masih merah warna. Kedua-dua wanita diam tanpa kata.

Saya menghampiri kerana merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Sekadar bertegur sapa, beramah mesra.

Mereka menyambut salam saya. Keduanya cuba mengukir senyuman. Namun saya tahu, senyuman mereka penuh paksa.

Saya membiarkan sahaja, sambil bercakap-cakap dengan bayi yang masih merah warna. Tanpa saya sedari kedua-dua wanita mula bergenang air mata. Dan akhirnya tangisan mereka pun pecah penuh hiba.

Saya yang belum pasti apa puncanya cuba-cuba tenangkan mereka. Tahulah saya mereka itu 3 generasi berbeza.

Yang tua, tak henti-henti menyalahkan dirinya. Membiarkan anak bongsunya bebas di kota. Sedang dia nun jauh di Johor sana.

Yang muda juga teresak-esak rasa berdosa. Rasa malu dan rasa hina.

Si bayi itu juga, seolah dapat merasakan kepiluan bonda dan nendanya. Apalah nasib diri kerana dia juga bakal wanita. Tak tentu siapa walinya.

Rupanya si bayi dilahirkan tanpa bapa.

Apalah daya saya, sekadar berusaha menenangkan mereka. Mengingatkan tentang rahmat Tuhan kepada manusia. Asal jangan diulang kesilapan sama.

Teruskan bertaubat, bertaubat dan bertaubat. Saya juga tenggelam dalam tangisan duka mereka. Berempat perempuan tersedu-sedu hiba. Terngiang kata-kata "kesilapan yang membuahkan istighfar lebih mulia dari ketaatan yang membuahkan istikbar"

Laa ilaaha illa Anta subhanaka inna kunna minazzolimin...


Tuesday, December 04, 2007

Mencari Tuhan

Dahulu saya pernah menyarankan sahabat-sahabat semua membaca blog Chris Khalil Moore. Kalau tak salah saya tahun lepas. Ia satu lagi kisah pencarian hakikat diri. Allah yang Maha Baik, tak kan membiarkan hambanya yang ikhlas terkapa-kapa mencari kebenaran tanpa diberi panduan. Hari Jumaat lepas, sepanjang perjalanan dari Permatang Pauh ke Jitra, saya berbicara dengan abang persoalan fizik. Bagaimana unsur, zarah dan segalanya bergetar. Bagaimana melalui diskusi fizik para juruterbang seharusnya menjadi semakin dekat dengan Tuhan. Bagaimana teori-teori fizik membuktikan bakal terjadinya kiamat. Abang bercerita penuh yakin dan saya teruja mendengar. Dan saya semakin yakin kerana perbincangan abang itu memang bertepatan dengan nas-nas al-Qur'an dan hadith-hadith Nabi S.A.W.

Pendek kata (walaupun saya tak tahu bila pendek berkata-kata), setiap manusia pasti akan menemui Tuhannya melalui bidang masing-masing. Allah itu terlalu Adil.
Di sini saya ulangi kisah pencarian hakikat diri Chris Khalil Moore. Petikan berikut ialah lirik lagu semasa Aaron menyanyi dan Chris Khalil Moore pula bermain guitar. Saya yang membaca terus tersirap darah, membayangkan "soul searching" Aaron yang meraung, mencari Tuhannya sehingga rebah ketika menyanyi. Dan Alhamdulillah Aaron dan Chris sudah pun Islam kini. Menjadi Mukmin Muttaqin.

Another busy day
I can’t find time to pray

I’ve been awake too long
Temptation pulls me strong

My soul
is sick and starved
My tombstone is being carved

Sin is my
surrounding
My spirit needs some grounding

I know sometimes I
stumble
But I don’t wanna crumble

My heartache can’t be
ignored!
And I’m reaching for my Lord!

As he
screamed the last two lines of the song he collapsed to the ground, convulsing
and bursting into tears. I didn’t know what to do. I almost broke everything in
the room as I thrashed on my guitar with a passion that I had never seen emanate
from myself before. The whole band vibed off Aaron and the ripples of intensity
spread throughout the ever-increasing field of energy that enveloped us like
tidal waves of power. As the lions that were caged in our chests roared and
broke free, the first wall in the barrier between Aaron and I was now shattered…


Baca terus di sini.
Kita singgah di dunia ini sekejap sahaja, sebagaimana embun yang akan sirna bila matahari mula menebarkan cahayanya... Tetapi hadirnya embun walau sementara cukup memberi makna. Mentajallikan keindahan Tuhannya.

PAMERAN MUKJIZAT AL-QURAN 2007

Tarikh : 11 - 16 DISEMBER 2007 (SELASA - AHAD)

Tempat : BALAI ISLAM LUNDANG, KOTA BHARU, KELANTAN



MAJLIS PERASMIAN

Oleh : Y.A.B. TUAN GURU DATO’ NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT (Menteri Besar Kelantan)

Tarikh : 12 DISEMBER 2007 (RABU)

Masa : 3:00 PETANG



PROGRAM
:

1. Pameran Keajaiban Perubatan, Sains, Matematik, Sejarah, dan Pemakanan di dalam Al-Quran

2. Pameran Kesempurnaan Al-Quran dari aspek Kesusasteraan

3. Konvensyen Kebangsaan Penghayatan Al-Quran

4. Forum “Kamceng” Dengan Al-Quran

5. Pertandingan Islamic Board Game "Quran Challenge", Pertandingan Bercerita, Ujian Hafazan dan Uji Kecerdasan Minda

6. Konsert Islami dan Dikir Barat

7. Deklamasi Puisi

8. Demonstrasi Menulis Khat dan Kaligrafi

9. Gerai-gerai Jualan

10. Cabutan Bertuah



Penganjur Utama :

Perpustakaan Awam Islam Dar Nur Al-Zahra (Islamic Public Library And Research Centre), Kota Bharu.

Tel : 09 - 747 3829

Fax : 09 - 748 4975



Dengan Kerjasama :

Kerajaan Negeri Kelantan, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), USM, PPIM, Teguh Iman Resources, PERTIS, Pupuk Nilai Murni Sdn. Bhd., Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, & APKB.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails