Sunday, July 05, 2009

Subhanallah... Tabarakallah

Source

"Rabbi la tadharni fardan wa Anta khair al-warithin"

Saturday, July 04, 2009

Ahadiyah

Dua minggu lebih aku hibernated. Aku seorang perempuan yang sinonimnya lemah fizikal dan mental. Aku akui dan sangat akuinya. Dulu aku rasakan aku cukup kuat untuk hadapi apa sahaja cubaan dan dugaan. Di Malaysia, aku ke sana ke mari seorang diri. Aku dengan rahmat ALlah dapat menyelesaikan banyak perkara dalam satu hari. Tanpa ku sedari terselit ananiyah yang mula bertugu di dalam diri.

Namun, tiba aku di bumi tandus kering dan miskin Sudan ini seolah mengubah 180 darjah kepercayaan karut yang mula bertapak di sanubariku. Hari-hariku di sini hampir tiga minggu adalah air mata.

Di penghujung minggu ke-3 aku mula mengintai makna. Sedikit demi sedikit senyumanku terasa segar tidak lagi longlai. Aku mula memahami. Aku mula mengerti didikan Allah kepadaku. Aku tahu kini aku telah merelakan diriku untuk ditarbiyah selama 3 tahun. Memasuki Sudan bererti aku mendaftarkan diriku untuk diuji dan diuji. Bumi Sudan menguji insan lumat-lumat.

Benarlah siapa jua yang pernah ke Sudan... pesan-pesan mereka kepadaku, Sudan perlukan kesabaran yang luar biasa... Sudan juga akan mendidik seseorang menjadi manusia tabah, sabar dan merendah diri. Ameen Ya Allah, moga aku menjadi begitu.

Tak layaklah diriku untuk menghitung mahupun menyebut ujian demi ujian yang telah aku hadapi dan bakal hadapi di Sudan ini. Walaupun menurut perkiraanku ujian terlalu banyak, rupanya Rahmat Allah lebih banyak lagi. Rahmat Allah menyelit sering di celah-celah ujian itu... Alhamdulillah... Aku semakin faham dan semoga bertambah faham.

Tuesday, June 16, 2009

Maghrurun

Orang-orang yang terpedaya.

Seringkali kita menyangka kita terselamat dan terlepas daripada tipudaya syaitan dan hawa nafsu. Semakin meningkat kedudukan seseorang dari sudut ilmu, amal mahupun kedudukan dunia, semakin halus lah tipudaya dan semakin sukar dikesan.

Hanya mereka yang ikhlas li wajhillah akan terselamat.

Pendek kata, apa sahaja yang dikecapi sama ada kebaikan atau keburukan tetap menjadi hijab atau penghalang untuk seorang hamba lebih dekat kepada Tuhannya.

Ada orang berilmu, tetapi ilmu itulah menjadi hijab dia mengenal Tuhannya. Segala-galanya disandar kepada aqal untul menilai. Ada juga mula memandang manusia lain tidak berilmu berbanding dirinya. Di lisannya meniti kalam-kalam menceritakan kelebihan dan kebaikan diri. Sebahagian yang lain semakin halus, mempamerkan diri seolah dialah yang paling tawadhuk dan merendah diri...tapi nun jauh di hatinya berbunga rasa "aku telah beramal dengan yang terbaik berbanding manusia lain".

Ada manusia yang gemar bermain dengan hujah, dibidasnya manusia lain, diselongkarnya keburukan manusia lain dengan hujah-hujahnya. Maka terbelit lah dia dengan tipudaya hujah-hujahnya sendiri kerana sentiasa merasakan dirinya memiliki hujah dan logik sedangkan manusia lain tiada hujah dan tidak sepintar dirinya.

Ada manusia kuat ibadatnya, tetapi nun jauh di hatinya terselit rasa dia mampu beribadah banyak berbanding manusia lain. Dia ber'itimad 'ala nafsihi. Dia terlupa Allah lah yang meminjamkan qudrat dan iradat untuk dia bangun beribadah. Dia terpedaya, dan menyangkakan ibadatnya itu miliknya. Sedangkan manusia itu tidak punya apa.

Ada manusia itu ghurur dengan ilmunya, setelah sesuatu perkara dia ketahui...mulalah seluruh hawas pancainderanya berputar mencari kekurangan dan kejahilan manusia lain. Dia terlupa mungkin pengetahuannya itu baru di tangga pertama masih banyak dia belum ketahui. Dia terlupa ilmu pengetahuan ialah untuk mencari kekurangan diri bukan mencari kekurangan orang lain.

Belitan tipudaya syaitan dan nafsu terlalu halus. Semakin tinggi kedudukan manusia itu, semakin seni keterpedayaannya. Sebaliknya kejahilan atau kufur seseorang itu yang secara terang terangan, ghururnya adalah jelas, malah manusia sekitar dengan mudah mengenali ghurur di dalam diri seseorang. Tetapi semakin seni ghurur itu semakin sukar dikenali...menjadi belitan keterpedayaan penghijab dari Tuhan. Malaikat juga tidak mengetahuinya.

Tetapi beruntunglah manusia ikhlas...segala-galanya dipersembah untuk Allah. Syaitan dan nafsunya sendiri tidak tergapai tangan menggeletek keikhlasan hatinya. Manusia inilah yang selamat.

Mudah-mudahan kita semakin mendekati keikhlasan.

Sunday, June 14, 2009

Engkau Tidak Sendiri

Sunyi dan nyilu

Sepi dan pedih

Asing di bumi asing

Wa huwa ma'akum ainamakuntum

AllahAllahAllahAllahAllahAllahAllahAllahAllahAllahAllahAllahAllahAllahAllah

Thursday, June 11, 2009

Jangan main panas

Sudan bukanlah seperti Malaysia. Malaysia punya pengangkutan mudah dan mewah. Di sini usahlah dibayangkan ada LRT, komuter mahupun monorel. Basnya tidak berhawa dingin, bangku penumpangnya yang rapat-rapat. Aku belum berani meniki riksyah, aku mencuba amjad. Sudan serba kurang dibanding Malaysia.

Aku melintasi jambatan Sungai Nil menaiki amjad. Walaupun serba kurang di sini, bangunan yang seolah zaman dahulu, namun aku rasa gembira. Syukur kerana menempatkan aku di sini. Penduduknya kaya budi. Mereka banyak simpati. Walaupun aku tahu di mana-mana ada manusia tidak berbudi, tetapi mudah-mudahan Allah memeliharaku daripada segala kejahatan makhluk-Nya.

Minggu orientasi di Sudan juga banyak mendidik kesabaranku. Hidung dan bibir berdarah, kulit kering dan pecah-pecah. Aku cuba sedaya mungkin mengikut nasihat Dato' Dr. Bidu, makan buah banyak-banyak, minum air banyak-banyak, pakai SPF 30, gunakan payung. Tetapi payung aku terlupa beli. Di Sudan ni, aku belum nampak sesiapa pakai payung, entah payung ada dijual ataupun tidak. Tubuhku belum mampu bersatu dengan kepanasan Sudan. Nasihat mak abah, jangan main panas, jangan banyak bergerak lasak-lasak, jangan naik motor, mandi waktu malam, banyak minum air.

Aku terlalu rasa kasihan kepada Sudan. Tetapi keberanian rakyat dan sifat patriotik mereka mempertahankan Presiden daripada ditangkap sungguh mengkagumkan. Aku dapat melihat beberapa roh Islam yang masih kukuh di dalam diri mereka. Ukhuwah dan persaudaraan. Mereka begitu hangat meraikan perkenalan.

Urusanku masih tertalu banyak perlu dibereskan, semoga Allah mempermudahkannya satu persatu. Ameen.

Monday, June 08, 2009

Lambaian sahra'

Lebih kurang satu jam lagi mendarat di bumi Sudan, hati berdebar tidak terkira. Aku diamkan diri sahaja. Semakin hampir...lalu aku mengintai dari jendela pesawat Emirates. Bahang panas mula terasa membakar pipi. Sayup-sayup aku ternampak hamparan kuning. Debaran semakin kencang. Apabila semakin hampir...hamparan padang pasir semakin jelas.

Tiba-tiba debaran hilang. Segala rasa takut dan risau berganti tenang. Aku dapat merasakan seolah hamparan dan setiap butiran pasir bumi Sudan mananti-nantiku. Menyambutku penuh tarhib. Marhaba marhaba. Ahlan wa sahlan ya talibata al-'ilmi. Seketika itu aku teringat yang setiap makhluk beristighfar memohon keampunan bagi mereka yang menuntut ilmu. Pasir-pasir itu meriah sekali beristighfar untukku. Perasaan bening hening menjalar di seluruh tubuhku. Syukur Alhamdulillah...

Ya Allah, aku ini gharib.

Jadikanlah aku mencintai Sudan dan Sudan mencintai ku.

Jadikanlah kepanasan Sudan penawar dan lembut menyentuh ku.

Aku terlalu asing di bumi asing.

Kurniakan lah aku sebutir pasir daripada hamparan-hamparan padang pasir ilmu Mu.

Setitis air daripada lautan ilmu Mu.

La hawla wa la quwwata illa billah..

Sunday, June 07, 2009

Salam Dari Dubai

Ketika kapal terbang MAS mula meninggalkan Malaysia tanah airku tercinta, tangisan yang terbenam di lubuk hati berderai juga. Aku meninggalkan bumi Malaysia.

Satu persatu wajah mereka yang mencintaiku tergambar di hadapan mata. Aku menyerahkan ibu bapa, keluarga, sahabat dan semua yang mengisi hatiku sepenuhnya kepada Allah. Semoga Allah memelihara dan mensejahterkan mereka.

Kini di hadapankanku satu dunia baru yang tidak pernah aku jangka dan duga. Aku juga menyerahkan seluruh jiwa raga dan lataifku kepada Dia. Aku tidak punya qudrat apa-apa. Tanggungjwab besar menantiku di hadapan sana.

La hawla wa la quwwata illa billah...

Dubai Int. Airport
10.00am (Dubai)
2.00 pm (Malaysia)



Wednesday, May 27, 2009

Salam Ceria

Assalamu'alaikum sahabat-sahabat semua...sudah lama amat saya membiarkan albazrah. Saya berpeluang menulis sedikit malam ini.

Buat sahabat-sahabat yang mempunyai nombor telefon saya, saya memohon sahabat sekalian dapat sms saya dan nyatakan nama kalian. Telefon saya meragam dan semua nombor telah hilang daripada simpanan saya sekarang. Saya amat berharap dapat terus berhubung dengan kalian.

Saya akan berangkat menyambung PhD di Sudan, insya Allah. Penerbangan saya dijangka pada 23:59 6 jun 2009. Saya mengharapkan doa tulus sahabat-sahabat semua. Mudah-mudahan perjalanan saya diredhai. Mudah-mudahan saya memperolehi ilmu dan amal. Mudah-mudahan saya pulang dapat berkhidmat.

Saya tahu PhD adalah suatu yang mencabar. Tetapi dengan berkat doa kalian, mudah-mudahan saya dapat menjalaninya dengan penuh kesabaran, ketabahan dan kejayaan.

Walaupun saya tahu di sana ramai yang mempersoalkan keputusan saya memilih Sudan sebagai tempat pengajian, tetapi biarlah keredhaan Allah, suami dan ibu bapa yang menjadi ketenangan saya.

Syukur, USIM dan Kementerian Pengajian Tinggi turut merestui pemergian saya untuk menyambung PhD ke Sudan ini. Walaupun terlalu banyak air mata yang menitis sehingga ke saat ini, tetapi semua itu saya tahu adalah asam garam dalam perjuangan.

Mohon sahabat-sahabat doakan saya, semoga pulang nanti setia menjadi khadam al-Quran dan iman. Menjadi Mukhlisin Muhsinin.

Sahabat-sahabat yang saya ada berhutang apa-apa, tolong sms saya segera. Kepada Ukhti 27, saya akan pos segera kitab Burdah, insya Allah. Wassalam

Wednesday, May 06, 2009

Derita atau bahagia

Suatu hari Sultan sebuah kerajaan yang agung telah menghadiahkan kepada seorang rakyat biasa sebiji buah epal. Ketika itu rakyat tersebut terlalu gembira. Dia gembira mendapat hadiah sebiji buah epal tersebut. Ketika ini rasa gembira dan cinta kepada buah epal itu terbahagi kepada dua jenis kelazatan:

1. Cinta yang kembali kepada buah epal tersebut: Rasa gembira kerana mendapat buah epal yang istimewa, dari jenis buah yang baik. Buah epal Sultan adalah buah epal yang lazat dan berkhasiat sekali.

Cinta jenis ini tidak kembali kepada Sultan pemberi buah epal. Sewaktu rakyat itu makan buah epal itu di hadapan Sultan dengan gelojoh sekali kerana ia terlalu sedap, terserlah bahawa rakyat itu mencintai dang menyukai buah epal itu semata-mata tetapi bukan Sultan itu. Ketika buah epal habis dimakan, hilanglah nikmat kesedapan itu. Tidak ada apa lagi yang tinggal.


2. Cinta yang kembali kepada Sultan yang terzahir dengan hadiah buah epal kepada rakyat: Buah epal yang dihadiahkan gambaran kurniaan Sultan. Seandainya rakyat menerima pemberian itu dengan penuh rasa kasih dan penghormatan, secara automatik, terpancar bahawa dia sangat mencintai Sultannya yang mengurniakan hadiah dan bukan cintanya kepada buah epal itu. Walaupun dia tahu buah epal itu adalah buah epal terbaik dan paling sedap, namun cintanya kepada Sultan membuatkan dia begitu gembira dengan kurniaan tadi. Cinta dan rasa menghargai buah epal pemberian Sultan ini sendiri suatu bentuk kesyukuran. Si rakyat itu, menyampaikan penghargaan dan penghormatan yang layak untuk Seorang Sultan.

Begitulah... sekiranya kita mempamerkan cinta kita kepada nikmat-nikmat kurniaan Allah atau kepada buah-buahan yang sedap hanya kepada zat perkara itu...ketika itulah cinta tadi terah kembali kepada hawa nafsu. Kelazatan itu hanya sementara dan menyakitkan. Tetapi seandainya, cinta dihadapkan kepada takrim atau kemuliaan Rabbaniyah, ataupun kepada kelembutan dan kasih sayang Allah dan dalam masa yang sama menikmati segala kelazatan yang terdapat kepada nikmat itu, itulah suatu bentuk kesyukuran maknawi. Kelazatan-kelazatan ini berpahala dan tidak akan mewariskan penderitaan.

Jom lah kita telitikan dalam kurniaan Allah sehari-hari, sekecil mana pun nikmat... ia adalah hadiah dan pemberian Agung Allah Yang Maha Kaya. Marilah kita hayati dan merasai nikmat itu dengan seluruh lataif, deria, rasa dan jiwa kita. Alhamdulillah....

Tuesday, May 05, 2009

Ayuh "divert" cinta kita kepada DIA

Albazrah terfikir, albazrah sangat mencintai dunia. Takut pun ada memikirkan perkara ini. Albazrah tak nafikan, sebagai perempuan albazrah jatuh cinta sangat melihat kain-kain yang cantik, jubah-jubah dan tudung yang indah. Sulaman-sulaman dan jahitan manik yang kemas, sering membuatkan albazrah memandang dua kali.

Bagaimana nak tukarkan rasa cinta dunia ini kepada mencintai Allah semata-mata? Hmmm...kalau teringatkan Radix Fried Chicken pulak (di Shahab Perdana, Alor Setar), uhh... sodapnya... teringat juga, roti canai sedap Taman permata dan nasi lemak Mak Cik BP yang membuatkan hati jadi rindu. Semua-semua perasaan merindukan benda-benda sedap ini dunia ka? Huhu...

Lemah sungguh albazrah, rasa cintakan dunia ini bukan disengajakan... ia datang begitu sahaja dalam kehidupan secara fitrah dan universal. Perlahan-lahan ia datang dalam kehidupan sehari-hari. Apatah lagi rasa kasih dan sayang kepada suami, ibu bapa, adik beradik, guru-guru dan sahabat-sahabat.

Untuk membuang semua ini supaya tinggal cinta ALlah dan Rasul saw semata-mata sukar sekali. Albazrah tidak berdaya... Apa sahaja yang cantik albazrah suka dan tertarik. Albazrah juga sangat mencintai kehidupan ini. Albazrah takut dengan kematian, bekalan tak ada langsung. Walaupun albazrah tahu akhirat lebih hebat lagi, tetapi apa yang albazrah hadapi hari ini sangat melekat di hati. Bukankan semua tu dunia? Benarkah dunia itu umpama bangkai? Kenapa albazrah jatuh cinta kepada bangkai?

Bagaimana albazrah nak tukarkan rasa suka dan cinta kepada semua tadi kepada mahabbatullah atau cinta yang semata-mata kerana Allah? Albazrah ingin sangat jadikan perasaan sayang lillah fillah dan billah. . supaya cinta itu tidak merosakkan albazrah di akhirat.

Albazrah ingin melihat di sebalik yang albazrah sayang dan suka tadi adalah kurniaan Allah. Kalau albazrah teruja dengan kecantikan pokok-pokok hijau dan bunga warna warni, biarlah albazrah cinta dan refleks ke dalam diri bahawa itulah jelmaan daripada sifat Jamal Allah.

Apabila albazrah dihidangkan dengan makanan sedap dan lazat, sepatutnya albazrah bersyukur dan terus fahami bahwa itulah limpahan sifat Allah al-Mun'im. Sewaktu makan RFC, roti canai atau nasi lemak, atau apa sahaja... syukur. Allah itu bersifat al-Mun'im.

Allah itu Maha Pengasih, albazrah perlu intai-intai di manakah Allah pamerkan sifatNya al-Rahman itu? Di mana-mana jua, ada sifat al-Rahman... kejayaan demi kejayaan yang ditempuh dalam hidup, yangbuatkan keluarga gembira...itu jelmaan kasih sayang Allah.

Segala kesulitan yang dihadapi... apabila dapat diatasi dan mendapat jalan keluar sering buatkan hati rasa gembira dan ingin menjerit.... itu juga jelmaan sifat Allah yang sentiasa membantu hambaNya dan sentiasa mendengar pengaduan hambaNya.

Mencintai ibu bapa, sememangnya diperintah oleh Allah kerana Allah lah yang menanam rasa cinta ke dalam hati kedua mereka, sehingga mereka begitu kasihan belas dalam menjaga anak-anak serta mendidik dengan penuh rahmah dan hikmah. Mencintai sahabat-sahabat juga tidaklah salah kerana mereka itu sahabat-sahabat seiman dan taqwa. Sesungguhnya mencintai mereka itu adalah cinta di jalan Allah.

Suami? oh..oh... Suami itukan hadiah istimewa ALlah. Hadiah Rahmat Ilahiyah. Albazrah perlu berhatai-hati jangan sampai cinta hanya kerana keindahan zahir yang akan cepat pudar. Tetapi albazrah perlu ikat kukuh cinta itu dengan kecantikan yang tidak akan hilang.

Albazrah, akan sibuk men"divert"kan segala yang di hadapan mata dan yang dirasai kepada segala sifat dan nama Allah. Albazrah rasa puas... syukur alhamdulillah...

(Lebih kurang kefahaman albazrah di atas tadi dipetik dari Risalah Akhawat- Bediuzzaman Said Nursi)

Blogger template 'Greenich' by Ourblogtemplates.com 2008

Jump to TOP